Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha atlet lawan pedang negara diiktiraf, antara 247 penerima biasiswa SpexSG
Usaha atlet lawan pedang negara diiktiraf, antara 247 penerima biasiswa SpexSG
Program sokongan bina laluan bagi perkembangan atlet dari peringkat serantau ke Asia dan dunia
Usaha atlet lawan pedang negara diiktiraf, antara 247 penerima biasiswa SpexSG
Lama selepas sesi latihan berakhir, atlet kebangsaan lawan pedang, Azfar Luqman Ong, masih lagi terus berlatih dengan mengulang kaji apa yang dipelajarinya, memperhalusi pergerakan dan mencabar dirinya mengatasi keletihan.
Pada hari-hari lain pula, beliau akan terus ke tempat bertugas bagi kerja sambilan, buat menyokong usahanya dalam sukan lawan pedang.
Selepas itu, pemuda berusia 20 tahun itu kembali memberi tumpuan kepada pelajaran dan pemulihan, hanya untuk mengulangi rutin yang sama keesokan harinya.
Beliau yang membesar dengan masalah disleksia, kini sedang mengikuti program Diploma dalam Perniagaan Politeknik Republic-Sekolah Sukan Singapura (SSP-RP).
“Saya boleh faham sesuatu perkara apabila seseorang terangkan kepada saya, tetapi apabila saya perlu membaca atau menulis, ia menjadi amat sukar,” kata pemuda itu.
Justeru, beliau sering menyambung berlatih lebih lama daripada rakan-rakannya serta belajar dengan lebih gigih, walaupun untuk membaca sahaja merupakan satu cabaran.
Kecekalan sama itu telah membawanya ke pentas antarabangsa, di mana beliau membantu pasukannya meraih pingat emas berpasukan dalam Sukan SEA 2025.
Kejayaan itu, digabungkan dengan usahanya selama bertahun-tahun di sebalik tabir, melayakkan dirinya untuk disenaraikan dalam kalangan 247 atlet yang menerima sokongan di bawah program Kecemerlangan Sukan (Spex) Singapura 2026.
“Saya sangat bersyukur. Segala usaha yang saya curahkan selama ini… ini satu pengiktirafan,” katanya.
Namun baginya, pengiktirafan bukanlah matlamat utamanya.
“Matlamat saya hanya untuk terus berlatih, terus memperbaiki diri dan beraksi bersama pasukan,” tambahnya.
Juga dalam kalangan penerima biasiswa spexPotential ialah Zulhilmi Zul’irfan, 19 tahun, yang melihat anugerah ini sebagai hasil daripada perjalanan panjangnya dalam sukan silat.
“Ia memberi saya keyakinan bahawa segala usaha saya selama 10 tahun dalam silat dan tiga tahun dalam pasukan nasional telah membuahkan hasil,” katanya.
Bagi atlet wushu kebangsaan, Siti Khadijah Shahrem, 25 tahun, perjalanan ke tahap ini turut dipenuhi cabaran dan ketidaktentuan.
Pemenang gangsa Sukan SEA 2025 itu mengakui pengiktirafan spexPotential ini hadir di luar jangkaan, tetapi beliau bertekad memanfaatkan peluang tersebut sepenuhnya.
“Saya tak akan sia-siakan rezeki ini dan akan bekerja lebih keras untuk capai kejayaan bagi Singapura,” katanya.
Turut berkongsi perjalanannya ialah Nurin Insyirah Mohamed Aidil, 22 tahun, yang melihat spexPotential sebagai titik perubahan penting dalam kerjayanya.
“Dengan sokongan ini, saya dapat lebih fokus dalam sukan tanpa perlu risau tentang kerja sambilan,” katanya.
Atlet kebangsaan tersebut semuanya dianugerahkan biasiswa itu di Majlis Penganugerahan SpexAthlete yang diadakan di SSP pada 29 April.
Majlis tersebut melibatkan seramai 107 penerima biasiswa spexScholars dan 140 penerima biasiswa spexPotential.
Seramai 247 atlet – kohort terbesar sejak program ini dilancarkan pada 2013 – kini menerima sokongan dalam sistem yang semakin diperluas untuk membina laluan dari peringkat serantau ke pentas Asia dan dunia.
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, yang hadir selaku tetamu terhormat acara tersebut, berkata perkembangan ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh ekosistem sukan negara.
“Kami telah memperkukuh sokongan kepada atlet dari masa ke masa,” katanya.
Beliau menekankan pendekatan yang lebih berasaskan atlet dan fleksibel mengikut perjalanan setiap individu.
Beliau turut menjelaskan bahawa sistem Spex kini menyokong atlet di pelbagai peringkat, daripada pembangunan awal hingga kepada tahap prestasi tinggi, dengan matlamat memastikan mereka dapat berkembang secara menyeluruh dalam sukan dan kehidupan.
Contohnya, bagi atlet yang juga pelajar seperti Azfar, salah satu cabaran terbesar selama ini ialah kewangan.
Menurutnya, sukan lawan pedang memerlukan kos tinggi untuk latihan dan pertandingan antarabangsa.
“Saya tidak suka meminta wang dan membebankan keluarga. Saya lebih suka berdikari,” kata Azfar.
Sokongan spexPotential kini membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan tanpa tekanan kewangan.
Encik Neo juga menekankan bahawa keberkesanan program Spex sudah jelas kelihatan.
Menurutnya, bagi Sukan SEA 2025, atlet Spex menyumbang hampir 90 peratus daripada pingat emas Singapura.
Singapura kini bersedia menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para Asean 2029, dengan rancangan memperluaskan sokongan kepada lebih ramai atlet, memperkukuh persatuan sukan kebangsaan dan meningkatkan keupayaan sains sukan negara.
“Kami mahu semua atlet beraksi pada tahap terbaik mereka di hadapan keluarga dan rakan di tanah air sendiri,” kata Encik Neo.
