BG Tampines Rovers berazam mahu mengekalkan rentak cemerlang mereka pada musim ini, sedang mereka bersiap sedia menentang BG Pathum United pada 3 Disember dalam perlawanan Kejohanan Kelab Asean (ACC), atau lebih dikenali sebagai Piala Shopee.
Tampines sudah menewaskan BG Pathum dua kali secara berturut-turut sebelum ini.
Bercakap di sidang media pada 2 Disember di Hotel Grand Mecure Roxy yang terletak di East Coast Road, ketua jurulatih Tampines, Noh Rahman, berkata peluang beraksi di pentas serantau seperti Piala Shopee dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di samping komitmen tempatan mereka dalam Liga Perdana Singapura (SPL) dan Piala Singapura, sebagai “keistimewaan” bagi Tampines.
Beliau turut memuji ketahanan mental dan usaha anak didiknya sebagai kunci mengatasi beberapa detik sukar sepanjang musim ini.
“Kerja keras dan ketabahan skuad ini telah membantu kami mengatasi beberapa lawan hebat, seperti Pohang Steelers dalam kempen ACL2.
“Perlawanan seperti itu sangat mencabar tetapi kemahiran pasukan ini untuk bersatu apabila diuji antara ciri-ciri terhebat kami,” jelas Noh Rahman.
Beliau menambah bahawa kehadiran dan bimbingan pemain veteran seperti kapten Syazwan Buhari, Shah Shahiran dan Faris Ramli bukan sahaja menambah kepada prestasi Tampines, bahkan membantu merapatkan hubungan skuad.
Tampines ingin teruskan kecemerlangan itu di Piala Shopee, dengan sekali lagi menyambut BG Pathum, tetapi kali ini di Stadium Jalan Besar yang baru dibuka semula.
Kelab Thailand itu akan berusaha memanfaatkan momentum di bawah kendalian jurulatih baru untuk meraih keputusan lebih positif menentang Tampines kali ini, selepas kekalahan sengit dalam dua pertemuan terakhir mereka.
BG Pathum memburu satu lagi kemenangan dalam Piala Shopee untuk meraih tempat dalam pusingan kalah mati.
BG Pathum ditewaskan oleh Tampines dalam perlawanan ACL2 pada 2 Oktober, walaupun kelab Thai itu mengancam benteng Tampines sepanjang perlawanan.
Kini, mereka berada di kedudukan kedua dalam Kumpulan ‘A’ setelah merangkul empat mata dalam dua perlawanan, hanya ketinggalan di belakang pendahulu, Selangor, berdasarkan perbezaan jaringan
Baru-baru ini pula, BG Pathum telah menghasilkan prestasi memberangsangkan di bawah bimbingan jurulatih berasal dari Jepun, Masatada Ishii, yang mengambil alih BG Pathum pada lewat Oktober 2025.
Dua kemenangan dan dua keputusan seri dalam lima perlawanan terakhir membuktikan yang pemain BG Pathum telah menyesuaikan diri dengan taktik Masatada dengan lancar.
Masatada berkata: “Walaupun tiada banyak masa, pemain kami telah menerap taktik pertahanan dengan baik dan telah menunjukkan banyak peningkatan sejak perlawanan pertama kami.”
Prestasi yang memberangsangkan itu dicapai meskipun mereka mempunyai jadual perlawanan padat.
“Ternyata, jadual perlawanan kami padat, tetapi kami fokus satu demi satu perlawanan untuk menang atau sekurang-kurangnya menghasilkan persembahan yang terbaik,” tambah beliau.
Tahap fizikal dan ketahanan mental Tampines juga diuji dengan jadual padat. Pada Disember 2025, Tampines akan beraksi dalam sekurang-kurangnya empat perlawanan dalam 17 hari.
Bek kiri, Sanchai Nontasila, berkata pemain BG Pathum mempunyai daya mental yang kuat untuk bangkit daripada situasi mencabar demi menewaskan lawan.
Sanchai berkata: “Mereka (Tampines) sangat cemerlang baru-baru ini dengan sembilan kemenangan dan hanya satu kekalahan. Namun, kami akan melupakan kekalahan sebelum ini… Kami akan memanfaatkan momentum daripada dua kemenangan kami.”
Perlawanan Tampines menentang BG Pathum akan bermula pada 7.30 malam di Stadium Jalan Besar.
Tampines merupakan kelab tempatan yang pertama untuk beraksi di padang semula jadi baru di stadium itu, umum Persatuan Bola Sepak (FAS) pada 1 Disember.
Syazwan berkata: “Sebagai pemain, ia lebih istimewa untuk beraksi di Jalan Besar kerana penyokong berada lebih dekat dengan kami, memandangkan tiada trek larian di situ.”
“
“Kerja keras dan ketabahan skuad ini telah membantu kami mengatasi beberapa lawan hebat, seperti Pohang Steelers dalam kempen ACL2. Perlawanan seperti itu sangat mencabar tetapi kemahiran pasukan ini untuk bersatu apabila diuji antara ciri-ciri terhebat kami.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg