Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengucapkan tahniah kepada pasukan kebangsaan menyusuli kemenangan mereka dalam pembukaan kempen Piala Asean Hyundai ke atas Kemboja.

Dalam hantaran Facebook pada 25 Julai, Encik Wong memuji usaha dan semangat sepasukan melibatkan barisan pemain, jurulatih, dan seluruh warga kerja di sebalik tabir.

“Tahniah kepada pasukan Singa atas kemenangan yang diperolehi hasil perlawanan sengit menentang Kemboja.

“Syabas diucapkan kepada Shawal Anuar yang membuka jaringan, serta kepada Ilhan Fandi yang menjaringkan gol kemenangan pada lewat perlawanan.

“Usaha berpasukan yang hebat daripada para pemain, jurulatih, dan semua pihak di sebalik pasukan. Semoga berjaya diucapkan kepada skuad Singa untuk perlawanan akan datang,” kata beliau.

Dalam perlawanan di Stadium Nasional Morodok Techo, Kemboja, pada 24 Julai itu, pasukan Singa menang 2-1 ke atas Kemboja hasil jaringan Shawal dan Ilhan.