Topic followed successfully
Go to BHkuWest Ham keluar dari zon penyingkiran selepas tumpas Wolves
West Ham keluar dari zon penyingkiran selepas tumpas Wolves
Kini di tangga ke-17, optimis mampu kekal dalam EPL bagi baki musim
West Ham keluar dari zon penyingkiran selepas tumpas Wolves
LONDON: Pemain West Ham United, Konstantinos Mavropanos dan Valentin Castellanos masing-masing menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-0 di padang sendiri semasa perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers pada 10 April.
Menerusi kemenangan ini, West Ham berjaya mengatasi kedudukan Tottenham Hotspur, sekali gus keluar daripada kedudukan tiga tercorot.
Kejayaan tersebut menyaksikan kelab yang dikenali sebagai The Hammers itu mencatatkan rekod bersih kelima mereka musim ini.
Ia turut meletakkan mereka di tangga ke-17 dengan 32 mata – dengan kelebihan dua mata mengatasi Spurs.
Spurs bakal berdepan Sunderland di padang lawan, Stadium of Light, pada 12 April.
Sementara itu, Wolves pula kekal di kedudukan tercorot dengan hanya 17 mata.
Dalam perlawanan 10 April itu di Stadium London, Wolves menunjukkan permulaan yang baik, namun mereka ketinggalan apabila pemain pertahanan tengah West Ham, Mavropanos, menanduk masuk bola hantaran lintang Jarrod Bowen pada minit ke-42.
Kededua pasukan mendapat peluang untuk menjaringkan gol awal pada separuh masa kedua.
Penyerang Wolves, Angel Gomes, hampir menyamakan kedudukan namun tendangan percumanya terkena tiang.
West Ham segera melancarkan serangan balas dengan pemain sayap, Crysencio Summerville, hampir menewaskan penjaga gol Wolves, Jose Sa, menerusi satu cubaan yang malangnya sedikit tersasar.
Seminit kemudian, percubaan Bowen pula terkena tiang sebelum West Ham memperoleh gol kedua pada minit ke-66.
Kesilapan Wolves kehilangan bola dimanfaatkan sepenuhnya oleh Castellanos untuk menjaringkan gol kedua, sebelum pemain asal Argentina itu menjaringkan satu lagi gol bagi The Hammers dua minit kemudian.
Mavropanos sekali lagi menjaringkan gol keempat bagi West Ham menerusi tendangan deft volley – satu teknik tendangan tepat oleh pemain sebelum bola jatuh menyentuh tanah – pada minit ke-83.
Keputusan ini meletakkan Wolves dalam risiko tersingkir daripada liga sekiranya mereka kalah kepada Leeds United semasa perlawanan pada 18 April.
“Kami telah bekerja keras. Perlawanan dengan suasana seperti inilah yang kami perlukan untuk baki musim ini,” kata Mavropanos sambil menunjukkan rasa optimis yang kelabnya mampu kekal dalam Liga Perdana England (EPL) bagi baki musim ini. – Reuters.

