Topik diikuti
Pergi ke BHkuTampines rebut tempat ACL2, tewaskan Sailors 3-2 dalam perlawanan terakhir musim
Tampines rebut tempat ACL2, tewaskan Sailors 3-2 dalam perlawanan terakhir musim
Lion City Sailors juara SPL dua musim berturut-turut
Tampines rebut tempat ACL2, tewaskan Sailors 3-2 dalam perlawanan terakhir musim
Tatkala peluangnya meraih tiket terakhir ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) bagi musim 2026/27 berada di hujung tanduk pada hari terakhir Liga Perdana Singapura (SPL), BG Tampines Rovers tenang menyahut cabaran dengan aksi luar biasa.
Pasukan bergelar The Stags itu hanya memerlukan keputusan seri untuk melayakkan diri ke pertandingan kelab kedua tertinggi di Asia itu, tetapi ia berjaya menjaringkan tiga gol dan bertahan dengan hanya 10 pemain dalam suku terakhir perlawanan untuk menumbangkan juara SPL, Lion City Sailors, 3-2 di Our Tampines Hub pada 17 Mei.
Sailors telah menjamin kejuaraan liga dengan musim berbaki dua perlawanan, tetapi ia turut memainkan peranan untuk memberikan saingan sengit kepada Tampines.
Jacob Mahler, Yuki Kobayashi, dan Hide Higashikawa masing-masing menjaringkan gol untuk memastikan Tampines melabuh tirai kempen dengan kejayaan, dengan Song Ui Young dan Lennart Thy menyumbat dua gol bagi Sailors.
Kemenangan tersebut membolehkan Tampines memintas Albirex Niigata, untuk muncul naib juara liga dengan 49 mata, sekaligus menjamin tempat sebagai wakil kedua Singapura di ACL 2. Albirex pula putih mata, walaupun ia menewaskan Young Lions 3-0 dalam perlawanan terakhirnya pada 16 Mei.
Kejayaan Tampines dibantu sokongan padu lautan penyokong setia berbaju kuning hitam yang memenuhi OTH demi memastikan kelab tempatan mereka kembali ke kancah ACL 2 – pentas pertandingan benua di mana mereka tersekat di suku akhir pada kempen 2025/26.
Walau tewas, keceriaan pemain Sailors tidak terjejas, kerana pasukan itu telah membuktikan ia pasukan terbaik di Singapura bagi dua musim berturut-turut.
Kedua-dua pasukan teratas SPL tersebut bakal menggalas cabaran dan membawa harapan dan nama Singapura ke ACL 2 yang dijadualkan membuka tirainya pada September ini.
Aksi di OTH pada 17 Mei bermula dengan seimbang apabila kedua-dua pasukan saling menyerang, namun penjaga gawang Tampines, Syazwan Buhari, terpaksa bekerja lebih keras untuk mengadang kemaraan Sailors.
Pada minit keenam, penyerang Sailors, Thy, bijak mengawal hantaran jauh daripada Tsiy Ndenge, namun rembatan leretnya tersasar.
Thy sekali lagi kucar-kacirkan pertahanan Tampines apabila beliau lompat paling tinggi untuk menanduk bola tepat ke hujung gawang, namun, ia ditepis Syazwan.
Higashikawa pula menjadi ayam tambatan Tampines dengan larian pantas dan kawalannya.
Pada minit ke-28, lompatannya mengatasi penjaga gawang Sailors, Ivan Susak – yang mempunyai ketinggian dua meter – namun tandukannya tersasar.
Separuh masa kedua bermula sebagaimana ia berakhir dengan kedua-dua pasukan rancak mengatur serangan.
Sailors memecahkan kebuntuan seawal minit ke-50 selepas gerakan cantik Bart Ramselaar tidak dibendung.
Hantarannya menemui Song Ui Young yang merembat cantik ke penjuru gawang Syazwan.
Tidak lama kemudian, Tampines menyamakan kedudukan apabila sepakan sudut Koya Kazama menemui Mahler, yang menanduk masuk gol penyamaan, pada minit ke-57.
Dua minit kemudian, Thy serta-merta mengembalikan kelebihan Sailors apabila tandukannya – hasil hantaran lintang, Nur Adam Abdullah – memperdaya Syazwan.
Asakan dan serangan bertubi-tubi kededua pasukan berterusan.
Pada minit ke-75, kelalaian di benteng pertahanan Sailors memberikan pemain tengah Tampines, Yuki Kobayashi, masa dan ruang untuk merembat masuk gol penyamaan.
Momentum kini berpihak kepada Tampines dan ia meneruskan asakan sehingga penyerang Hide Higashikawa menjaringkan gol ke-19 nya musim ini apabila beliau menunjukkan reaksi terpantas untuk menyambar bola yang melantun di depannya hasil satu sepakan sudut pada minit ke-78.
Momentum beralih kepada Sailors sejurus selepas itu apabila Tampines dikurangkan kepada 10 pemain apabila Kazama menerima kad kuning keduanya kerana menendang Ndenge pada minit ke-82.
Sailors memburu gol penyamaan namun Syazwan berdiri tinggi mempertahankan gawangnya.
Walau beraksi dengan 10 pemain, Tampines bertahan untuk memenangi perlawanan dan melangkah ke Asia.
Malam diakhiri dengan perayaan Sailors yang menjulang trofi SPL kedua berturut-turut.
Tampines terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 49 mata, diikuti Albirex Niigata sebanyak 47 mata.
Balestier Khalsa dan Geylang International menduduki tangga keempat dan kelima, masing-masing dengan 35 dan 24 mata.
Hougang United, yang akan menentang Tanjong Pagar di Stadium Jurong East pada 18 Mei, menduduki tangga keenam dengan 21 mata.
Dua tanggo tercorot liga dihuni Young Lions dan Tanjong Pagar, yang masing-masing mengumpul sembilan dan empat mata.
