SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

PSG kuasai dari awal untuk tewaskan Liverpool 2-0

PSG kuasai dari awal untuk tewaskan Liverpool 2-0

Atletico Madrid pula tewaskan Barcelona 2-0 di Camp Nou pada suku akhir pertama
Apr 9, 2026 | 3:35 PM

PSG kuasai dari awal untuk tewaskan Liverpool 2-0

PARIS: Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia masing-masing menjaringkan satu gol untuk memberikan Paris Saint-Germain (PSG) kemenangan 2-0 ke atas Liverpool dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Paris pada 8 April.

Seawal minit ke-11, PSG sudah menggegarkan gawang pelawat menerusi penyudah Doue yang bijak mengambil peluang hasil situasi kelam-kabut di depan gol, sebelum bola melambung melepasi penjaga gol, Giorgi Mamardashvili.

Gol kedua tiba pada minit ke-65, kali ini menerusi sentuhan licik Kvaratskhelia yang mudah menewaskan Mamardashvili, sekali gus satu jaringan yang menggambarkan jurang keyakinan antara dua pasukan itu.

PSG tampak lebih lincah dan menguasai perlawanan itu dari awal hingga akhir.

“Saya fikir 2-0 adalah bagus, tetapi kami perlu kekal fokus kerana kami perlu bermain di Anfield,” kata Kvaratskhelia.

Namun, di sebalik kemenangan itu, PSG mungkin terkilan tidak mendapat lebih banyak gol selepas peluang demi peluang dicipta, malah satu sepakan penalti turut “ditarik balik” selepas semakan video pembantu pengadil (VAR).

Taktikal Arne Slot yang memilih pendekatan bertahan gagal mengekang kreativiti PSG, malah memperlihatkan The Reds terperangkap dalam “mod bertahan”.

Pelan permainan Liverpool tidak dapat menghalang mereka daripada mengalami kekalahan kedua dalam tempoh lima hari, walaupun keputusan tidak seteruk kekalahan 0-4 di tangan Manchester City pada suku akhir Piala FA hujung minggu lalu.

Liverpool kini mencatat hanya satu kemenangan dalam enam perlawanan dalam semua pertandingan, dan ini merupakan kekalahan ke-16 secara keseluruhan pada musim ini.

Pasukan Slot kini mesti cuba mengulangi apa yang mereka lakukan pada peringkat 16 terakhir, apabila mereka membalikkan kekalahan 0-1 pada perlawanan pertama di tempat lawan kepada Galatasaray dengan menang 4-0 dalam perlawanan timbal balik di Anfield.

Bagaimanapun, ini akan menjadi tugas jauh lebih sukar, kerana kedua-dua pasukan akan bertembung lagi pada 14 April di Merseyside.

Sebelum ini, PSG menang 1-0 dalam perlawanan kedua pusingan 16 terakhir mereka musim lalu sebelum mara melalui penalti.

Itu merupakan langkah besar dalam perjalanan PSG untuk memenangi Liga Juara-Juara, dan berlaku selepas mereka tewas 1-0 di Parc des Princes walaupun menguasai perlawanan sepenuhnya.

Slot tidak berselindung apabila mengakui pasukannya tewas dalam semua aspek pertembungan itu.

“Jika melihat kepada keseluruhan perlawanan, saya rasa kami bertuah kerana hanya kalah 0-2,” tambahnya.

Sementara itu Atletico Madrid mengutip bekalan selesa pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah apabila menewaskan Barcelona 2-0 di Camp Nou.

Pasukan bimbingan Diego Simeone itu memanfaatkan kelebihan seorang pemain selepas pemain pertahanan Barcelona, Pau Cubarsi, dilayangkan kad merah pada minit ke-42 kerana mengasari Giuliano Simeone.

Julian Alvarez membuka tirai jaringan buat Atletico menerusi sepakan percuma yang menarik dari jarak 25 meter dalam masa kecederaan babak pertama, sekali gus mengejutkan penyokong tuan rumah yang memenuhi stadium.

Usaha pelawat akhirnya membuahkan hasil sekali lagi pada minit ke-70 apabila hantaran Matteo Ruggeri disudahkan dengan kemas oleh Alexander Sorloth untuk jaringan kedua pasukan. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg