Topik diikuti
Pergi ke BHkuTampines sasar ulangi kejayaan Perisai Masyarakat
Nazri Nasir hadapi ujian pertama sebagai ketua jurulatih, penyerang Hide Higashikawa ‘senjata’ utama Tampines
Tampines sasar ulangi kejayaan Perisai Masyarakat
Setahun selepas mencipta kejutan besar dalam perlawanan pembukaan musim, Tampines Rovers sekali lagi berpeluang memberi amaran awal kepada juara bertahan Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors.
Kededua pasukan akan bertembung dalam perlawanan Perisai Masyarakat di Stadium Jalan Besar pada 6 September, dengan trofi pertama musim ini menjadi taruhan, menjelang kempen SPL yang akan bermula lima hari kemudian.
Pertemuan ini mengimbau kembali kenangan Perisai Masyarakat 2025, apabila Tampines mengejutkan Sailors dengan kemenangan 4-1 untuk merangkul trofi pertama mereka dalam tempoh lima tahun.
Kemenangan itu juga merupakan kejayaan Perisai Masyarakat mereka yang keenam, sekali gus mengukuhkan rekod mereka dalam pertandingan tersebut.
Kini, kelab dengan gelaran Stags itu akan berusaha untuk mengulangi prestasi cemerlang tersebut, manakala Sailors – yang kini berada dalam keadaan lebih lemah tanpa ketua jurulatih – pastinya bertekad untuk memastikan kekalahan seperti 2025 tidak berulang lagi.
Namun, Tampines masih mempunyai antara senjata utama mereka untuk ‘tenggelamkan’ Sailors sekali lagi.
Senjata tersebut merupakan penyerang berbisa mereka, Hide Higashikawa, yang muncul daripada bangku simpanan sebelum menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk melengkapkan kemenangan Stags pada edisi lalu.
Kali ini, penyerang Jepun itu bukan lagi pemain pinjaman yang cuba membuktikan dirinya.
Selepas kempen sulung yang luar biasa, Hide kini kembali sebagai pemain tetap Tampines dan antara tonggak utama yang diharapkan mampu membantu kelab itu mencabar kejuaraan.
Musim lalu, beliau menjaringkan 19 gol dalam SPL, muncul sebagai penjaring terbanyak Tampines dan kemudian dinobatkan Pemain Terbaik SPL 2025/26.
Beliau turut dipilih dalam Pasukan Terbaik Liga. Namun, pencapaian itu tidak membuatkan Hide selesa.
Sebaliknya, beliau menetapkan sasaran lebih tinggi – menjaringkan 35 gol musim ini.
Dan Perisai Masyarakat menawarkan pentas pertama untuk melihat sama ada Hide mampu memulakan kempen baharu dengan rentak yang sama.
“Saya mahu kami menjadi juara liga. Saya akan melakukan yang terbaik,” kata Hide yang percaya skuad Tampines kali ini mempunyai kualiti dan visi lebih baik.
Jika Tampines mahu menumbangkan Sailors buat kali kedua berturut-turut dalam Perisai Masyarakat, Hide berpotensi menjadi pemain paling penting untuk diperhatikan.
Kelajuannya, pergerakan tanpa bola dan keupayaan mencari ruang di kawasan penalti sudah terbukti menjadi masalah kepada pertahanan lawan musim lalu.
Sailors tentunya tidak akan memberikan ruang yang sama kali ini.
Kapten Tampines, Syazwan Buhari, mengakui kemenangan dalam Perisai Masyarakat penting untuk membina momentum, terutama dengan musim baharu yang bakal menyaksikan Tampines beraksi dalam empat pertandingan – SPL, Piala Singapura, Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) dan Kejuaraan Kelab Asean.
“Kemenangan itu penting sebagai permulaan yang baik. Ia boleh memberi momentum kepada kami untuk musim akan datang,” katanya.
Perisai Masyarakat juga akan menjadi ujian pertama buat Tampines di bawah Nazri Nasir.
Bekas pemain kebangsaan itu bukan orang asing dengan kelab berkenaan, setelah menghabiskan hampir tujuh tahun sebagai pemain Tampines dan membantu mereka meraih beberapa trofi.
Kini sebagai jurulatih, cabarannya jauh lebih besar untuk menumbangkan Sailors daripada puncak SPL.
Bagi Tampines, kemenangan 4-1 pada 2025 memberikan mereka keyakinan bahawa Sailors boleh ditewaskan.
Tetapi ia juga mewujudkan satu lagi cabaran.
Trofi itu sendiri mungkin tidak menentukan perjalanan sepanjang musim, tetapi kemenangan ke atas juara bertahan sebelum liga bermula pasti memberikan suntikan keyakinan yang besar.
Sekilas jadual perlawanan Tampines Rovers
September
• 11 Sep Iwn Balestier Khalsa di Our Tampines bub
Oktober
• 11 Okt Iwn Tanjong Pagar di Stadium Jurong East
• 18 Okt Iwn Young Lions di Our Tampines Hub
• 21 Okt Iwn Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar
• 25 Okt lwn FC Jurong di Stadium Jurong East
November
• 1 Nov Iwn Geylang International di Our Tampines Hub
• 22 Nov Iwn Hougang di Stadium Hougang
• 29 Nov Iwn FC Jurong di Our Tampines Hub
Februari 2027
• 14 Feb Iwn Young Lions di Our Tampines Hub
• 21 Feb Iwn Geylang International di Our Tampines Hub
• 28 Feb Iwn Tanjong Pagar di Our Tampines Hub
Mac 2027
• 7 Mac Iwn Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar
• 14 Mac Iwn Balestier Khalsa di Stadium Bishan
• 21 Mac Iwn Hougang united di Our Tampines Hub
April 2027
• 4 Apr Iwn Tanjong Pagar di Our Tampines Hub
• 11 Apr Iwn Young Lions di Stadium Jalan Besar
•18 Apr Iwn FC Jurong di Our Tampines Hub
• 24 Apr Iwn Lion City Sailors di Our Tampines Hub
• 30 Apr Iwn Geylang International di Our Tampines Hub
Mei 2027
• 8 Mei Iwn Hougang United di Stadium Hougang
• 15 Mei Iwn Balestier Khalsa di Our Tampines Hub
