Pasukan senior boling Singapura meraih empat pingat di Kejohanan Boling Senior Syntech Asia ke-17 yang berlangsung 14 hingga 22 Oktober di pusat boling terbesar Singapura, Singapore Bowling@Rifle Range.
Singapura menghantar 44 wakil ke kejohanan itu dan berhasil memperoleh empat pingat daripada tiga acara – divisyen senior lelaki, divisyen senior wanita, dan divisyen lebih senior lelaki.
Kategori senior diikuti oleh peserta berusia 50 hingga 64 tahun. Untuk kategori lebih senior pula, ia disertai peserta berusia 65 tahun ke atas.
Semua pingat yang diraih pada 17 Oktober merupakan acara individu. Kejohanan masih berlangsung hingga 22 Oktober dengan para atlet bertanding dalam acara beregu dan kumpulan.
Karen Song, 51 tahun, adalah satu-satunya wakil wanita Singapura yang berjaya membawa pulang pingat. Beliau meraih pingat perak bagi kategori senior wanita.
Bagi divisyen senior lelaki pula, pingat perak dimenangi Paiman Dali, 61 tahun, sementara pingat gangsa diraih Hairon Awang, 64 tahun.
Turut naik ke podium ialah Philip Tang, 69 tahun, yang sudah banyak kali meraih kemenangan sebelum ini, termasuk Naib Juara Kejohanan Megalanes Senior Masters 2024.
Beliau meraih pingat gangsa pada Kejohanan Boling Senior Syntech Asia ke-17.
Dalam kalangan 44 atlet boling senior itu, ada yang sudah bersara, masih bekerja dan ada yang menjalankan usaha sendiri.
Mereka sering meluangkan waktu di sebelah malam untuk berlatih.
Mereka aktif dan berharap dapat terus menyertai pelbagai kejohanan.
Ketika ditanya mengenai hasil sejauh ini, mereka berkata kejohanan itu belum berakhir dan mereka akan terus melakukan yang terbaik dalam kejohanan tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg