Tsutomu Ogura dilantik jurulatih baru Singa
Tsutomu Ogura telah dinamakan sebagai pengarah baru Singapura bagi pasukan nasional “A” dan Bawah-22 Tahun (U22).
Pelantikan itu, yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu sidang media di Stadium Jalan Besar pada 1 Februari, akan menyaksikan Ogura, 57 tahun, memimpin skuad kebangsaan sambil memantau persembahan pasukan U-22/23 dan jurulatihnya.
Langkah tersebut selaras dengan usul Reviu Bola Sepak Pasca Sukan SEA 2023 pada Julai 2023, iaitu semakan yang dijalankan FAS berikutan prestasi hambar skuad nasional di temasya sukan itu di Kemboja pada Mei 2023.
Karyawan Jepun itu menggantikan rakan senegara, Takayuki Nishigaya, yang dipecat Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 29 Januari, dengan mengikat perjanjian kontrak selama dua tahun.
Ogura kini merupakan jurulatih Jepun ketiga berturut-turut untuk mengendalikan pasukan Singa.
Presiden FAS, Bernard Tan, berkata:
“Ogura mempunyai kerjaya yang pelbagai dalam bola sepak, yang tidak dinafikan berguna untuk bukan hanya membantu memperbaiki pasukan nasional senior, tetapi juga seluruh ekosistem bola sepak. Beliau mungkin tidak dikenali oleh peminat setempat berbanding calon lain yang pernah kami berbual, tetapi saya yakin beliau tidak lama lagi akan menawan hati kedua-dua pemain dan peminat, serta rangkaian luas bola sepak.”
Ogura merupakan bekas penolong jurulatih pasukan nasional Jepun pada 2006 hingga 2010, sebelum menggalas jawatan sama dalam pasukan Olimpik negara itu pada 2010 hingga 2012.
Beliau kemudian bertugas di beberapa kelab Jepun, dengan jawatan terakhir adalah sebagai penolong jurulatih Tokyo Verdy.
Pasukan itu menamatkan Liga J2 musim lalu di tempat ketiga, dan dinaikkan ke liga teratas bola sepak Jepun.
Pada 29 Januari, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan bahawa Nishigaya telah dipecat, memberi sebab “persembahan dan keputusan pasukan nasional baru-baru ini berada di bawah jangkaan”.
Beliau telah menang lapan, kalah lapan dan seri lima dalam 21 perlawanan kendaliannya, termasuk dibaham Malaysia 1-4, yang menyaksikan Singapura tersingkir dalam Kejohanan AFF pada Januari 2023.
Nishigaya, 50 tahun, dilantik dalam perjanjian selama dua tahun pada April 2022 sebagai pengganti Tatsuma Yoshida, yang melepaskan jawatannya pada Disember 2021, setahun sebelum tamat kontraknya.
Skuad Singa seterusnya berdepan China dalam perlawanan berturut-turut kelayakan Piala Dunia pada 21 dan 26 Mac. Aksi pertama akan berlangsung di Singapura.
Ini sebelum pasukan Singa menentang Korea Selatan di tanah air pada 6 Jun dan kemudian membuat perjalanan ke Thailand pada 11 Jun.
Edisi seterusnya Kejohanan AFF dijangka berlangsung dari lewat November hingga Disember dalam format yang bermain di laman sendiri dan lawan.

