Tokokan CPF, biasiswa pendidikan bagi atlet antara usaha rangsang sukan S’pura
Tokokan CPF, biasiswa pendidikan bagi atlet antara usaha rangsang sukan S’pura
Dalam usaha mengukuhkan budaya kesukanan di Singapura, pemerintah telah memperkenalkan pelbagai inisiatif, termasuk menjadikan sukan sebagai laluan kerjaya yang berdaya maju untuk atlet negara.
Antaranya, atlet elit di bawah Biasiswa Kecemerlangan Sukan (spex), yang dibayar gaji bulanan, akan menerima tokokan bulanan ke dalam akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka bermula April 2025.
Biasiswa Sarjana Muda spexPendidikan juga bakal diperkenalkan pada 1 September bagi menyediakan sokongan kewangan untuk atlet membiayai yuran tuisyen dan bahan kursus.
Daya usaha ini diumumkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, pada 21 Ogos, semasa berucap dalam satu sesi mendekati pihak berkepentingan dalam ekosistem sukan berprestasi tinggi.
Sesi itu, yang diadakan di Stadium Negara, dihadiri kira-kira 300 atlet Team Singapore dan ibu bapa mereka, wakil daripada Persatuan Sukan Nasional (NSA) dan rakan spex.
Berkongsi visi pemerintah dalam melakar laluan baru untuk kejayaan sukan di Singapura, Encik Tong berkata pemerintah sedang mengambil langkah mengukuhkan budaya sukan di Singapura dan menyediakan rangka kerja bagi mencapai kecemerlangan sukan seterusnya negara.
“Kami akan wujudkan ekosistem sukan yang kondusif dan komprehensif, yang menjadikan sukan sebagai cara hidup, di mana semua rakyat Singapura boleh melibatkan diri dalam sukan di peringkat mereka sendiri,” kata beliau.
Encik Tong menambah bahawa langkah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha memenuhi impian lebih besar dan baru rakyat Singapura.
Impian ini adalah menjadikan Singapura masyarakat yang menyokong aspirasi individu dan kolektif, yang mana terdapat pelbagai laluan untuk berjaya. Ini termasuk memilih kerjaya dalam sukan.
Encik Tong akur bahawa atlet muda Singapura berdepan cabaran unik mengimbangi akademik atau kerja sambil perlu memenuhi tuntutan latihan dan pertandingan. Ada kalanya, mereka juga harus mengorbankan satu untuk yang lain.
“Kami memahami keperitan mereka dalam membuat keputusan ini… Dan kami mahu membuat keputusan ini kurang menyakitkan untuk atlet dan atlet para kita.
“Lebih banyak kita boleh menyokong seseorang atlet dalam bidang akademik dan laluan pekerjaan, semakin besar kemungkinan seorang atlet akan kekal sebagai seorang atlet di peringkat tertinggi,” tambah Encik Tong.
Program spexPendidikan, membolehkan atlet mencapai kelayakan pendidikan tinggi tanpa menjejas kerjaya sukan kompetitif mereka, akan dipertingkat.
Semua enam universiti berautonomi di sini akan melaksanakan amalan mesra atlet, iaitu menyokong kemasukan berasaskan bakat dan menyediakan fleksibiliti jadual yang sesuai dengan latihan dan pertandingan.
Atlet yang sedang atau ingin melanjutkan pengajian mereka akan turut disokong menerusi Biasiswa Sarjana Muda spexPendidikan.
Biasiswa baru itu dianugerahkan kepada atlet yang melanjutkan pengajian sambil berlatih dan bertanding secara serentak, atau apa yang dipanggil laluan ‘Dua Kerjaya’.
Mereka yang memilih kembali ke sekolah setelah bersara dari sukan kompetitif, atau laluan ‘Kerjaya Baru’, juga layak menerima biasiswa tersebut.
Permohonan akan dibuka pada 1 September bagi pengajian yang bermula tahun depan.
Pemerintah juga akan tingkatkan kestabilan kewangan atlet dengan menaikkan gaji bulanan penerima Biasiswa Spex. Ini akan merangkumi tokokan bulanan dalam akaun CPF, yang bakal diperkenalkan pada April 2025.
Pemerintah akan menyalurkan 20 peratus daripada peningkatan gaji ini ke dalam akaun CPF atlet manakala Majlis Sukan Singapura (SportSG) akan menyumbang 17 peratus lagi.
Bonus pencapaian sebanyak gaji sebulan turut akan diberikan kepada penerima Biasiswa spex untuk setiap empat tahun mereka berjaya menyelesaikan biasiswa mereka.
Inisiatif ini adalah tambahan pada pelan induk Kallang Alive yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa ucapannya di Rapat Hari Kebangsaan 2024 pada 18 Ogos.
Encik Tong berkata pelan induk baru itu adalah “pelaburan jangka panjang yang besar” yang “akan memerlukan sumber yang banyak dalam tahun mendatang”.
“Ini menunjukkan pemerintah komited sepenuhnya dalam usaha ini kerana kami percaya dalam kuasa sukan untuk memupuk persahabatan dan menyatukan orang ramai,” tambah beliau.
Di bawah pelan induk itu, bangunan Home of Team Singapore (HTSG), atau rumah atlet Team Singapore, akan dibina.
Ia akan menempatkan kampus baru Sekolah Sukan Singapura, yang kini terletak di Woodlands; pusat sains dan perubatan sukan yang dipertingkat; pusat latihan nasional untuk sukan penting dan atlet para; dan pejabat NSA di bawah satu bumbung.
Daya profesional kakitangan NSA juga akan dipertingkat, dengan memusatkan pengambilan beberapa pelantikan penting seperti pentadbir sukan.
Pemerintah merancang membina arena tertutup baru yang canggih bagi menganjurkan acara bertaraf tinggi di sini.
Arena itu, yang pertama diumumkan pada Mac, akan dapat menampung 18,000 penonton – lebih besar dari Stadium Tertutup Singapura yang mempunyai 12,000 tempat duduk – dan dapat disesuaikan untuk pelbagai acara termasuk hiburan, sukan dan gaya hidup.
Kallang akan turut menjadi destinasi gaya hidup untuk semua warga Singapura. Satu jalan utama yang melalui Hab Sukan Singapura akan diubah menjadi kawasan pejalan kaki, yang akan disuntik dengan kemudahan dan kegiatan sukan.

