LOS ANGELES: Stadium SoFi di Los Angeles, Amerika Syarikat, sedang giat membuat persediaan akhir menjelang Piala Dunia.

Ratusan tempat duduk sudut di stadium itu telah dirobohkan, dan pada 12 Mei, berlori-lori muatan rumput segar pula mula bergerak dalam perjalanan sepanjang ribuan kilometer dari Washington ke stadium itu. 

Stadium bernilai AS$5 bilion ($6.4 bilion) itu juga terpaksa menimbus rumput tiruan piawaian Liga Bola Sepak Nasional (NFL) yang sedia ada, di bawah lapisan pasir dan bahan lantai yang kompleks.

Semua tanda penajaan korporat turut dialihkan dari stadium itu, bagi persediaan perlawanan pertama pasukan Amerika menentang Paraguay dalam masa kurang sebulan lagi. 

“Tidak sempat tidur. Kita akan tidur kemudian!” kata Naib Presiden Kanan operasi kemudahan dan kampus, Otto Benedict, sehari sebelum stadium itu diserahkan secara rasmi kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan dinamakan semula kepada nama neutral dan tiada kaitan jenama, Stadium Los Angeles.

Oleh kerana padang bola Amerika lebih sempit, sementara padang bola sepak biasanya memerlukan ruang tambahan untuk pemain melakukan tendangan sudut dan lemparan masuk, pihak pengurusan telah membuang 100 tempat duduk di setiap sudut bagi memenuhi keperluan padang yang mematuhi peraturan Fifa.

Fifa pada mulanya mahukan padang dengan kelebaran sehingga 80 meter di bahagian sudut, tetapi menyedari bahawa tiada satu pun daripada 11 stadium NFL yang digunakan mampu memenuhi jarak tersebut, kata Benedict.

Stadium SoFi sememangnya mempunyai beberapa tempat duduk “yang boleh ditanggal” di sudut yang boleh dikeluarkan seperti blok permainan Lego.

Namun keputusan telah dibuat untuk turut mengeluarkan dua baris tempat duduk tetap tambahan di dua sudut bagi mewujudkan ruang yang mencukupi. 

Namun, berita baiknya ialah peminat yang telah membeli tempat duduk di sudut tersebut akan mendapat tempat duduk yang sangat hampir dengan aksi di padang, jelas Benedict. 

Rumput dijadualkan dituai di kawasan Barat Laut Pasifik negara itu pada malam 12 Mei, dimasukkan serta-merta ke dalam trak berhawa dingin, dan dibawa terus ke stadium tersebut tanpa berhenti oleh pasukan pemandu yang bertugas secara bergilir-gilir.

Tujuannya adalah untuk memastikan rumput itu “tidak terlalu lama berada di dalam trak semasa perjalanan ke sini”, kata Benedict. 

Walaupun tempoh pemasangan rumput itu, yang bermula hanya sebulan sebelum perlawanan pertama, mungkin kelihatan terlalu singkat, beliau merujuk kepada ujian permukaan hibrid yang menggabungkan rumput semula jadi dan gentian sintetik.

Kaedah itu telah digunakan semasa pertandingan bola sepak Liga Negara Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf) pada 2025 di Stadium SoFi.

“Pada 2025, kami telah membina padang yang serupa dengan sistem yang sama seperti sekarang, dan menguji prestasinya,” katanya. 

“Tempoh 30 hari ini lebih daripada mencukupi untuk kami memasang rumput, membiarkannya berakar dengan baik, dan membolehkan Fifa mengambil alih kemudahan ini.” – Agensi berita.