Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

“Tinggalkan pasukan dalam keadaan lebih baik” - falsafah Lee dalam bimbing Singa

Akur bahawa ada yang ragu dengan usianya yang muda dan kurang pengalaman, namun Gavin tekankan beliau tahu keupayaan dirinya dan apa yang mampu beliau lakukan
Jan 4, 2026 | 5:00 AM
Walaupun berdepan keraguan mengenai usia dan pengalamannya sebagai ketua jurulatih dari sesetengah pihak, Lee memilih untuk tidak menjadikan kritikan sebagai bahan membakar emosi - “Saya tidak mahu hidup seperti roller coaster - naik dengan pujian, jatuh dengan kritikan,” katanya.
Walaupun berdepan keraguan mengenai usia dan pengalamannya sebagai ketua jurulatih dari sesetengah pihak, Lee memilih untuk tidak menjadikan kritikan sebagai bahan membakar emosi - “Saya tidak mahu hidup seperti roller coaster - naik dengan pujian, jatuh dengan kritikan,” katanya. - Foto FAS

Malam bersejarah di Hong Kong yang melayakkan Singapura ke Piala Asia mempunyai makna yang menjangkaui pertandingan tersebut.

Bagi ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Gavin Lee, detik itu menjadi titik mula kepada satu perjalanan yang lebih panjang – membina pasukan yang boleh dibanggakan rakyat Singapura, dari segi prestasi, sikap dan pengertian yang diberikan kepada jersi negara.

“Apabila kita menyarung jersi negara, kita tidak boleh mengambil satu hari pun sebagai sesuatu yang remeh,” kata Lee dalam rakaman podcast BHerbual Berita Harian. “Dengan kuasa itu datang tanggungjawab yang besar,” tambahnya.

Sejak dilantik sebagai ketua jurulatih pada 28 November lepas, sekali gus menjadikan beliau jurulatih termuda dalam sejarah pasukan kebangsaan di usia 35 tahun, Lee sedar beliau mewarisi antara jawatan paling diperhatikan dalam arena sukan tempatan.

Namun, beliau tidak melihat tugas itu sebagai satu beban peribadi, sebaliknya sebagai amanah kolektif yang perlu digalas bersama pemain dan staf kejurulatihan.

Watch on YouTube

Kejayaan sebagai satu perjalanan bersama

Berbeza dengan pendekatan berasaskan sasaran individu, Lee menegaskan bahawa matlamat pasukan –termasuk bagi pertandingan seperti Kejohanan Asean dan kelayakan Piala Asia – mesti ditentukan secara bersama.

“Saya tidak boleh duduk di sini dan tetapkan objektif seorang diri. Ia mesti datang daripada pasukan.

“Bila semua orang menerima dan yakin dengan idea yang sama, barulah kita boleh bergerak ke hadapan sebagai satu unit,” jelas beliau.

Pendekatan ini, menurut Lee, penting bagi memastikan setiap pemain memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Lebih daripada sekadar menang atau kalah, pemain perlu sedar mengapa mereka berada di padang dan siapa yang mereka wakili, tambahnya.

Lee (kanan) dalam rakaman podcast BHerbual bersama Editor Berita, Nazri Hadi Saparin (tengah) dan wartawan sukan, Khairul Akmal Ali.
Lee (kanan) dalam rakaman podcast BHerbual bersama Editor Berita, Nazri Hadi Saparin (tengah) dan wartawan sukan, Khairul Akmal Ali. - Foto BM oleh KHALID BABA

Pasukan yang tidak mudah mengalah

Apabila ditanya tentang identiti pasukan Singapura di bawah kendaliannya, Lee enggan terperangkap dengan label taktikal atau falsafah permainan yang terlalu abstrak.

Bagi beliau, perkara paling asas tetap menjadi keutamaan.

“Kita tidak pernah mengalah sehingga wisel penamat. Kita kosongkan tangki, beri segalanya,” katanya. “Itu perkara yang boleh dirasai penyokong.”

Beliau mengakui bahawa kemenangan tidak sentiasa dapat dijanjikan, namun usaha, disiplin dan corak permainan yang jelas mampu membina kepercayaan dalam kalangan peminat.

Perlawanan persahabatan sebagai persiapan menentang Hong Kong termasuk perlawanan menentang pasukan serantau, Thailand dan Malaysia, walaupun tidak semuanya berakhir dengan keputusan positif, dilihat sebagai langkah penting untuk mengubah naratif dan keyakinan dalaman pasukan.

“Kita perlu buktikan kepada diri sendiri dahulu bahawa kita boleh bersaing. Kita belum sampai ke tahap terbaik, dan itu tidak mengapa. Kita bukan produk yang telah siap sepenuhnya,” tambahnya.

“Permainan tanpa garisan penamat”

Dalam tempoh 18 bulan kontraknya, Lee sering mengulang satu prinsip: pasukan kebangsaan adalah “satu permainan tanpa garisan penamat”.

“Tugas saya ialah memastikan apabila saya meninggalkan pasukan ini, ia berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding ketika saya mengambil alih.

“Supaya jurulatih seterusnya bermula dari platform yang lebih baik dan dapat terus membawa pasukan kebangsaan kita ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.

Pendekatan ini turut merangkumi pembangunan pemain muda dan peralihan generasi.

Walaupun beberapa tunggak utama kini berusia 30-an tahun, Lee yakin proses peralihan generasi sedang berjalan dengan kemas, dipacu oleh pemain-pemain muda yang semakin menyerlah dalam Liga Perdana Singapura (SPL).

“Ini proses semula jadi. Dahulu, orang tanya siapa pengganti Hariss atau Izwan. Kini kita lihat kumpulan baharu mula mengisi ruang itu,” jelasnya.

Justeru, Lee menegaskan tugas memimpin pasukan kebangsaan tiada tanda noktah, lantas harus dilihat sebagai satu proses berterusan yang – seperti juga kehidupan – ada naik dan turunnya.

“Selepas satu pertandingan tamat, semua yang terlibat harus melihat kepada pertandingan seterusnya; dan begitu juga dengan pemain yang silih berganti dari satu generasi ke generasi yang lain. Kerja kita berterusan. Kita tidak boleh berhenti dan cakap, ‘ok saya sudah capai matlamat saya’,” ujar beliau.

Kepimpinan, disiplin dan budaya

Bagi Lee, kepimpinan bukan sekadar jawatan kapten atau pemain senior.

Ia adalah soal budaya – bagaimana pemain berfikir, berdisiplin dan bertanggungjawab walaupun berada di luar kem latihan pasukan kebangsaan.

“Tiada suis hidup-mati bila datang ke pasukan kebangsaan,” katanya. “Tingkah laku adalah tabiat. Jika ia penting di pasukan negara, ia juga penting di kelab, ia juga penting dalam kehidupan seharian anda.”

Ramai pemain pasukan negara yang berkongsi bahawa adalah sesuatu yang lazim bagi jurulatih mereka mengirimkan mesej Whatsapp seawal 4 pagi.

Akur, Lee berkata sambil tertawa: “Bila mereka jawab, atau saya lihat ada ‘blue tick’, saya akan tegur mereka – ‘Eh, kenapa tak tidur?’....Tapi secara serius, saya suka kirimkan video atau analisis permainan mereka dengan tujuan mereka menonton dan membacanya pada awal pagi setelah mereka bangun tidur.”

Ekosistem lebih besar daripada pasukan negara

Lee menekankan bahawa pasukan kebangsaan hanyalah ibarat “hujung gunung ais” atau istilah bahasa Inggerisnya, Tip of the icerberg, dalam ekosistem bola sepak Singapura.

Kejayaan di peringkat antarabangsa, katanya, adalah hasil sumbangan ramai – jurulatih akar umbi, guru sekolah, kelab, dan keluarga.

Istilah itu menggambarkan bahawa apa juga kejayaan yang dilihat umum hanyalah sebahagian kecil daripada seluruh bahagian atau pihak yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.

“Malam di Hong Kong itu tidak berlaku dalam satu vakum. Perjalanan pemain bermula sejak mereka kanak-kanak lagi. Semua orang ada peranan termasuk ibu bapa, guru-guru di sekolah, jurulatih di peringkat belia dan ramai lagi,” ujar beliau.

Lebih penting daripada kelayakan untuk Piala Asia yang akan diadakan di Riyadh, Arab Saudi, pada Januari 2027, Lee berharap kejayaan pasukan negara itu dapat mencetuskan kesan rantaian – menarik minat kanak-kanak, sokongan sektor awam dan swasta, serta keyakinan bahawa bola sepak Singapura mampu melangkah lebih jauh.

Rendah hati, tetapi berprinsip

Walaupun berdepan keraguan mengenai usia dan pengalamannya sebagai ketua jurulatih dari sesetengah pihak, Lee memilih untuk tidak menjadikan kritikan sebagai bahan membakar emosi.

“Saya tidak mahu hidup seperti roller coaster – naik dengan pujian, jatuh dengan kritikan.

“Bagi saya, paling penting ialah penilaian daripada orang yang benar-benar mengenali kerja saya. Bagi diri saya, saya yakin dengan kebolehan saya,” ujar beliau.

Lee berkata beliau memulakan kerjaya jurulatihnya pada usia yang sangat muda, sekali gus menolak pandangan yang beliau kurang berpengalaman.

Namun, kritik menurut beliau adalah sebahagian daripada bola sepak. Beliau mendedahkan, di sebalik imejnya yang sering tampak tenang secara luaran, beliau mengakui dunia jurulatih penuh tekanan dan sebagai insan biasa, beliau juga merasakannya.

Namun, sokongan daripada mentor, rakan seperjuangan dan keluarga – terutama isterinya – menjadi sumber kekuatan utama, tambah Lee lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg