Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sepanyol tersingkir, Enrique dipecat

Dec 11, 2022 | 5:30 AM
- Foto REUTERS
- Foto REUTERS -

SEPANYOL: Luis Enrique telah dipecat selaku pengurus pasukan Sepanyol, menyusuli kekalahan pasukan negara itu kepada Maghribi dalam pusingan kalah mati 16 pasukan terakhir di Piala Dunia.

Pengurus bawah 21 tahun pasukan negara itu, Luis de la Fuente, dinamakan sebagai penggantinya oleh Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (Rfef).

"Kededua presiden, Luis Rubiales, dan pengarah kesukanan, Jose Francisco Molina, telah memberitahu jurulatih itu akan keputusan mereka," kata Rfef dalam satu kenyataan.

"Rfef telah memilih Luis de la Fuente selaku pengurus Sepanyol yang baru."

Persekutuan itu menambah bahawa ia ingin mengucapkan terima kasih kepada Enrique dan kakitangannya di atas sumbangan mereka tapi mengambil keputusan untuk memulakan satu "projek baru".

"Pengarah kesukanan Rfef telah memberi presiden satu laporan, di mana ia mengesahkan bahawa projek baru itu patut bermula bagi pasukan nasional, dengan matlamatnya adalah untuk meneruskan kemajuan yang dicapai sejak beberapa tahun lalu atas sumbangan Luis dan rakan-rakannya," kata kenyataan itu.

"Beliau memilih bakat muda dan telah menanam harapan untuk masa depan pasukan Sepanyol.

"Rfef dengan berbesar hati ingin mengucapkan yang terbaik buat Luis Enrique dan pasukannya dalam projek profesional mereka pada masa depan."

Meskipun Sepanyol menguasai perlawanan dalam pusingan kedua menentang Maghribi, laluan Sepanyol dalam Piala Dunia kali ini berakhir selepas tewas dalam tendangan penalti - dan menyaksikan wakil Afrika itu menempah tempat ke peringkat suku akhir menentang Portugal.

Ini masuk tahun ke-10 sejak kali terakhir Sepanyol menang trofi utama mereka, apabila merangkul kejuaraan Euro dan kemudian Piala Dunia empat tahun kemudian, dan mereka langsung tidak melangkah ke peringkat selanjutnya melepasi pusingan kalah mati sejak menang Piala Dunia 2010.

Pakar bola sepak Sepanyol Guillem Balague, berkata Sepanyol masih jauh ketinggalan daripada persaingan dengan negara-negara utama, namun adakah ini bermakna perjalanan telah berakhir buat Luis Enrique?

Padahal statistik pasukan Sepanyol dalam perlawanan menentang Maghribi amat memberangsangkan.

Sepanyol mengawal 77 peratus perlawanan dan membuat 1,019 umpanan dengan 926 daripadanya tepat pada sasaran, berbanding Maghribi hanya melakukan 304 umpanan.

Sepanyol mengakhiri perlawanan itu dengan hanya satu rembatan yang mengena sasaran akibat kawalan rapi dan tersusun oleh para pemain Maghribi sepanjang perlawanan.

Satu rembatan yang mengena sasaran merupakan angka terendah pernah dicapai pasukan itu dalam Piala Dunia.

Ironinya Luis Enriue mendakwa pasukannya telah berlatih menyepak 1,000 tendangan penalti semasa latihan.

"Saya pilih siapa yang patut buat sepakan, memandangkan saya fikir mereka yang terbaik di padang," kata Luis Enrique.

"Apa yang kami lakukan adalah mengawal permainan tapi gagal jaringkan gol dan itulah realitinya," tambah beliau.

Bekas pemain tengah Sepanyol berusia 52 tahun itu akan mengakhiri kontraknya menjelang musim panas akan datang selepas dilantik pengurus pasukan negara itu pada 2018.

Menurutnya: "Sekiranya mampu, saya ingin terus kekal membimbing pasukan ini. Tapi itu mungkin tidak akan berlaku.

"Saya perlu tenang fikirkan apa yang terbaik buat saya," ujarnya lagi. - Agensi berita.

"Sekiranya mampu, saya ingin terus kekal membimbing pasukan ini. Tapi itu mungkin tidak akan berlaku. Saya perlu tenang fikirkan apa yang terbaik buat saya." - Luis Enrique.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg