Topic followed successfully
Go to BHkuMbappe bakar semangat Perancis tewaskan Brazil
Mbappe bakar semangat Perancis tewaskan Brazil
Meski beraksi dengan 10 pemain, Perancis tunjuk ketahanan luar biasa, raih kemenangan 2-1 dalam perlawanan persahabatan
Mbappe bakar semangat Perancis tewaskan Brazil
BOSTON: Perancis memulakan persediaan mereka untuk Piala Dunia dengan gaya meyakinkan apabila Kylian Mbappe memberi inspirasi kepada pasukan negaranya untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Brazil dalam satu perlawanan persahabatan pada 26 Mac, meskipun Perancis bermain dengan 10 orang sejak awal separuh masa kedua.
Kapten Mbappe, yang tidak menunjukkan sebarang tanda masalah lutut yang mengganggunya sejak beberapa minggu kebelakangan ini, membuka jaringan pada separuh masa pertama, manakala Hugo Ekitike menambah jaringan gol selepas Dayot Upamecano dibuang padang 10 minit selepas separuh masa kedua bermula.
Gleison Bremer pula menjaringkan satu gol untuk Brazil.
Walaupun pertahanan Perancis – tanpa Jules Kounde dan William Saliba kerana cedera – goyah pada masa-masa tertentu, kuasa serangan mereka terlalu sukar untuk Brazil tangani dek kekurangan kreativiti di bahagian tengah.
Mbappe kini mempunyai 56 gol bersama Perancis dan hanya kurang satu gol daripada rekod Olivier Giroud, yang sekurang-kurangnya boleh disamakannya apabila pasukan Didier Deschamps menentang Colombia dalam satu lagi perlawanan persahabatan di Landover, Maryland, pada 29 Mac.
“Bagi kami, ia bukanlah perlawanan persahabatan.
“Beraksi menentang Brazil adalah peluang terbaik untuk melihat kedudukan kami secara taktikal dan teknikal. Hebat bermain perlawanan seperti ini.
“Saya katakan sebelum perlawanan, kami tidak sepatutnya membuat sebarang kesimpulan, jadi saya tidak menganggapnya seperti perlawanan akhir Piala Dunia,” kata Mbappe.
“Kami menunjukkan kreativiti dan kekal kukuh.
“Kami terus mara ke hadapan. Apa yang saya mahukan hanyalah berada di padang dan bermain, lebih-lebih lagi menentang Brazil. Saya tahu ia satu keistimewaan,” tambahnya.
Perancis mula mengancam sejak awal sedang Brazil juga mara melakukan serangan.
Pasukan Didier Deschamps menjaringkan gol pertama pada minit ke-32 melalui Mbappe.
Aurelien Tchouameni berjaya merampas kembali bola dan mengumpan ke Ousmane Dembele, yang kemudiannya menghantar bola ke Mbappe ke ruang di sebelah kanan dengan kapten Perancis itu memecut laju melepasi Leo Pereira sebelum menyepak bola melepasi Ederson.
Gol itu menamatkan permulaan yang rancak dengan Perancis kelihatan bahaya setiap kali mereka menemui ruang dan kepantasan Mbappe mengancam barisan pertahanan Brazil dan memaksa mereka bergerak ke belakang.
Brazil bertindak balas dengan pantas apabila Vinicius Jr. memanfaatkan bola yang terlepas dan melepaskan Gabriel Martinelli, tetapi percubaan penyerang Arsenal itu tersasar.
Luiz Henrique menggantikan Raphina pada separuh masa dan memberi kesan segera, menguji Mike Maignan dengan rembatan kencang dari dalam kotak penalti ketika Brazil kelihatan lebih berbahaya pada awal separuh masa kedua.
Brazil diberi ganjaran apabila Upamecano dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Wesley pada minit ke-55.
Namun Perancis tidak panik malah menggandakan jaringan pada minit ke-65 apabila Ekitike berjaya menembusi pertahanan dan melepasi Ederson pada penghujung serangan balas.
Skuad Brazil kendalian Carlo Ancelotti akhirnya berjaya merapatkan jurang apabila Bremer menolak masuk hantaran lintang Luiz Henrique pada minit ke-78.
Namun Perancis berjaya mengekalkan kedudukan untuk memastikan kemenangan pertama Deschamps menentang Brazil dalam kerjaya jurulatihnya. – Reuters.
“
“Bagi kami, ia bukanlah perlawanan persahabatan. Beraksi menentang Brazil adalah peluang terbaik untuk melihat kedudukan kami secara taktikal dan teknikal. Hebat bermain perlawanan seperti ini. Saya katakan sebelum perlawanan, kami tidak sepatutnya membuat sebarang kesimpulan, jadi saya tidak menganggapnya seperti perlawanan akhir Piala Dunia.”
