LONDON: Kurang dua tahun selepas dipecat oleh Hull City, Liam Rosenior, kini dilantik sebagai ketua jurulatih Chelsea.
Sejak meninggalkan Hull, Rosenior membina reputasi sebagai antara pengurus muda paling menyerlah di Eropah selepas mengendalikan kelab sekutu Chelsea, Strasbourg, selama 18 bulan.
Disifatkan sebagai ‘pembawa pembaharuan’ dan individu yang ‘sedang menuju ke puncak’, jurulatih berusia 41 tahun itu berjaya menarik perhatian pihak pengurusan atasan Chelsea.
Ini ketika Rosenior bekerja dalam struktur pengurusan sama yang sebelum ini menyaksikan ketegangan antara pihak pengurusan dengan bekas ketua jurulatih, Enzo Maresca.
Namun, mengapa Chelsea sekali lagi memilih pengurus yang boleh dikatakan kurang berpengalaman, dan adakah Rosenior benar-benar bersedia menghadapi cabaran Liga Perdana England (EPL)?
Chelsea berada di bawah tekanan untuk memastikan pelantikan kali ini tepat, dengan segelintir penyokong melaungkan secara sinis nama bekas pemilik kelab, Roman Abramovich, sebagai calon ketua jurulatih baru semasa perlawanan seri 1-1 menentang Manchester City pada 4 Januari.
Pada masa sama, sekumpulan kecil penyokong turut merancang satu bantahan terhadap pemilik kelab menjelang perlawanan EPL seterusnya di padang sendiri menentang Brentford.
Dihimpit tekanan tersebut, Chelsea membuat keputusan memilih individu yang sudah dikenali pihak pengurusan di Stamford Bridge.
Rosenior kali pertama bertemu pengarah sukan Chelsea, Paul Winstanley dan Laurence Stewart, lebih 15 tahun lalu ketika beliau masih bermain bersama Brighton.
Selain itu, Sam Jewell – pengarah pengambilan pemain sejagat Chelsea – pernah bekerjasama rapat dengan Rosenior apabila beliau melatih pasukan bawah 23 tahun Brighton selepas bersara sebagai pemain.
Rosenior turut mengenali Stewart ketika beliau bertugas sebagai pengulas di Hull, kelab yang pernah disertainya sebagai pemain sebelum dilantik sebagai pengurus.
Pada musim panas lalu, semasa Piala Dunia Kelab, Rosenior melawat Amerika Syarikat bersama Presiden Strasbourg, Marc Keller, untuk bertemu pihak pengurusan Chelsea.
Pemilik kelab, Behdad Eghbali dan Todd Boehly, juga kerap mengunjungi kelab Perancis itu.
Rosenior telah lama dilihat sebagai calon pengganti Maresca, namun kelab itu pada asalnya tidak merancang membuat perubahan pada pertengahan musim.
Chelsea berharap Rosenior dapat terus menimba pengalaman di Strasbourg.
Namun, kenyataan Maresca pada penghujung 2025 memaksa pemilik kelab bertindak lebih awal.
Mereka melihat Rosenior, yang menggemari gaya permainan berasaskan penguasaan bola yang serupa, sebagai pilihan yang paling ‘lancar’ untuk kelab.
Beliau mungkin berdepan kritikan kerana dianggap kurang berpengalaman, namun Chelsea menekankan bahawa Rosenior sebenarnya mempunyai lebih pengalaman berbanding Maresca ketika jurulatih Italy itu dilantik pada 2024.
Maresca sememangnya pernah memenangi kejuaraan, manakala Rosenior masih belum menjulang sebarang piala bagi kelab di bawah kendaliannya.
Namun, jurulatih baru itu telah mengendali 153 perlawanan ‘senior’ bersama Hull dan Strasbourg, berbanding Maresca yang baru mengendali 67 perlawanan.
Maresca juga pernah menjadi pembantu Pep Guardiola semasa musim ‘treble’ Manchester City pada 2022-23.
Selain itu, timbul isu Rosenior datang ke Chelsea ketika prestasi pasukannya kurang mantap – selepas gagal meraih kemenangan dalam kelima-lima perlawanan Ligue 1 (liga Perancis) terbaru.
Strasbourg juga hanya menang dua daripada 10 perlawanan, serta kehilangan 13 mata daripada kedudukan teratas musim ini.
Pakar bola sepak Perancis, Julien Laurens, memberi ulasannya mengenai pelantikan baru Rosenior:
“Saya benar-benar percaya pemilik kelab menempatkannya di Strasbourg sebagai persiapan bagi peranan di Chelsea suatu hari nanti.
“Saya rasa jika beliau tunjuk kemampuan di Strasbourg, iaitu mengendalikan pasukan yang hampir terkeluar dan membawanya hampir layak ke Liga Juara-Juara – itulah yang beliau capai musim lalu.
“Pencapaian itu menunjukkan potensi, perkembangan beliau, dan kemampuan untuk meningkatkan prestasi pasukan serta pemain.”
Maresca memilih barisan pemain utama termuda – dengan purata umur 24 tahun dan 198 hari – dalam EPL setakat musim ini.
Perlawanan terakhir beliau sebagai pengurus menampilkan barisan paling muda musim ini, dengan purata umur 23 tahun dan 157 hari.
Keinginannya untuk Chelsea menandatangani beberapa pemain lebih berpengalaman dipercayai antara sebab yang mencetuskan ketegangan yang membawa kepada pemecatannya.
Namun, kelab itu yakin Rosenior tidak akan mengulang perkara sama.
Ketika di Strasbourg, beliau mengetuai pasukan termuda dalam lima liga utama Eropah, dengan purata umur hanya 21.47 tahun.
Chelsea percaya Rosenior memahami tugasnya, iaitu memberi tumpuan kepada pembangunan pemain muda – sama ada untuk dijual atau meningkatkan prestasi kelab.
Antara kejayaannya di Strasbourg ialah membangunkan potensi penyerang, Emmanuel Emegha, sehingga beliau dapat menyarung jersi Chelsea pada musim depan.
Selain itu, beliau membawa pasukan mudanya menamatkan saingan musim lalu di tangga ketujuh – sekali gus meraih tempat ke Liga Persidangan Europa dan mencapai kedudukan yang hanya pernah dicapai dua kali sejak 1981.
Pada musim pertamanya, Strasbourg hampir layak ke Liga Juara-Juara.
Meskipun begitu, Chelsea tidak dapat mengelak daripada dituduh membawa masuk Rosenior sebagai seorang ‘yes man’ (selalu bersetuju dengan pihak atasan).
Bekas penyerang sayap Chelsea, Pat Nevin, sebelum pelantikan Rosenior berkata beliau menjangkakan kelab itu akan “mengambil seseorang yang muda dan mudah dikawal”.
“Chelsea memerlukan seseorang yang sanggup menerima metodologi kelab,” tambahnya.
“Cara lain untuk mengatakan itu ialah, mereka memerlukan seorang boneka. Seseorang yang menjalankan apa sahaja arahan daripada pihak atasan.”
Chelsea sudah tentu akan menegaskan bahawa Rosenior bukan seorang ‘boneka’ dan mereka hanya memilih seorang calon cemerlang yang mampu meningkatkan prestasi kelab.
Rosenior telah membina nama sebagai salah seorang bintang muda yang sedang meningkat naik dalam dunia kejurulatihan.
Presiden Strasbourg menyifatkannya sebagai seorang “pembawa pembaharuan”, serta memuji kebolehannya memahami visi kelab dan melaksanakannya dengan segera.
Sementara itu, pemain pertahanan Strasbourg, Ben Chilwell, berkata Rosenior sedang “menuju ke puncak”, sambil menambah:
“Beliau adalah sebab saya sertai kelab ini.”
Selepas menyaksikan sesi latihan Rosenior di Strasbourg, bekas pemain pertahanan Manchester United, Phil Jones, memberitahu Football Focus:
“Saya benar-benar kagum dengan cara beliau bercakap dengan pemain, mesyuarat yang diadakan, dan cara beliau melihat perlawanan. Beliau bersemangat dan tidak takut membuat keputusan besar.
“Penyokong Chelsea mungkin mahukan jurulatih lebih popular, tetapi beliau telah melakukan tugas dengan baik, dan ini peluang yang terlalu baik untuk ditolak,” tambah Jones.
Bekas penyerang England, Wayne Rooney – di mana Rosenior pernah menjadi penolong pengurus di Derby County – menyifatkan Rosenior sebagai “seorang jurulatih yang sama hebat dengan mana-mana jurulatih yang pernah bekerja dengan saya”.
Sebelum menceburi bidang kejurulatihan, Rosenior pernah bermain di EPL – sama seperti bapanya, Leroy.
Kedua-dua Leroy dan Liam pernah gagal dalam percubaan bersama Chelsea.
Namun, Liam, yang lahir di Wandsworth, kini menandatangani kontrak sebagai jurulatih kelab tersebut.
Beliau sekali gus menjadi ketua jurulatih kulit hitam pertama bagi kelab Britain yang mempunyai sejarah insiden perkauman sehingga akhir 1990-an.
“Liam Rosenior adalah jurulatih bermutu yang memahami luar dan dalam permainan, dan itulah yang paling penting,” kata bekas pemain bola sepak profesional England, Paul Canoville.
“Tetapi, sebagai pemain kulit hitam pertama Chelsea, saya dapat katakan bahawa detik ini menyentuh hati saya.
“Ia adalah detik besar untuk kelab, untuk London, dan untuk setiap anak muda yang mempunyai impian besar. Namun sekarang? Mari sokong Liam (Rosenior), beri apa yang beliau perlukan, dan biar beliau lakukan tugasnya.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg