LONDON: Anthony Joshua telah menandatangani perjanjian untuk bertarung dengan seorang lagi bekas juara tinju ‘heavyweight’ dunia, Tyson Fury, demikian diumumkan oleh penganjur sukan, Eddie Hearn.

Joshua, yang tidak lagi turun ke gelanggang sejak beliau terlibat dalam satu kemalangan kereta pada Disember 2025, akan terlebih dahulu melakukan aksi kemunculan semula menentang petinju Albania, Kristian Prenga, di Riyadh, Arab Saudi, pada 25 Julai.

Fury dan Joshua – kedua-duanya merupakan juara dunia dua kali – telah menjadi ikon utama arena tinju Britain di persada global selama lebih sedekad. 

Namun, di sebalik rundingan bertahun-tahun dan beberapa percubaan yang gagal sebelum ini, pertarungan antara mereka belum pernah menjadi kenyataan.

Tetapi perkara ini akan berubah kerana Hearn, menerusi hantaran di media sosial pada 27 April, mengesahkan bahawa perlawanan yang sekian lama dinantikan itu kini sudah dimeterai dan disahkan.

Namun Joshua, 36 tahun, perlu terlebih dahulu melepasi Prenga, 35 tahun – seorang petinju yang kurang dikenali namun memiliki rekod hebat 20 kemenangan dan hanya satu kekalahan.

Penampilan terakhir petinju Britain itu di gelanggang adalah ketika menentang petinju Amerika Syarikat, Jake Paul, pada 19 Disember 2025.

Pada akhir Disember, pemandu Joshua terlibat dalam satu kemalangan di Nigeria yang turut mengorbankan dua ahli pasukannya.

“Bukan satu rahsia lagi bahawa saya telah mengambil masa untuk menenangkan diri dan membina semula kekuatan sebelum kembali ke gelanggang, dan hari ini adalah langkah seterusnya dalam perjalanan tersebut,” kata Joshua.

Bagaimanapun, tarikh atau tempat perlawanan antara Joshua dengan Fury masih belum diumumkan.

Sebelum ini, Hearn memberi bayangan bahawa pertarungan itu mungkin berlangsung pada November, menerusi platform penstriman Netflix.

Baru-baru ini, Joshua turut hadir menyaksikan perlawanan kemunculan semula Fury menentang petinju Russia, Arslanbek Makhmudov, di mana beliau telah dicabar secara terbuka oleh seteru Britainnya itu sejurus selepas Fury mencatatkan kemenangan menerusi keputusan juri.

Fury, 37 tahun, cuba mengajak Joshua untuk naik ke gelanggang, namun Joshua menolaknya.

Pasukan Fury kemudian berkata mereka telah menandatangani bahagian kontrak mereka dan hanya menunggu Joshua untuk melakukan perkara sama.

“Saya tidak sabar untuk bertanding dan menyambung semula perjuangan saya yang terhenti sebelum ini,” tambah Joshua.

Pertarungan yang dinanti-nantikan oleh peminat tinju Britain selama hampir sedekad itu kini hampir menjadi kenyataan, meskipun lokasi dan tarikh tepat pertarungan itu masih belum diumumkan.

Namun, perkara pertama yang perlu diselesaikan adalah Joshua harus melepasi perlawanan pemanas badan beliau terlebih dahulu di Riyadh. 

Beliau tidak perlu menang dengan gaya luar biasa; memadai sekadar menyelesaikan tugas di dalam gelanggang.

Prenga mungkin nama yang asing bagi ramai orang kecuali peminat tegar tinju, tetapi perkara itu dilihat sebagai pilihan yang selamat untuk aksi kemunculan semula itu.

Dengan rekod kemenangan kalah mati yang mengagumkan, Prenga memberikan ancaman yang cukup besar untuk menjadikan perlawanan itu terasa seperti pertarungan sebenar, namun tidak terlalu berbahaya sehingga mampu merosakkan perancangan besar yang menyusul selepas itu.

Timbul persoalan mengapa Joshua memerlukan pertarungan tersebut, namun jawapannya cukup mudah – beliau memerlukan masa untuk membiasakan diri semula dalam gelanggang.

Tragedi kemalangan kereta di Nigeria yang meragut nyawa dua individu yang dekat di hatinya – jurulatih peribadi, Latif Ayodele, dan jurulatih kecergasan, Sina Ghami – telah mengubah kehidupannya. 

Pertarungan kali ini adalah tentang membina semula semangat juangnya.

Bagi Fury pula, sekiranya perlawanan ini diadakan di Britain, Stadium Wembley atau Stadium Tottenham Hotspur dilihat sebagai pilihan paling baik. 

Namun, pemilihan tarikh pada November menimbulkan persoalan mengenai faktor cuaca dan kesesuaian lokasi.

Butiran terperinci mengenai pertembungan itu dijangka mula didedahkan tidak lama lagi. – Agensi berita.