Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palace cemerlang terus daki tangga liga

Chelsea pula perhebat saingan ke Liga Juara-Juara
Feb 26, 2025 | 3:41 PM
Penyerang Crystal Palace, Jean-Philippe Mateta, merupakan pemain utama dalam membangkitkan prestasi Palace baru-baru ini. Beliau telah menjaringkan 25 gol dalam hanya 40 perlawanan di bawah bimbingan jurulatih Palace, Oliver Glasner.
Penyerang Crystal Palace, Jean-Philippe Mateta, merupakan pemain utama dalam membangkitkan prestasi Palace baru-baru ini. Beliau telah menjaringkan 25 gol dalam hanya 40 perlawanan di bawah bimbingan jurulatih Palace, Oliver Glasner. - Foto REUTERS

LONDON: Dua jaringan Ismaila Sarr membantu Crystal Palace untuk menewaskan Aston Villa 4-1 di Selhurst Park pada 26 Februari untuk kekalkan perjuangan mereka mengakhiri musim Liga Perdana England (EPL) dengan baik.

Prestasi Palace bermain di stadium sendiri telah membimbangkan pengurus Oliver Glasner kerana sebelum kemenangan ini, mereka telah hanya memenangi dua perlawanan liga di stadium sendiri.

Pada mulanya ia kelihatan seperti kekecewaan ini akan berlarutan apabila Jacob Ramsey berjaya membolosi gawang Palace awal perlawanan tetapi jaringan tersebut dibatalkan akibat offside.

Penyerang Palace, Ismaila Sarr kemudian membuka tirai perlawanan pada minit ke-29 apabila beliau memanfaatkan peluang yang jatuh kepadanya apabila tandukan Chris Richards ditepis oleh Emi Martinez ke arahnya.

Rogers berjaya menyamakan kedudukan awal separuh masa kedua apabila beliau bergabung baik dengan Watkins, tetapi Jean-Philippe Mateta meletakkan Palace di hadapan sekali lagi.

Mateta menjaringkan gol melepasi penjaga gawang gantian Robin Olsen, yang menggantikan Martinez selepas beliau dikeluarkan pada waktu rehat akibat kecederaan.

Sarr kemudian mendapatkan gol keduanya melalui hantaran Daniel Munoz, dan kemudian Eddie Nketiah menggandakan kelebihan Palace dengan menjaringkan gol keempat Palace lewat perlawanan.

Keputusan ini meletakkan pasukan bimbingan Glasner di tempat ke-12 EPL, selepas mereka hanya kalah tiga daripada 15 perlawanan liga.

Kebangkitan Palace selepas permulaan kempen yang hambar mereka amat menakjubkan.

Mereka memulakan kempen ini dengan hanya memenangi satu daripada 10 perlawanan pembukaan, tetapi kini mereka sedang bertanding untuk mengakhiri musim mereka di bahagian atas tangga EPL.

Mereka juga akan mara ke peringat suku akhir Piala FA jikalau mereka berjaya mengatasi Millwall pada 1 Mac.

Satu pemain utama yang membantu mengubah nasib Palace adalah Mateta.

Sebelum pelantikan Glasner, beliau hanya menjaringkan 11 gol dalam 81 perlawanan untuk Palace, tetapi di bawah bimbingan Glasner, beliau menjaringkan 25 gol dalam hanya 40 perlawanan.

Dengan kembalinya pemain utama Adam Wharton yang memulakan perlawanan liga pertamanya sejak Oktober lalu dan peluang untuk sampai ke peringkat suku akhir Piala FA, peminat Palace bakal menantikan penutup musim yang menghiburkan.

Bagi Aston Villa, ia kelihatan muram kerana mereka mungkin terpaksa bermain tanpa penjaga gawang utama mereka, Emi Martinez, pada tempoh penting musim ini.

Di Stamford Bridge pula, Chelsea berjaya bangkit daripada kekalahan 2-1 kepada Aston Villa pada 23 Februari, dengan kemenangan 4-0 meyakinkan ke atas Southampton pada 26 Februari.

Dengan kemenangan ini, Chelsea telah memenangi tiga perlawanan EPL di stadium sendiri berturut-turut buat pertama kali musim ini, dan gawang mereka tidak dibolosi buat kali kedua dalam 14 perlawanan di Stamford Bridge.

Ini merupakan kemenangan yang penting untuk pastikan Chelsea kekal bersaing untuk tempat empat teratas EPL yang kelihatan semakin sengit, dengan hanya empat mata yang membezakan pasukan yang menduduki tempat ke-10 (Aston Villa) dan tempat keempat (Chelsea).

Beralih kepada perlawanan Wolverhampton menentang Fulham, Fulham muncul sebagai pemenang dengan keputusan 2-1 di Stadium Molineux.

Kemenangan itu memastikan skuad kendalian Marco Silva masih dalam persaingan memburu kelayakan Liga Juara-Juara, meletakkan Fulham hanya kurang dua mata dari Manchester City.

Kemenangan ini juga bantu bina keyakinan sebelum mereka menentang Manchester United dalam Piala FA pada 3 Mac, di mana pemenang perlawanan itu akan mara ke peringkat suku akhir Piala FA.

Fulham akan berusaha untuk membalas kekalahan 1-0 mereka kepada United di EPL pada 27 Januari. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg