BARCELONA: Penyokong Barcelona sedang mengumpul wang dalam satu tindakan simbolik di TikTok untuk menggesa kelab itu supaya membeli pemain muda, Nico Williams.
Pemain berusia 22 tahun itu masih terikat dengan kelab, La Liga Athletico Bilbao, dan kini menjadi antara pemain yang paling diburu kelab-kelab utama di Eropah.
Nama Williams menjadi sebutan selepas beliau menjadi antara pemain tonggak dalam pasukan Sepanyol yang menjuarai Kejohanan Eropah baru-baru ini.
Penyokong Barcelona mahukan Williams kerana mereka percaya beliau boleh berganding baik dengan seorang lagi pemain Barcelona, Lamine Yamal, yang turut membantu Sepanyol menjulang trofi Euro.
Williams dianggap antara pemain terbaik dalam pertandingan itu.
Beliau menjaringkan dua gol, termasuk gol pertama bagi Sepanyol dalam final dengan England, yang berakhir 2-1.
Sejak beberapa hari lalu, penyokong Barcelona telah menghantar wang kepada Barcelona menerusi akaun TikTok rasmi kelab itu, yang kebelakangan ini dibelenggu masalah kewangan.
“Dapatkan khidmat Nico. Kami perlukan Nico. Wang ini untuk Nico”.
Demikian antara pesanan yang mengiringi beberapa kiriman derma kepada Barcelona yang dilihat di TikTok.
Mengikut maklumat di Transfermarkt, Williams kini dinilai berharga 70 juta euro ($102.5 juta), sementara media Sepanyol berkata Athletic bersedia melepaskan pemain itu dengan harga 58 juta euro.
Namun, derma yang diberikan oleh penyokong Barcelona kepada kelab itu menerusi TikTok – yang diberi nama ‘rewards’ atau ganjaran, tidak dapat membantu Barcelona seperti yang diharapkan.
Setiap derma bernilai antara 5 sen dengan 1 euro, dengan kebanyakan wang itu disimpan oleh TikTok.
Barcelona, yang mengakhiri musim lalu tanpa piala utama – ia menduduki tangga kedua LaLiga dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah di peringkat suku akhir, belum lagi membeli sebarang pemain dalam tempoh musim panas ini. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg