SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Mexico pecah rekod Guinness dengan kelas bola sepak terbesar jelang Piala Dunia

Mexico pecah rekod Guinness dengan kelas bola sepak terbesar jelang Piala Dunia

Mar 16, 2026 | 1:10 PM

Mexico pecah rekod Guinness dengan kelas bola sepak terbesar jelang Piala Dunia

kelas bola sepak, mexico city, rekod Guinness, piala dunia
Sekitar 9,500 peserta menghadiri kelas bola sepak terbesar di dunia bagi memecah Rekod Dunia Guinness di dataran Zocalo, Mexico City, pada 15 Mac. - Foto AFP

MEXICO CITY: Mexico memecahkan Rekod Dunia Guinness bagi kelas bola sepak terbesar di dunia pada 15 Mac, dengan lebih 9,500 orang menghadiri kelas selama 40 minit itu di Zocalo Plaza, di Mexico City.

Rekod itu dicatatkan beberapa bulan sebelum Mexico dijadualkan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026 bersama Amerika Syarikat dan Canada yang bermula 11 Jun.

Kelas tersebut sekali gus mengatasi rekod sebelumnya, yang dicatatkan di Seattle, Amerika, pada 2025, dengan 1,038 orang.

“Kami mendaftarkan lebih 9,500 orang hari ini, jadi saya sangat gembira untuk memberitahu anda bahawa setakat ini, anda ‘secara rasminya sungguh hebat’, tahniah,” kata hakim Rekod Dunia Guinness, Alfredo Arista, selepas kelas tersebut berakhir.

“Hari ini kami memecahkan Rekod Dunia Guinness yang hebat, lebih daripada 9,000 orang berkumpul dan menunjukkan bahawa kami mampu mencapai sesuatu yang luar biasa dan yang dianggap mustahil,” kata Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, selepas menerima anugerah tersebut.

“Dengan rekod ini, bandar ini menghantar mesej kepada dunia: ‘Sukan, bola sepak, adalah bahasa universal, bahasa keamanan yang tidak memerlukan terjemahan’. Tahniah, Mexico City, hari ini kita memulakan Piala Dunia,” tambahnya dengan penuh ceria.

Semasa kelas tersebut, lelaki dan wanita daripada semua peringkat umur mengikuti arahan guru dan beberapa bekas pemain bola sepak Mexico yang mengajar kelas itu dari atas pentas.

Mereka menendang, menggelecek dan meraikan sukan bola sepak dalam suasana penuh meriah.

Acara itu merupakan sebahagian daripada kempen lebih luas bertajuk “Piala Dunia Sosial”.

Dalam kalangan peserta, terdapat keluarga yang berbaju hijau, putih dan merah, kanak-kanak memegang bola berwarna hitam dan emas, serta warga tua yang turut menyertai senaman itu di bawah bimbingan jurulatih profesional. – Reuters.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg