‘Superman’ bola sepak Singapura, Hassan Sunny, telah mengumumkan persaraan beliau daripada bola sepak antarabangsa.
Perlawanan terakhirnya bersama negara – kekalahan 1-3 kepada Thailand dalam kelayakan Piala Dunia pada 11 Jun – merupakan perlawanan tidak boleh dilupakan kerana penjaga gawang nasional berusia 40 tahun itu berjaya menyelamatkan 11 percubaan lawan.
Aksi beliau bukan sahaja membantu China layak ke pusingan seterusnya, bahkan menjadikan beliau wira dalam kalangan peminat bola sepak China.
Hassan mengumumkan persaraan beliau di media sosial pada 18 Ogos.
Sebelum ini, beliau telah membuat 115 penampilan sepanjang kerjaya yang bertahan kira-kira 20 tahun, menjadikannya penjaga gawang yang membuat penampilan terbanyak bagi skuad Singa.
“Pertama, sebab usia saya. Saya rasa sudah tiba masanya saya dengar keperluan badan saya, yang memberitahu saya bahawa saya perlu berehat daripada pasukan nasional. Pasukan Singa juga mempunyai penjaga gawang lain untuk mengambil alih (tempat saya),” kata bapa empat anak itu.
“Kedua ia didorong selepas perlawanan menentang Thailand itu... keputusannya tidak hebat tetapi dari segi prestasi saya, ia sesuatu yang akan tetap saya kenang,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa perlawanan tersebut merupakan antara detik cemerlang dalam kerjayanya.
“Saya masih ingat semasa kami berada di lapangan terbang apabila Tatsuma (Tatsuma Yoshida, bekas jurulatih nasional) berbisik kepada saya: ‘Saya ingin kamu bermain hingga usia 40 tahun’ dan saya berjanji kepada beliau. Saya dapat laksanakan janji tersebut,” kongsi Hassan.
Sejak penampilan sulungnya dalam kelayakan Piala Dunia menentang India kira-kira 20 tahun lalu, beliau berjaya meraih dua Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) bersama Singapura pada 2004 dan 2007.
Hassan juga telah memenangi liga tempatan sebanyak empat kali bersama empat kelab berbeza – Tampines Rovers (2011), Warriors FC (2014), Lion City Sailors (2021) dan Albirex Niigata (2023).
Beliau juga pernah bermain bagi pasukan Thailand, Army United, selama dua musim pada 2015.
Hassan percaya beliau masih boleh menyumbang di peringkat kelab setempat dan telah menandatangani kontrak dua musim bersama Albirex pada Jun 2023.
Walaupun masa depan mengenai penglibatan beliau dengan skuad Singa belum ditentukan, beliau berharap dapat mengambil peranan sebagai rakan latihan seperti yang dilakukannya sebelum ini bersama pasukan Singa Bawah 23 Tahun.
“Saya boleh mendorong (penjaga gol lain), berkongsi sedikit pengalaman saya... seperti seorang mentor. Saya tidak keberatan melakukannya lagi,” kata Hassan.
Hassan juga berkongsi beliau akan merindui menyanyikan lagu kebangsaan dan beraksi di hadapan warga Singapura tetapi beliau kini menyokong penjaga gawang muda Singa lain termasuk penjaga gawang BG Tampines Rovers, Syazwan Buhari; pasukan Young Lions, Aizil Yazid; dan pasukan Lion City Sailors, Zharfan Rohaizad dan Izwan Mahbud.
“Saya percaya mereka mempunyai kebolehan dan kemahiran yang diperlukan untuk kekalkan ataupun meningkatkan prestasi penjaga gawang Singapura,” kongsi Hassan kepada Berita Harian (BH).
Jurulatih Singa, Tsutomu Ogura, berkongsi bahawa mereka akan menentukan penjaga gawang utama seterusnya dalam tempoh perlawanan antarabangsa akan datang.
“Dalam masa yang singkat saya berada di sini, Hassan telah berjuang demi rakan sepasukannya dan untuk Singapura. Beliau sentiasa menjadi model profesional dan pemimpin dalam pasukan,” kata pakar taktik warga Jepun itu, yang dilantik jurulatih nasional pada 1 Februari.
“Beliau merupakan contoh bagaimana seseorang itu boleh melanjutkan kerjaya profesional mereka dengan menjaga diri dengan baik di luar bola sepak. Kami akan merindui kehadirannya di dalam dan luar padang,” tambahnya.
Hassan juga sempat melahirkan penghargaannya kepada peminat yang telah banyak menyokongnya sepanjang kerjaya antarabangsa beliau.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat saya dan sudah tentu orang yang paling penting bagi saya, contohnya isteri saya, anak-anak saya, ibu bapa dan adik-beradik saya.
“Mereka adalah orang yang telah menyokong saya sewaktu detik-detik mengecewakan, bukan sahaja semasa saya sedang berjaya,” katanya.
Bakal Pengganti Hassan Sunny (Infobox)
Izwan Mahbud, Lion City Sailors
Berusia 34 tahun, Izwan Mahbud tidak kurang pengalamannya. Beliau mempunyai 54 penampilan antarabangsa dan 200 penampilan bagi kelab. Pada 2015, jurulatih penjaga gawang Singapura pada masa itu, John Burridge, berkata bahawa David Moyes terfikir untuk menandatangani Izwan ke kelab La Liga, Real Sociedad, sebagai pemain kedua kepada penjaga gawang utama mereka, tetapi ia tidak berlaku kerana Moyes akhirnya dipecat oleh Real Sociedad.
Syazwan Buhari, BG Tampines Rovers
Berusia 31 tahun, Syazwan Buhari bukan nama baru dalam dunia bola sepak tempatan Singapura. Beliau membuat sebanyak 241 penampilan bagi Young Lions, Geylang International dan BG Tampines Rovers, dan mempunyai dua penampilan untuk Singapura. Beliau kini merupakan kapten BG Tampines Rovers.
Aizil Yazid, Young Lions
Anak kepada penjaga gawang legenda Singapura, Yazid Yasin, Aizil Yazid kelihatan seperti beliau sedang mengikut jejak bapanya. Berusia hanya 19 tahun, ramai yang mengatakan bahawa beliau mempunyai bakat menjadi penjaga gawang utama Singapura pada masa depan.
Pada 2021, Aizil membuat penampilan sulung profesionalnya menentang Tampines Rovers, menjadikannya penjaga gawang termuda kedua dalam sejarah liga pada usia 17 tahun dan 218 hari, hanya dikalahkan oleh bapanya yang memegang rekod tersebut pada 16 tahun dan 309 hari.
Zharfan Rohaizad, Lion City Sailors
Zharfan, berusia 27 tahun, menjadi antara tumpuan ramai sebagai bakat baru penjaga gawang Singapura. Pada musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2022, beliau membuktikan bakat beliau dengan menyelamatkan sebanyak 122 percubaan lawan musim itu – jumlah terbanyak dalam musim 2022. Pada 2023, Zharfan juga berjaya menyelamatkan beberapa percubaan Tottenham Hotspur dalam perlawanan persahabatan mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg