LONDON: Leicester City pernah menjulang trofi Liga Perdana England (EPL) pada musim 2015-2016, namun kira-kira sedekad kemudian, mereka bakal beraksi pula di Liga Satu – iaitu divisyen ketiga selepas EPL dan Liga Kejohanan (Championship) – pada musim depan.

Kelab yang dikenali sebagai The Foxes itu telah mengalami kemerosotan mendadak dalam prestasi mereka sejak memenangi Piala FA pada 2021.

Keputusan seri 2-2 menentang Hull City pada 21 April baru-baru ini mengesahkan mereka terhumban ke Liga Satu.

Daripada kemuncak luar biasa kejuaraan EPL yang mengejutkan dunia, sehingga pemergian tragis pemilik kelab, Vichai Srivaddhanaprabha, dalam satu nahas helikopter pada 2018, Leicester telah mengharungi pelbagai fasa turun naik emosi dalam tempoh sedekad ini.

Pada musim 2016-17, mereka pernah menentang Atletico Madrid di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Sedekad kemudian, The Foxes akan berada dalam liga sama dengan pasukan Bromley – sebuah kelab yang menghabiskan 132 daripada 134 tahun mereka beraksi dalam pentas bola sepak bukan liga.

Kemerosotan mendadak

Selepas menduduki tangga kelapan dalam EPL pada 2022 dan mara ke separuh akhir Liga Persidangan, pengurus ketika itu, Brendan Rodgers, telah memberi amaran bahawa kelab itu perlu mengubah jangkaan mereka.

Pandemik Covid-19 memberi kesan besar kepada syarikat peruncitan bebas cukai milik Vichai, King Power, susulan pemberhentian operasi penerbangan dunia.

Kesan rantaian tersebut masih dirasai dan selepas mengharungi lapan perlawanan tanpa kemenangan pada awal musim 2022-23, Rodgers berkata Leicester perlu beri tumpuan untuk sekadar mencapai sasaran 40 mata – iaitu jumlah mata ‘selamat’ yang diperlukan untuk kekal dalam EPL.

Ia merupakan perbezaan amat ketara berbanding kenyataan bekas pengurus Liverpool itu sebelum ini, yang sering bercakap tentang usaha mencabar kedudukan pasukan besar dalam Liga Perdana. 

Leicester hampir berjaya melakukannya, namun mereka gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara pada hari terakhir liga bagi dua musim berturut-turut pada 2020 dan 2021. 

Di bawah kendalian Rodgers, mereka turut memenangi Piala FA dengan menewaskan Chelsea kendalian Thomas Tuchel.

Namun, kekurangan pelaburan berkualiti menjadi faktor kemerosotan pantas The Foxes yang cuba untuk sekadar mengekalkan kedudukan, tetapi akhirnya terjatuh ke belakang.

Meskipun masih didukung pemain antarabangsa seperti Jamie Vardy, James Maddison, dan Youri Tielemans, Rodgers akhirnya dipecat pada April 2023 ketika kelab berada dalam kelompok tiga pasukan terbawah. 

Beliau digantikan dengan bekas pengurus Aston Villa dan Norwich City, Dean Smith, namun Smith juga gagal menyelamatkan kelab tersebut.

Dalam tempoh tiga tahun sejak pemecatan Rodgers, Leicester telah melantik tujuh pengurus berbeza, dengan segelintir sumber mempersoalkan proses membuat keputusan tersebut memandangkan The Foxes sering bertukar gaya permainan sehingga kehilangan identiti.

Daripada Smith, mereka beralih kepada Enzo Maresca yang sekurang-kurangnya berjaya membawa Leicester menjuarai Liga Kejohanan pada 2024; kemudian kepada Steve Cooper, selepas usaha mendapatkan Graham Potter gagal; dan seterusnya kepada Ruud van Nistelrooy, yang hanya menang lima daripada 27 perlawanan.

Pada Julai 2025, Marti Cifuentes dilantik dengan harapan dapat memulihkan keadaan kelab tersebut yang semakin merosot.

Cifuentes membawa mereka ke tangga ke-14 – hanya enam mata di belakang slot play-off – sebelum beliau disingkirkan pada Januari.

Timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak kelab mengenai kelewatan mencari pengganti, sebelum bekas pemain pertahanan The Foxes, Gary Rowett, akhirnya dilantik 24 hari kemudian.

Pelantikan itu berlaku menyusuli pemecatan beliau oleh pasukan pesaing, Oxford, yang turut tersingkir daripada Liga Kejuaraan kepada Liga Satu pada Disember 2025.

Prestasi Leicester semakin merosot di bawah kendalian Rowett, dengan hukuman pemotongan enam mata pada Februari kerana melanggar peraturan kewangan EFL menyebabkan mereka hanya berada di luar zon penyingkiran berdasarkan perbezaan bantuan gol sahaja.

Kesan Pemergian pemilik kelab

Kesan kematian Vichai dalam nahas helikopter di luar stadium Leicester selepas perlawanan seri 1-1 menentang West Ham, tidak boleh dipandang remeh dan merupakan satu kehilangan yang masih dirasai The Foxes sehingga kini.

Vichai membeli Leicester dengan harga £39 juta ($67.17) pada 2010, melunaskan segala hutang mereka, dan menyaksikan kelab itu berjaya naik ke liga utama empat tahun kemudian.

Kejayaan memenangi Liga Perdana di luar jangkaan pada musim 2015-16 kekal sebagai salah satu kisah sukan terhebat sepanjang zaman.

“Beliau sangat berpengaruh,” kata pemain pertahanan, Robert Huth, yang memainkan peranan penting dalam skuad juara tersebut. 

“Beliau mempunyai sikap proaktif yang fokus menyelesaikan tugasan.”

Selepas kematian Vichai, anaknya, Aiyawatt atau lebih dikenali sebagai ‘Top’, mengambil alih Leicester serta perniagaan bapanya pada usia muda 33 tahun.

“Top lebih muda daripada saya,” tambah Huth. 

“Beliau kehilangan bapanya dalam situasi yang mendapat perhatian ramai dan ia pasti memberi kesan. Ramai orang terlepas pandang perkara tersebut.”

Leicester telah mengambil langkah untuk menyekat kemerosotan ini, namun beberapa sumber menyatakan wujud budaya tuduh-menuduh dan kekurangan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pihak kelab – baik daripada barisan pemain mahupun dalam kalangan pihak pengurusan.

Terdapat juga dakwaan bahawa pemilik kelab terlalu bergantung kepada Jon Rudkin, Ketua Pegawai Bola Sepak yang baru dinaikkan pangkat, yang telah berkhidmat selama 30 tahun di kelab tersebut dan merupakan pengarah bola sepak ketika mereka menjuarai EPL.

“Saya pernah bekerja dengan Jon dan saya mendapati beliau seorang yang sangat adil, rasional, dan jujur,” kata Huth, yang memegang jawatan pengurus pinjaman pemain Leicester antara 2022 dengan 2024.

“Mereka sayangkan Leicester dan mahu kelab ini berjaya, tetapi mereka perlukan bantuan.

Pandangan penyokong

“Ia sangat menyedihkan selepas melihat pasukan kita beraksi dengan begitu cemerlang – berani untuk memasang impian dan melakukan perkara mustahil,” kata pengerusi persatuan penyokong Leicester, Foxes Trust, Lynn Wyeth, kepada BBC Sport.

“Saya rasa tiada siapa yang benar-benar fikir kami akan bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana pada setiap musim. 

“Kami tidak berangan-angan terlalu jauh, namun tetap wujud rasa optimis bahawa kami mungkin boleh mula bersaing merebut tempat ke kejohanan Eropah dengan lebih kerap.

“Kemerosotan ini tidak berlaku secara beransur-ansur. Ia sebaliknya menjunam dengan mendadak – boleh dikatakan ia bermula sejak era Brendan Rodgers dan seterusnya.

“Segala-galanya menjadi serba tidak kena dalam masa yang sangat singkat. Keadaan kini seolah-olah sudah hilang kawalan dan tiada siapa pun yang tahu cara untuk memperbaikinya.” – Agensi berita.