NEW YORK: Badan penganjur golf profesional Amerika Syarikat, PGA Tour, telah menamatkan perkhidmatan 4 peratus daripada keseluruhan tenaga kerjanya pada 23 April sebagai sebahagian proses penstrukturan semula organisasi.

Berdasarkan angka yang disahkan PGA Tour, seramai 56 pekerja sepenuh masa telah diberhentikan, manakala 73 lagi jawatan kosong tidak akan diisi. 

Langkah itu diambil susulan peralihan organisasi tersebut kepada model perniagaan berasaskan keuntungan.

Kakitangan terjejas telah dimaklumkan oleh ketua pasukan kanan, manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PGA Tour, Brian Rolapp, menghantar memo kepada semua kakitangan bagi menjelaskan cadangan organisasi yang terhasil daripada penilaian oleh firma perunding pihak ketiga.

Pada Januari 2024, PGA Tour mengumumkan ia telah mencapai persetujuan dengan Strategic Sports Group (SSG), di mana konsortium pemilik pasukan sukan Amerika itu akan melabur sehingga $3 bilion ke dalam entiti komersial baru mereka yang dikenali sebagai PGA Tour Enterprises.

SSG membuat pelaburan bernilai $1.5 bilion pada peringkat awal sebagai sebahagian daripada perjanjian yang turut membenarkan pelaburan bersama daripada Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, yang menyokong LIV Golf.

Namun, rundingan antara PGA Tour dan PIF dilaporkan telah menjadi senyap sejak kedua-dua pihak kali terakhir bertemu dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, di Rumah Putih pada Februari 2025.

Minggu lalu, PIF Saudi mengumumkan rancangan untuk menumpukan pelaburan kepada ekonomi domestik melalui enam bidang utama di bawah strategi lima tahun baru. 

Langkah itu melibatkan penyaluran lebih banyak dana ke dalam negara sebagai usaha terbaru untuk mempelbagaikan sumber ekonomi selain bergantung kepada hasil minyak. – Reuters.