Kejohanan silat Piala Presiden kembali diadakan pada 2026 – sekitar 21 tahun selepas ia berlangsung pada 2005.
Pertandingan anjuran Persekutuan Silat Singapura (Persisi) itu juga menyaksikan acara khas untuk pesilat cilik berusia enam hingga 11 tahun dianjurkan buat kali pertama.
Kejohanan yang berlangsung dari 16 hingga 18 Januari itu bakal menyaksikan seramai 358 peserta berumur enam hingga 11 tahun daripada 20 pasukan beraksi dalam pelbagai acara di Pusat Sukan Choa Chu Kang ActiveSG, kata Persisi dalam satu kenyataan pada 15 Januari.
Persisi menambah bahawa kejohanan tersebut merupakan platform pembangunan yang penting bagi pesilat muda berpotensi di Singapura untuk memperoleh pengalaman pertandingan, yang amat penting bagi perkembangan jangka panjang mereka.
Semasa dihubungi Berita Harian (BH), ketua jurulatih silat negara, Rafili Ramli, berkata kejohanan tersebut juga mampu menjadi saluran bagi mengenal pasti bakat berpotensi pada peringkat awal, terutamanya bagi atlet kategori Praremaja.
Atlet daripada kategori umur enam hingga tujuh tahun dan lapan hingga sembilan tahun bakal beraksi dalam acara tanding sahaja, manakala atlet kategori Praremaja (10 hingga 11 tahun) bakal menyertai kedua-dua acara tanding dan seni, termasuk Tunggal, Ganda dan Regu.
Hadir pada perasmian kejohanan itu pada 16 Januari selaku tetamu terhormat ialah Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Di acara tersebut, Encik Zaqy menyaksikan kepimpinan Persisi menyerahkan Keris Mandat kepada pegawai kejohanan sebagai simbol pembukaan rasmi kejohanan serta tanda kepercayaan persekutuan terhadap pegawai bertugas menegakkan piawaian tertinggi dalam penganjuran pertandingan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg