LONDON: Kini hanya tinggal dua pasukan Liga Perdana England (EPL) yang terpaksa bersaing sengit untuk mengelakkan diri daripada tersingkir daripada liga berkenaan.

Berbaki dua perlawanan, Tottenham Hotspur dan West Ham United bakal berdepan aksi genting yang akan menentukan sama ada mereka bakal mengikut jejak Burnley serta Wolves yang telah tersingkir daripada EPL dan diturunkan ke Liga Kejohanan (Championship) pada musim depan.

Spurs, yang menduduki tangga ke-17, mempunyai kelebihan dua mata berbanding West Ham yang menduduki tangga ke-18, selepas ia mencatat keputusan seri 1-1 menentang Leeds United pada 11 Mei.

Setakat ini, Spurs telah mengumpul 38 mata, manakala West Ham mengumpul 36 mata.

Meskipun pengumpulan satu mata berikutan keputusan seri itu tetap berharga, peluang untuk melebarkan jurang dengan kelebihan empat mata di depan West Ham gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh kelab kendalian Roberto De Zerbi, dengan Spurs masih belum mencatat kemenangan di padang sendiri sejak 6 Disember 2025.

Selain perbezaan mata, Spurs memiliki kelebihan menerusi perbezaan gol.

Dengan catatan -9 berbanding -20 milik West Ham, Spurs berada dalam kedudukan lebih selesa kerana perbezaan gol akan menjadi penentu kedudukan jika kedua-dua pasukan menamatkan musim dengan mata terkumpul yang sama.

“Jika kami mahu menang, kami perlu mengurangkan kesilapan,” ujar De Zerbi.

Sementara itu, West Ham kurang bernasib baik apabila gol penyamaan pada minit akhir oleh Callum Wilson dibatalkan oleh Video Pembantu Pengadil (VAR) sekali gus tewas 0-1 kepada pendahulu liga, Arsenal, pada 10 Mei.

“Ia akan menjadi sukar (untuk kekal di liga utama) – kami sedar ia bukan lagi dalam tangan kami,” kata pengurus kelab digelar The Hammers itu, Nuno Espirito Santo.

“Namun, kami akan terus berjuang habis-habisan sehingga ke akhirnya.”

Perlawanan Spurs, West Ham seterusnya

Dengan Leeds, Crystal Palace dan Nottingham Forest telah pun mengesahkan tempat dalam EPL menyusuli keputusan hujung minggu lalu, masa kian suntuk bagi Spurs dan West Ham untuk mengelak daripada tersingkir.

Buat masa ini, kelebihan nampaknya memihak kepada Spurs.

Berdasarkan ramalan superkomputer Opta, Spurs hanya diberi 19.5 peratus peluang untuk tersingkir, berbanding 80.5 peratus bagi West Ham.

West Ham akan bertemu Newcastle United di St James’ Park pada 17 Mei, dua hari sebelum Spurs berdepan Chelsea di Stamford Bridge.

Jika West Ham berjaya menumbangkan Newcastle – selepas pernah menewaskan skuad tersebut 3-1 di padang sendiri pada November 2025 – mereka akan naik ke tangga ke-17, sekali gus menyaksikan Spurs turun ke zon penyingkiran dengan perbezaan satu mata.

Namun, jika West Ham mencatatkan seri atau kalah dengan Newcastle, Spurs akan mendapat semula kelebihan sekali gus berpeluang mengesahkan status kekal di EPL jika berjaya mengalahkan Chelsea.

Bagaimanapun, peluang Spurs untuk mencatat kemenangan di Stamford Bridge mungkin agak tipis memandangkan mereka hanya menang sekali di padang Chelsea itu sejak 1990, iaitu menerusi keputusan 3-1 pada April 2018. 

Seandainya saingan sengit ini berlarutan sehingga ke penghujung musim pada 24 Mei, kedua-dua pasukan akan beraksi di padang sendiri dengan Spurs bertemu Everton, manakala West Ham bakal menentang Leeds.

Prestasi semasa kelab kendalian De Zerbi, Nuno

Dengan hanya berbaki dua perlawanan, saingan mengelak penyingkiran oleh Spurs dan West Ham kini berada di fasa paling kritikal – namun prestasi semasa kedua-dua pasukan menceritakan dua kisah yang sangat berbeza.

Spurs kelihatan mula menemui rentak di bawah kendalian De Zerbi. 

Mereka belum tewas dalam empat perlawanan (2 menang, 2 seri), rekod tanpa kalah terpanjang mereka musim ini, sekali gus mencerminkan daya tahan pasukan selepas mengharungi kemelut selama berbulan-bulan.

Kali terakhir mereka mencatat rekod lima perlawanan tanpa kalah adalah pada Disember 2025 dan Januari 2026, satu tempoh yang dilihat seakan sudah lama berlalu.

Spurs sering bergelut untuk mengekalkan rentak setakat 2026, namun mereka perlu berjuang untuk mengelakkan kekalahan pada fasa genting ini.

Sementara itu, prestasi West Ham pula merosot pada detik ‘yang salah’. 

Sekiranya mereka kalah kepada Newcastle pada 17 Mei, The Hammers bakal mencatat kekalahan tiga kali berturut-turut – keputusan yang sudah dua kali dicatatkan di bawah bimbingan Nuno, iaitu pada Oktober dan Disember 2025.

Apabila keputusan sesuatu kelab mula merosot, ia lazimnya akan jatuh secara mendadak, dan pada musim ini, West Ham sering kali diselubungi tempoh prestasi buruk yang mengheret mereka kembali ke zon bahaya.

Spurs masih mempunyai peluang mengubah nasib mereka, manakala ruang buat West Ham untuk melakukan kesilapan kian mengecil. 

Dalam dua perlawanan penentu ini, nasib mereka untuk terus kekal dalam liga utama mungkin bergantung kepada pasukan manakah yang lebih tenang apabila berdepan tekanan. – Agensi berita.