PARIS: Pemain tenis Britain, Andy Murray, telah mengesahkan bahawa beliau akan bersara daripada sukan tenis selepas Olimpik Paris 2024.
Pemain berusia 37 tahun ini merancang bermain dalam acara perseorangan dan beregu dalam Olimpik kelimanya.
“Tiba di Paris untuk pertandingan tenis terakhir saya,” kata Murray di platform X.
“Bersaing untuk pasukan Britain sejauh ini telah menjadi pengalaman yang tidak akan saya lupakan dalam kerjaya saya dan saya amat bangga dapat melakukannya buat kali terakhir,” tambahnya.
Penampilan Olimpik pertamanya adalah di Beijing pada 2008, yang mana beliau dikalahkan oleh pemain Lu Yen-hsun pada pusingan pertama.
Pada 2012, Murray mengatasi kekecewaan kekalahan peringkat akhir Wimbledon beliau kepada Roger Federer, apabila beliau berjaya menewaskan Federer pula di Olimpik London 2012 untuk mendapatkan pingat emas.
Pemain Britain itu menjadi pemain tenis lelaki pertama untuk memenangi dua pingat emas kategori perseorangan Olimpik apabila beliau menewaskan pula pemain Argentina, Juan Martin del Potro, di Olimpik Rio 2016.
“Andy telah menjadi contoh dan mempamerkan nilai tenis sepanjang kerjayanya, memperjuangkan kesaksamaan dan membantu menghantar mesej bahawa sukan ini adalah untuk semua orang,” kata Presiden Persekutuan Tenis Antarabangsa, David Haggerty.
“Semangat Andy untuk tenis akan menyaksikan beliau terus melibatkan diri dalam membantu mengembangkan dan memajukan sukan ini di peringkat global,” tambahnya.
Pemenang tiga kali Grand Slam itu pernah menjalani pembedahan pinggul pada Januari 2019.
Juara dua kali Wimbledon itu bermain secara kompetitif di Wimbledon buat kali terakhir awal Julai 2024 yang mana beliau disingkirkan di pusingan pertama kategori beregu bersama abangnya, Jamie Murray.
Kecederaan pada bahagian belakang Murray bermakna beliau terpaksa menarik diri daripada bersaing dalam kategori perseorangan pada saat akhir.
Beliau berharap untuk bersaing dalam kategori beregu bersama Emma Raducanu, tetapi Raducanu terpaksa menarik diri akibat kecederaan tangannya.
“Ia sukar kerana saya ingin terus bermain, tetapi saya tidak berupaya,” kata Murray selepas kekalahannya di Wimbledon.
“Secara fizikal, ia terlalu sukar sekarang. Saya ingin bermain untuk selamanya. Saya sangat gemar sukan ini,” tambah beliau.
Murray berkata pada awal 2024 bahawa beliau “tidak merancang untuk bermain selepas musim panas” tetapi tetap berharap untuk bersaing di Paris.
Dan Evans, pemain nombor ketiga Britain, akan menjadi pasangan Murray dalam kategori beregu.
Pusingan permulaan sukan tenis di Paris akan bermula pada 27 Julai di Roland Garros.
Pertandingan itu akan berakhir pada 4 Ogos, dan pusingan untuk mendapatkan pingat akan dimainkan bermula 2 Ogos. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg