Sebagai seorang yang berusia 19 tahun, penyertaan Muhammad Faris Jasni dalam skuad hoki senior kebangsaan merupakan antara perubahan besar dalam pasukan tersebut.

Bagi pelajar tahun akhir di Politeknik Temasek itu, ini adalah peluang yang telah lama dinanti-nantikan untuk maju dalam kerjaya hokinya.

Daripada kalangan anggota pasukan negara yang meraih pingat gangsa di Sukan SEA 2025, hanya lima pemain yang kekal dalam skuad itu.

Tempat mereka kini diisi oleh generasi baru yang dahagakan kejayaan.

Kebanyakan mereka belum diuji di peringkat tertinggi, namun bertekad mahu membuktikan bahawa mereka layak berada di pentas antarabangsa.

“Saya rasa memang akan ada tekanan. Tapi saya mahu beraksi dengan baik dan mahu membanggakan negara,” akui Faris.

Kenyataan itu menggambarkan dengan jelas identiti baru pasukan itu, iaitu gabungan semangat muda dan harapan tinggi.

Bagi pemain seperti Faris, peralihan daripada hoki belia kepada peringkat senior bukan sekadar peningkatan dari segi intensiti, tetapi juga ujian mental dan ketahanan diri.

Namun, asas untuk lonjakan itu telah dibina secara berperingkat-peringkat.

Sepanjang tahun lalu (2025), Faris telah didedahkan kepada suasana hoki antarabangsa melalui analisis video, latihan serta kejohanan kecil di luar negara.

Pengalaman tersebut memberikan gambaran awal tentang kepantasan, kemampuan fizikal dan disiplin taktikal yang diperlukan di peringkat tertinggi.

“Saya dapat lihat bagaimana hoki antarabangsa dimainkan dan dapat belajar daripadanya,” kongsinya.

“Sekarang, yang penting ialah bagaimana saya gunakan pengalaman itu dan tunjukkan apa yang saya boleh sumbangkan kepada pasukan negara.”

Jika cabaran itu masih terasa besar, ia dipermudahkan dengan suasana dalam pasukan itu yang cukup menyokong.

Wujud keserasian antara pemain senior yang dikekalkan dengan kumpulan pemain muda yang baru diserap.

Bagi Faris, sokongan itu amat penting.

“Mereka sangat mudah didekati,” katanya mengenai pemain senior itu.

“Kalau kami perlukan bantuan, mereka akan bantu. Kami boleh belajar dan berkembang daripada mereka.”

Bagi pemain hoki muda seperti Muhammad Faris Jasni (kiri), bimbingan daripada jurulatih, Krishnan Vijayan Naidu (tengah), dan pemain senior, Muhammad Fariz Mohd Basir (kanan), penting untuk memastikan perkembangan yang baik demi masa depan pasukan hoki Singapura.
Bagi pemain hoki muda seperti Muhammad Faris Jasni (kiri), bimbingan daripada jurulatih, Krishnan Vijayan Naidu (tengah), dan pemain senior, Muhammad Fariz Mohd Basir (kanan), penting untuk memastikan perkembangan yang baik demi masa depan pasukan hoki Singapura. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Dengan skuad muda, peranan kepimpinan menjadi lebih besar, dan tanggungjawab itu kini dipikul oleh lima pemain yang kekal daripada pasukan Sukan SEA 2025 yang memenangi pingat gangsa.

Antara mereka ialah kapten bersama pasukan itu, Muhammad Fariz Mohd Basir, 28 tahun, yang melihat fasa ini bukan sebagai satu langkah ke belakang bagi pasukan tersebut, tetapi sebagai detik penting untuk masa depan hoki Singapura.

“Ini peluang besar untuk pemain muda,” katanya.

“Masa saya muda dulu, peluang seperti ini tidak selalu ada. Sekarang mereka ada peluang, saya menggesa mereka supaya manfaatkannya.”

Fariz, yang berpengalaman bermain di pelbagai posisi, melihat peranannya sebagai pemimpin di atas padang, mengatur permainan, memberi arahan dan menenangkan pasukan dalam situasi tekanan tinggi.

Pesanannya ringkas: Jangan mudah putus asa.

“Setiap kali jatuh, bangkit lebih kuat,” ujarnya.

Keseimbangan antara bimbingan dengan pembangunan ini selari dengan falsafah yang diterapkan oleh ketua jurulatih pasukan, Krishnan Vijayan Naidu, yang mengetuai proses peralihan pasukan itu selepas Sukan SEA 2025.

Selepas kempen yang tidak memenuhi jangkaan di peringkat dalaman, keputusan dibuat untuk melakukan rombakan dengan lebih 10 pemain muda diserap sejak awal 2026.

Ia langkah berani, tetapi berlandaskan wawasan jangka panjang yang jelas.

“Ini satu proses,” kata Krishnan, 59 tahun.

“Kami sedang membina ke arah 2027 dan 2029. Yang penting sekarang adalah sejauh mana mereka memahami permainan, berkembang, dan bermain sebagai satu pasukan.”

Beliau menetapkan sasaran untuk membawa pulang pingat perak untuk Sukan SEA 2027, dan pingat emas pula dalam Sukan SEA 2029.

Walaupun baru melangkah ke pasukan senior, Faris tidak gerun apabila diajukan cabaran dan matlamat tersebut.

Baginya, sasaran tersebut memang padan dengan tahap yang dijangkakan oleh pasukan hoki kebangsaan.

“Ini baru permulaan perjalanan kami,” tambahnya.

“Kalau kami terus berkembang, menjelang 2027 dan 2029, kami boleh capai sasaran kami.”