Topik diikuti
Pergi ke BHkuVilla juara Liga Europa, akhiri kemarau trofi 30 tahun
Villa juara Liga Europa, akhiri kemarau trofi 30 tahun
Tamat penantian 44 tahun untuk piala Europa selepas tewaskan SC Freiburg 3-0
Villa juara Liga Europa, akhiri kemarau trofi 30 tahun
ISTANBUL: Ketika Unai Emery kali pertama menjejakkan kaki di Aston Villa pada 2022, beliau berikrar untuk memenangi trofi.
Pada 21 Mei, beliau mengotakan janjinya apabila pasukannya menjulang trofi Liga Europa selepas kemenangan 3-0 ke atas SC Freiburg.
Kejayaan itu sekali gus mengukir nama Villa ke dalam buku sejarah sekali lagi.
Di hadapan sembilan wira Piala Europa 1982 – termasuk kapten, Dennis Mortimer; dan penjaring gol, Peter Withe – Villa menulis satu lagi lembaran sejarah.
Jaringan cantik daripada Youri Tielemans dan Emi Buendia, meletakkan mereka di laluan kemenangan, sebelum Morgan Rogers melengkapkan kejayaan tersebut.
Kali ini, mereka turut menyarung jersi putih dan menewaskan pasukan Jerman yang berbaju merah.
Bezanya kali ini, mereka menentang Freiburg di Istanbul, dan bukan Bayern Munich di Rotterdam pada 1982.
Empat kejuaraan Piala Europa yang dimenangi Emery sebelum ini sememangnya sudah menjadi rekod kejohanan.
Walaupun beliau menolak tanggapan dirinya ialah ‘raja Eropah’, beliau terbukti seorang pemenang bersiri.
Rekodnya di Piala Europa – enam perlawanan akhir dengan lima kemenangan – dengan kejayaan terkini, mengukuhkan legasinya di Villa Park yang akan bertahan selama berdekad.
“Saya berterima kasih kepada (pemilik bersama) Nassef (Sawiris) dan Wes (Edens)... mereka sentiasa memberikan sokongan. Saya berterima kasih kepada penyokong dan pemain,” ujarnya.
“Setiap kali saya berjaya dalam kejohanan ini, saya memerlukan pemain yang hebat... dan saya menghargai mereka kerana mengikuti cita-cita kami.
“Mereka adalah watak utama di atas padang.
“Ini ialah sebab mengapa saya tidak berasa seperti raja dalam kejohanan ini.
“Saya amat bersyukur – kami adalah raja bersama.”
Jika rembatan voli Tielemans – hasil daripada strategi sepakan sudut pendek – memberikan mereka rentak, tendangan lencong Buendia ke penjuru atas gawang pula meletakkan sebelah tangan mereka pada trofi.
Gol ketiga daripada Rogers menyaksikan pemain simpanan merayakan kemenangan di padang, manakala Emery melonjak kegembiraan di tepi padang.
“Perasaan ini sangat luar biasa,” kata Tielemans kepada agensi berita, TNT.
“Kami telah memberikan usaha yang terbaik, satu persembahan yang mantap, dan kami melalui musim yang hebat.
“Untuk menutupnya dengan kejayaan ini ialah sesuatu yang menakjubkan.
“Ia adalah musim yang penuh dengan pasang surut. Kami bermula dengan sangat teruk. Standard kami sangat rendah.
“Cara kami mengubah keadaan adalah hasil usaha pemain dan staf.
“Kami terus bekerja keras dan yakin. Akhirnya kami mendapat kemenangan, slot Liga Juara-Juara musim depan dan sebuah trofi.”
Namun, ia bukanlah permulaan yang selesa bagi Villa.
Jari manis kanan penjaga gawang, Emi Martinez, perlu dibalut dan dirawat semasa sesi memanaskan badan – mengimbau kembali memori Nigel Spink menggantikan Jimmy Rimmer selepas hanya sembilan minit dalam perlawanan akhir 1982.
Tetapi kebimbangan itu serta-merta beransur pulih.
Villa tidak pernah berada dalam bahaya dan penyokong yang membanjiri Stadium Besiktas Park di Istanbul sudah mula meraikannya menjelang waktu rehat separuh masa.
Ini merupakan kemenangan pertama daripada potensi ‘treble’ bagi kelab England, dengan perlawanan akhir Liga Persidangan akan menyaksikan Crystal Palace menentang Rayo Vallecano pada 28 Mei; sebelum pertembungan Liga Juara-Juara antara Arsenal dengan Paris St-Germain pada 30 Mei.
Kepulangan Villa ke Liga Juara-Juara sememangnya sudah disahkan selepas kemenangan 4-2 ke atas Liverpool pada 16 Mei lalu, sekali gus memastikan kedudukan lima teratas dalam Liga Perdana England (EPL). – Agensi berita.
“
“Saya berterima kasih kepada penyokong dan pemain. Setiap kali saya berjaya dalam kejohanan ini, saya memerlukan pemain yang hebat... dan saya menghargai mereka kerana mengikuti cita-cita kami. Mereka adalah watak utama di atas padang. Ini ialah sebab mengapa saya tidak berasa seperti raja dalam kejohanan ini. Saya amat bersyukur – kami adalah raja bersama.”