SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Perbicaraan baru kes kematian Maradona bermula di Argentina

Perbicaraan baru kes kematian Maradona bermula di Argentina

Pihak pembelaan tegaskan sebab kematian adalah semula jadi
Apr 14, 2026 | 4:21 PM

Perbicaraan baru kes kematian Maradona bermula di Argentina

perbicaraan, kematian Maradona, perbicaraan Argentina, kecuaian perubatan
Diego Maradona, yang dianggap sebagai antara pemain bola sepak terhebat dunia, meninggal dunia pada November 2020 pada usia 60 tahun. - Foto AFP

SAN ISIDRO (Argentina): Perbicaraan baru berhubung kematian legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, akan bermula pada 14 April.

Langkah itu diambil setahun selepas perbicaraan pertama dibatalkan akibat skandal membabitkan seorang hakim.

Maradona, yang dianggap sebagai antara pemain bola sepak terhebat dunia, meninggal dunia pada November 2020 pada usia 60 tahun ketika dalam proses pemulihan selepas satu pembedahan otak di sebuah kediaman peribadi.

Beliau meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan edema pulmonari akut – satu keadaan di mana cecair terkumpul di dalam paru-paru – dua minggu selepas menjalani pembedahan tersebut.

Pasukan perubatan yang merangkumi tujuh individu telah didakwa atas kecuaian cara penjagaan semasa tempoh pemulihan legenda bola sepak itu di pinggir bandar Tigre, utara Buenos Aires.

Pihak pendakwa menyifatkan tindakan tersebut sebagai kecuaian melampau.

Namun, selepas dua bulan setengah perbicaraan berlangsung – merangkumi testimoni saksi selama beberapa jam termasuk daripada anak-anak Maradona – prosiding tersebut terhenti.

Perbicaraan itu dibatalkan pada Mei 2025 selepas didedahkan bahawa salah seorang hakim yang menyelia kes tersebut terlibat dalam pembuatan satu dokumentari mengenai kes berkenaan, yang berpotensi melanggar peraturan etika.

Hakim tersebut, Cik Julieta Makintach, kemudian dipecat.

Perbicaraan baru itu, yang bakal mendengar keterangan daripada sekitar 120 saksi, akan sekali lagi cuba menentukan sama ada pasukan perubatan Maradona bertanggungjawab atas kematiannya.

Tujuh karyawan penjagaan kesihatan – termasuk doktor, pakar psikologi dan jururawat – yang merawat beliau ketika itu, dituduh melakukan homisid dengan niat (homicide with possible intent). 

Mereka didakwa telah meneruskan satu tindakan meskipun menyedari ia boleh membawa maut.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun.

Pihak pembelaan pula mempertahankan bahawa Maradona, yang pernah bergelut dengan ketagihan kokain dan alkohol, meninggal dunia atas sebab semula jadi.

“Jika terdapat satu perkara yang telah disangkal, ia adalah rancangan jahat untuk membunuh Maradona. 

“Sesiapa yang terus mendakwa sedemikian telah berlaku kejam terhadap keluarga dan tertuduh,” kata peguam pakar psikiatri Agustina Cosachov, Encik Vadim Mischanchuk, kepada stesen radio berpangkalan di Buenos Aires, Radio Con Vos, pada 12 April.

Berita kematian juara Piala Dunia 1986 itu sebelum ini telah membuatkan ratusan ribu rakyat Argentina ke jalanan untuk berkabung di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Perbicaraan ini dijangka berlarutan sehingga Julai.

Sementara itu, rumah tempat kelahiran Maradona kini menjadi tumpuan ratusan penduduk beratur untuk mendapatkan makanan.

Rumah yang terletak di sebuah kawasan kejiranan miskin di pinggir bandar Buenos Aires, Villa Fiorito, bukan lagi menjadi milik keluarga Maradona.

Namun, sejak Februari, pemilik barunya telah meminjamkan halaman rumah itu kepada sekumpulan sukarelawan untuk memasak buat penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Terdapat mural yang dilukis pada bahagian depan rumah itu memaparkan wajah bintang bola sepak berkenaan.

Beberapa sukarelawan memasak buat penduduk di kawasan kejiranan miskin, Villa Fiorito, di sebuah dapur umum di rumah kelahiran legenda bola sepak, Diego Maradona, di pinggir bandar Buenos Aires, Argentina, pada 26 Mac.
Beberapa sukarelawan memasak buat penduduk di kawasan kejiranan miskin, Villa Fiorito, di sebuah dapur umum di rumah kelahiran legenda bola sepak, Diego Maradona, di pinggir bandar Buenos Aires, Argentina, pada 26 Mac. - Foto REUTERS

Kadar kemiskinan di Argentina menunjukkan trend penurunan mengikut statistik rasmi, merosot kepada 28.2 peratus daripada penduduk negara itu bagi separuh kedua 2025. 

Jumlah itu merupakan penurunan besar berbanding 52.9 peratus pada separuh pertama 2024, ketika Presiden Argentina, Encik Javier Milei, menurunkan nilai peso secara mendadak sehingga menyebabkan inflasi melambung tinggi.

Seorang paderi yang mengendalikan dapur umum sementara itu, Encik Leonardo Fabian Alvarez, berkata beliau melihat permintaan semakin meningkat terhadap bantuan makanan di Villa Fiorito dan kawasan kejiranan lain ekoran penutupan kilang kecil.

Langkah penyahkawalseliaan dan pengukuhan nilai peso di bawah pentadbiran Encik Milei telah menyebabkan barangan import menjadi lebih murah.

“Jelas sekali penduduk telah kehilangan pekerjaan,” katanya sambil menambah bahawa mereka “datang beratur, mengambil makanan, dan menerima apa sahaja yang kami berikan”.

Argentina mengisytiharkan rumah kelahiran Maradona itu sebagai Tapak Bersejarah Kebangsaan pada 2021. – Reuters, AFP.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg