Topic followed successfully
Go to BHkuNewcastle terhimpit peraturan kewangan, jurang dengan kelab elit
Newcastle terhimpit peraturan kewangan, jurang dengan kelab elit
Tanpa peningkatan pendapatan, Newcastle akan terus ketinggalan apabila kelab terkemuka berbelanja, bayar gaji lebih tinggi
Newcastle terhimpit peraturan kewangan, jurang dengan kelab elit
LONDON: David Hopkinson begitu penuh yakin ketika mengambil alih sebagai Ketua Eksekutif Newcastle United pada penghujung 2025, dengan sasaran menjadikannya antara kelab terbaik dunia menjelang 2030.
Namun selepas tewas 1-2 kepada Sunderland, Newcastle kini bukan lagi yang terbaik di England, malah bukan juga di timur laut berdasarkan kedudukan Liga Perdana England (EPL).
Pengurus Eddie Howe, buat kali pertama kini menghadapi tekanan dalam tempoh empat setengah tahun berada di Stadium St James’ Park.
Beliau turut ditanya sama ada projek Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi kian hilang momentum.
“Kelab ini bercita-cita tinggi, namun perbelanjaan kami terhad,” kata Howe.
“Peraturan menjadikannya sangat sukar – saya tidak tahu bagaimana kami boleh mengatasinya.”
Howe mungkin benar. Adakah peraturan kewangan menyekat Newcastle?
Peraturan Keuntungan dan Kelestarian (PSR) telah mengekang perkembangan kelab.
Oleh itu, Newcastle menyokong pengganti sistem itu, Nisbah Kos Skuad (SCR), yang akan berkuat kuasa pada Julai ini.
Namun persoalannya, adakah sistem baru ini akan terus mengukuhkan penguasaan kelab elit?
Masalah utama bagi pelaburan PIF ialah ia datang lewat berbanding pesaing.
Ketika Chelsea dan Manchester City dahulu bebas berbelanja, badan pentadbir kini mengenakan sekatan ketat.
PSR diperkenalkan pada 2013, jauh sebelum pengambilalihan PIF Saudi.
Namun Manchester City berdepan 115 tuduhan pelanggaran perbelanjaan antara 2009 hingga 2018.
Walaupun PIF membelanjakan lebih 400 juta paun ($685 juta) sejak 2021, hasil jualan pemain yang rendah memaksa Newcastle menjual bakat tempatan seperti Elliot Anderson (35 juta paun) bagi mengelakkan penalti potongan mata.
Mereka kehilangan pemain akademi bermutu. Pemain berusia 23 tahun itu kini tonggak England dan berkemungkinan ke Piala Dunia musim panas ini.
Difahamkan Forest akan meminta sekitar 80 juta paun jika pemain itu dijual pada 2026.
PSR membataskan kerugian, manakala SCR berkait dengan pendapatan. Ringkasnya, lebih banyak dijana, lebih banyak boleh dibelanjakan.
Dalam EPL, hadnya 85 peratus, walaupun kelab boleh berbelanja hingga 115 peratus pada tahun pertama dengan membayar “cukai mewah”.
Secara zahirnya, ini kelihatan baik. Newcastle juga mencatatkan pendapatan rekod setiap musim di bawah PIF.
Pakar kewangan bola sepak Kieran Maguire berkata langkah itu masuk akal bagi Newcastle.
“Kebaikannya melebihi keburukannya,” katanya.
“Dengan stadium lebih besar – sama ada diperluas atau berpindah – SCR memberi manfaat jangka panjang.”
Namun diteliti lanjut, SCR mungkin mengukuhkan lagi penguasaan kewangan kelab besar EPL.
Jurang besar dengan 6 kelab besar
Walaupun menyokong peraturan baru, Newcastle masih ketinggalan dari segi kuasa perbelanjaan.
Data Swiss Ramble menunjukkan berdasarkan akaun 2023-24, bajet SCR Newcastle berada di tangga kesembilan (243 juta paun).
Data menunjukkan jurang yang ketara.
Bajet Newcastle jauh ketinggalan berbanding kelab seperti Manchester United (597 juta paun), Manchester City (580 juta paun), Arsenal dan Liverpool (449 juta paun), Chelsea (407 juta paun) dan Tottenham Hotspur (397 juta paun).
Tanpa peningkatan pendapatan, Newcastle akan terus ketinggalan apabila kelab terkemuka berbelanja dan membayar gaji lebih tinggi.
“Gaji Newcastle 220 juta paun pada 2023-24,” kata Maguire.
“Ia 100 juta paun kurang daripada Arsenal dan Chelsea, dan 200 juta paun kurang daripada Manchester City. Itulah masalahnya.”
“Merapatkan jurang itu mencabar. Bola sepak bergantung pada bakat, dan bakat mengikuti wang, dalam pengambilan pemain dan gaji, menyukarkan Newcastle untuk naik ke tahap seterusnya.”
Newcastle berdepan cabaran untuk layak ke Eropah, namun kegagalan berbuat demikian mungkin memberi kelebihan.
Kelab yang tidak bermain di Eropah boleh berbelanja lebih banyak (85 peratus atau lebih) mengikut peraturan EPL, memberi kelebihan kewangan berbanding kelab yang terikat dengan had Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) (70 peratus).
Berdasarkan angka 2023-24, West Ham (£267 juta) dan Brighton (£276 juta) akan mempunyai bajet lebih besar daripada Newcastle jika peraturan ini digunakan.
Sudah tentu Newcastle mengidamkan kekayaan Liga Juara-Juara, walaupun pertandingan itu juga mengukuhkan kedudukan kelab besar.
Uefa memberi bonus berdasarkan “bahagian nilai” yang bergantung pada prestasi sejarah kelab.
Musim ini, Newcastle menerima £47 juta, manakala Arsenal, Chelsea, Liverpool dan Manchester City masing-masing melebihi £79 juta.
Jelas, struktur bola sepak terus memihak kepada kelab besar.
Stadium penentu masa depan Newcastle
Satu penyelesaian utama ialah meningkatkan pendapatan hari perlawanan melalui pelaburan dalam stadium.
Perbelanjaan ini tidak dikira dalam SCR serta tidak menjejaskan had perbelanjaan pemain.
Pendapatan hari perlawanan Newcastle ialah 50 juta paun pada 2023-24, berbanding 102 juta paun untuk Liverpool dan 137 juta paun untuk Manchester United.
Oleh itu, St James’ Park yang berkapasiti 52,000 tempat duduk perlu dinaik taraf atau digantikan dengan stadium baru.
Hopkinson menegaskan untuk menjadi kelab elit, Newcastle perlu bertindak seperti kelab elit.
Namun proses ini akan mengambil masa, dan setakat ini belum ada rancangan kukuh dilaksanakan.
Di atas padang, prestasi yang tidak konsisten menunjukkan pelaburan tambahan masih diperlukan.
SCR mungkin memberi sedikit ruang tambahan, tetapi tidak cukup untuk perubahan besar – lebih-lebih lagi apabila pesaing mempunyai kuasa kewangan lebih kuat.
Pelantikan Hopkinson menunjukkan PIF sedar perlunya perubahan dalam arah perniagaan.
Namun hakikat ekosistem bola sepak menunjukkan tanpa tindakan, Newcastle mungkin terus ketinggalan.
Tanpa stadium baru, sukar untuk melihat bagaimana Newcastle boleh berbelanja lebih dan menjadi “kelab terbaik dunia”, walaupun dengan kekayaan pemilik dari Saudi. – Agensi berita.

