Ibarat embun pagi yang menghilang, tanggapan kecerdasan buatan (AI) tidak cukup canggih untuk sektor kewangan mula terhakis dalam tempoh singkat.
Setahun lalu, AI sering dipandang remeh dalam sektor kewangan, namun kini Encik David Yin menyokong sebuah syarikat yang menggunakan AI untuk mengendalikan perakaunan dan analisis kewangan bagi perniagaan kecil, dengan dua gabungan ejen generatif dan profesional bertauliah.
Syarikat pemula itu diterajui dua pengekod muda dan menawarkan perkhidmatan perakaunan menyeluruh pada kos jauh lebih rendah berbanding firma tradisional, termasuk pengasingan transaksi, proses penyesuaian bank, penutupan akaun dan analisis.
“Sebagai pelabur, saya terkejut melihat betapa pantas kemajuan teknologi asas,” kata Encik Yin, 35 tahun, seorang warga Singapura yang telah bekerja di San Francisco Bay Area selama sekitar lima tahun.
“Setahun lalu, AI dianggap tidak layak digunakan dalam sektor kewangan. Namun, dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, pembantu AI mula digunakan bagi tugas-tugas tersebut, dan keupayaannya kian menyerlah walaupun belum sempurna,” ujarnya lagi.
Dana modal teroka beliau yang berpangkalan di Menlo Park, California, telah melaburkan sekitar AS$300 juta ($384 juta) dalam pelaburan peringkat awal dalam sektor penjagaan kesihatan dan fintech.
Syarikat perakaunan itu menggajikan akauntan awam bertauliah untuk menyemak hasil kerja bot, sekali gus mengekalkan pengawasan manusia yang penting dalam urusan cukai dan audit.
Namun, Encik Yin melihat satu perubahan ketara.
Syarikat tidak mengambil pekerja, sebaliknya ia mengurangkan tenaga kerjanya.
“Ramai memandang rendah betapa berkuasanya AI dan sejauh mana ia boleh berkembang dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Kebanyakan syarikat yang saya temui mengelak daripada mengambil pekerja. Jika ada pun, mereka mengurangkan pekerja,” katanya.
Kegusaran kini merebak dalam ekonomi Amerika Syarikat apabila ancaman kehilangan pekerjaan akibat AI membangkitkan senario suram, termasuk pejabat tanpa golongan muda kerana pekerjaan peringkat permulaan tidak lagi dibuka, malah kemungkinan pengangguran besar-besaran jika trend ini terus memecut.
Lebih sejuta pekerjaan hilang di Amerika pada 2025, jumlah tertinggi sejak 2020, ketika pandemik Covid-19 mengganggu ekonomi sedunia.
AI disebut dalam sekurang-kurangnya 54,694 pemberhentian kerja itu, menurut firma penempatan semula pekerjaan Challenger, Gray & Christmas, walaupun angka sebenar mungkin lebih tinggi.
Seiring penggunaan AI yang semakin meluas, beberapa tokoh korporat berpengaruh pada 2025 tampil dengan pandangan berani mengenai kesannya.
Pengasas bersama Microsoft, Encik Bill Gates dalam satu wawancara pada Mac 2025, berkata AI akan melakukan hampir segalanya dalam tempoh sedekad, manakala manusia memilih untuk melakukan pekerjaan tertentu seperti bermain besbol profesional.
Pengasas Tesla dan SpaceX, Encik Elon Musk, pula berkata manusia akan bebas memilih untuk bekerja hanya jika mereka ingini, dan menjangkakan satu masa di mana bekerja menjadi pilihan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun.
Ketua Eksekutif Anthropic, Encik Dario Amodei, dengan kaedah AI yang dihasilkan hampir mampu menulis kod seperti manusia, meramalkan separuh daripada pekerjaan kolar putih peringkat permulaan akan lenyap dalam tempoh lima tahun.
Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) juga tidak terkecuali, menurut CEO Google, Encik Sundar Pichai, yang menyifatkan peranan itu antara yang lebih mudah untuk diambil alih oleh AI.
CEO OpenAI, Encik Sam Altman, yang mencetus fenomena sedunia menerusi model bahasa besar seperti siri GPT, berkata secara berseloroh, termasuk menyindir diri sendiri, OpenAI, sepatutnya menjadi syarikat besar pertama yang diterajui seorang CEO berasaskan AI.
Namun, tidak semua bersetuju.
CEO Nvidia, syarikat pembuat cip berprestasi tinggi yang menjadi tunjang teknologi AI, Encik Jensen Huang, menolak idea AI boleh menggantikannya, sambil menyatakan AI mungkin mampu melakukan sebahagian besar tugas dengan jauh lebih baik, tetapi bukan keseluruhannya.
Pandangan itu mungkin berubah.
Di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), para penyelidik membina pasaran pekerja Amerika secara digital dan berkembar bagi mengenal pasti pekerjaan yang boleh dilakukan oleh AI pada kos setara atau lebih murah berbanding tenaga kerja manusia.
Kajian yang diterbitkan pada November 2025 mendapati AI sudah mampu melaksanakan satu daripada sembilan pekerjaan merentas bidang kewangan, penjagaan kesihatan, logistik, sumber manusia dan perkhidmatan profesional.
Ini melibatkan sekitar 151 juta pekerja, mewakili lebih AS$1 trilion dalam gaji.
Di Universiti Stanford, ahli ekonomi, Dr Erik Brynjolfsson, dan rakan penyelidiknya menyifatkan golongan pekerja awal kerjaya berusia 22 hingga 25 tahun sebagai “burung kenari di lombong arang batu”, merujuk kepada nasib mereka dalam pekerjaan yang sangat terdedah kepada AI, seperti pembangunan perisian dan khidmat pelanggan.
Kejatuhan kerjaya mereka menjadi amaran awal bahaya, ibarat burung kenari yang mati menandakan gas beracun di lombong.
Menurut laporan itu, kadar pekerjaan dalam kalangan pekerja muda merosot 13 peratus dari akhir 2022 hingga pertengahan 2025, sekali gus menandakan perubahan struktur pasaran buruh yang sedang giat berlaku.
Encik Yin berkata beliau melihat syarikat cuba mengelakkan pengambilan pekerja baru.
“Dengan AI mengendalikan kerja asas, siapa lagi memerlukan pelatih, penulis salinan atau penyelidik? Ini menyukarkan golongan muda mendapatkan pekerjaan pertama,” katanya.
“Ini satu perubahan besar – dahulu, seolah-olah wujud satu kontrak sosial di mana syarikat melabur dalam golongan muda, meskipun nilai sebenar hanya disumbangkan selepas beberapa tahun latihan. Keadaan itu kini berubah,” tambah beliau.
Skala perubahan ini masih hangat diperdebatkan.
Pakar di Special Competitive Studies Project (SCSP) memberi amaran agar tidak membuat ramalan melampau seperti kehilangan 100 juta pekerjaan, hampir separuh tenaga kerja Amerika.
Kumpulan pemikir tidak berpihak, yang juga berperanan sebagai yayasan swasta dalam bidang teknologi dan keselamatan itu, diasaskan oleh bekas CEO Google, Encik Eric Schmidt, pada 2021.
“Saya akan berhati-hati dengan sebarang ramalan kerana skop penggunaan dan kadar perubahan masih belum jelas. Selain itu, pekerjaan boleh berubah peranannya, bukan semestinya dihapuskan,” kata Encik Martijn Rasser, pengarah kanan ekonomi SCSP.
“Sebagai contoh, akauntan masih diperlukan, tetapi apa yang dilakukan oleh seorang akauntan akan berubah,” katanya.
Penasihat khas SCSP bagi isu tenaga kerja, Dr Ryan Carpenter, berkata kehilangan pekerjaan tertentu adalah sebahagian daripada setiap gelombang teknologi besar, seperti yang berlaku semasa ledakan Internet.
“Kita mungkin tidak memerlukan seramai pengekod atau ‘coders’ 20 tahun dari sekarang, tetapi itu tidak bermakna mereka akan menganggur seumur hidup. Isunya ialah latihan semula,” katanya.
“Cabaran utamanya ialah perubahan ini berlaku dalam tempoh yang jauh lebih singkat berbanding revolusi perindustrian, sekali gus mencetuskan lebih banyak kebimbangan,” tambah Dr Carpenter.
Dalam tempoh yang lebih panjang, beliau menjangkakan peningkatan bersih pekerjaan, khususnya dalam sektor perkilangan, yang menjadi keutamaan dwipartisan bagi Amerika.
“Kita tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk melaksanakannya sekarang, jadi ia memerlukan lebih ramai orang memasuki sektor perkilangan.
“Bagi penggunaan robotik secara meluas, kita memerlukan juruteknik yang boleh bekerja bersama robot, menyusun semula program dan menyelenggarakannya,” katanya.
Ahli perundangan, yang sering dikritik kerana bertindak lewat dalam mengawal selia perubahan teknologi, kini cuba menangani cabaran ini.
Satu Rang Undang-Undang baru di Senat Amerika mencadangkan syarikat melaporkan setiap suku tahun jumlah pekerjaan yang digantikan oleh AI, bilangan pekerjaan AI yang diwujudkan serta jumlah pekerja yang menjalani latihan semula.
Encik Yin berkata pemerintah juga perlu memastikan sistem pendidikan melahirkan generasi celik AI.
Pelan Tindakan AI pentadbiran Presiden Donald Trump telah melibatkan syarikat teknologi gergasi seperti Google dan IBM untuk menyokong program kefahaman AI di sekolah dan latihan guru.
Di sebalik kebimbangan, ibarat hujan reda muncul pelangi, Encik Yin melihat satu sisi positif: kini lebih mudah untuk memulakan perniagaan dengan bantuan pengkomputeran awan dan AI.
AI membolehkan kemunculan usahawan kendiri atau ‘solopreneurs’ dan memudahkan perkhidmatan pasaran khusus, termasuk peluang yang tertumpu kepada Singapura.
“Dahulu, tidak masuk akal membina aplikasi hanya untuk pasaran Singapura. Kini, lebih banyak peluang boleh diwujudkan. Ia tidak semestinya berbentuk pekerjaan, sebaliknya peluang,” katanya.
Sebagai contoh, seorang usahawan boleh membangunkan aplikasi kecil untuk membuat pesanan makanan penjaja.
“Jika seribu orang membayar $5 sebulan, anda sudah memperoleh $5,000 sebulan,” katanya.
Penulis ketua biro Amerika Syarikat di akhbar The Straits Times (ST). Artikel ini kali pertama diterbitkan di ST.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg