Topik diikuti
Pergi ke BHkuMcTominay ‘hiasi’ wang kertas edisi khas Scotland
McTominay ‘hiasi’ wang kertas edisi khas Scotland
McTominay ‘hiasi’ wang kertas edisi khas Scotland
MANCHESTER: Kepulangan Scotland ke pentas Piala Dunia selepas penantian panjang diraikan dengan cara cukup unik apabila jaringan sensasi Scott McTominay kini diabadikan pada wang kertas edisi khas 20 paun ($34.36).
Bank of Scotland memperkenalkan wang kertas terhad itu yang memaparkan aksi sepakan gunting pemain tengah Napoli berkenaan ketika membantu Scotland menewaskan Denmark 4-2 sekali gus menempah tiket ke Piala Dunia 2026.
Kejohanan yang bermula antara 11 Jun dengan 19 Julai itu menjadi penampilan pertama Scotland di Piala Dunia sejak 1998.
Hanya 100 keping wang kertas edisi khas itu dicetak dan peminat berpeluang memilikinya menerusi beberapa acara amal yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat.
Gol akrobatik McTominay di Hampden Park pada November 2025 itu pantas dianggap antara jaringan paling ikonik dalam sejarah bola sepak Scotland dan kini menghiasi rekaan wang kertas bersama imej jambatan rel terkenal, Forth Rail Bridge.
McTominay, 29 tahun, mengakui beliau sendiri sukar mempercayai penghormatan yang diberikan kepadanya.
“Perkara seperti ini jarang berlaku. Kejayaan saya menjaringkan satu gol hebat yang membawa pada peristiwa ini diabadikan pada wang kertas memang sesuatu yang agak luar biasa dan saya sangat bangga,” katanya kepada laman BBC.
Beliau turut berharap Scotland mampu memberikan saingan terbaik di Piala Dunia nanti.
“Saya mahu menyertai Piala Dunia dan menunjukkan kepada semua bahawa Scotland adalah pasukan yang bagus,” katanya.
Scotland diundi dalam Kumpulan C bersama Haiti, Maghribi dan Brazil pada kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada. – Reuters.
