Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Marissa Hafezan tetap gadis Jurong walau membesar di Paris

Atlet karate ukir sejarah raih pingat emas pertama Sukan SEA Singapura sejak 1993 dalam acara Kumite 55 kg wanita
Dec 21, 2025 | 5:30 AM
Atlet karate negara, Marissa Hafezan, pernah menyertai kedua-dua gimnastik dan karate semasa kecil.
Atlet karate negara, Marissa Hafezan, pernah menyertai kedua-dua gimnastik dan karate semasa kecil. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Setiap kali atlet karate negara, Marissa Hafezan, pulang ke Singapura, beliau akan mencari mi goreng mamak daging.

Hidangan itu mungkin sudah menjadi santapan biasa dalam kalangan rakyat tempatan.

Namun bagi Marissa yang telah bermastautin di Paris, Perancis, sejak usianya tiga tahun bersama ibu ayah serta adiknya, hidangan itu ibarat satu ‘kemewahan’ yang sukar diperoleh di sana.

Menurutnya, mereka sekeluarga akan berusaha pulang ke Singapura setiap tahun untuk berjumpa keluarga ibunya di sini terutamanya ketika sambutan Hari Raya.

Menggelar dirinya sebagai ‘Jurong girl’ – keluarga ibunya menginap di sana – Marissa mempunyai ayah asal Iran dan ibunya pula rakyat Singapura.

Atlet berusia 19 tahun itu baru-baru ini mengukir sejarah apabila meraih pingat emas pertama Singapura sejak 1993 dalam acara Kumite 55 kilogram (kg) wanita di Sukan SEA 2025 di Thailand.

Berkongsi mengenai kehidupannya di Singapura kepada Berita Minggu (BM), Marissa berkata:

“Saya sentiasa nantikan untuk nikmati mi goreng ketika pulang ke Singapura.

“Kali terakhir kami berada di Singapura sekitar November 2024, kami baru sahaja tiba dan tidak sampai dua jam kemudian, saya sudah berada di Bugis hanya untuk mencari mi goreng mamak.

“Di Paris, memang tiada mi goreng mamak, kami cuma ada mi segera Indomie, dan itu yang paling dekat dengan mi goreng.”

Sosok penting dalam kejayaan Marissa Hafezan (tengah) ialah kedua ibu dan ayahnya – Rosmawarni Zaman Hafezan (kiri) dan Siavosh Hafezan.
Sosok penting dalam kejayaan Marissa Hafezan (tengah) ialah kedua ibu dan ayahnya – Rosmawarni Zaman Hafezan (kiri) dan Siavosh Hafezan. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Selepas mengukir kejayaan bersejarah, Marissa kini berada di Singapura sebelum pulang ke Paris untuk meneruskan latihan karate dan persekolahan.

Beliau dan keluarganya berangkat ke Paris apabila ayahnya ditugaskan di sana ketika beliau kecil.

Mendapatkan pendidikan sekolah rendah dan menengahnya di sana, Marissa kini menuntut di ESPE La Grande Ecole de psychologie untuk pendidikan sarjana muda dan sarjananya dalam jurusan psikologi.

Bakat Marissa dalam sukan karate turut diasah di Paris, tempat beliau mula menceburi sukan itu secara tidak sengaja sejak usia enam tahun.

Pada awalnya, adik beliau, Nelisa Hafezan, tertarik dengan iklan sesi percubaan karate yang disangka melibatkan mematahkan kayu, namun terkejut apabila mendapati ia sebenarnya latihan ‘kata’ – iaitu disiplin karate berbentuk artistik.

Melihat adiknya beraksi, minat Marissa terhadap karate mula berputik.

Beliau akhirnya menyertai sukan itu apabila Nelisa menyerahkan baju seragam ‘gi’ miliknya kepada Marissa.

“Pada saya, ‘kata’ menjadi asas kepada karate kerana untuk memiliki teknik kumite yang baik, seseorang perlu menguasai ‘kata’ terlebih dahulu.

“Selepas beberapa bulan berlatih ‘kata’, jurulatih saya berkata: ‘Awak ikut saya untuk sertai kumite’ kerana nampak potensi,” cerita beliau.

Mula minat karate selepas melihat adiknya menyertai sukan itu, Marissa Hafezan kini sudah ada pingat emas Sukan SEA.
Mula minat karate selepas melihat adiknya menyertai sukan itu, Marissa Hafezan kini sudah ada pingat emas Sukan SEA. - Foto-foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Marissa menyifatkan keluarganya sebagai keluarga yang gemar bersukan.

Ayahnya, Siavosh Hafezan, gemar berbasikal, dan ibunya, Rosmawarni Zaman Hafezan, juga pernah menyertai karate. Maka, ia tidak kekok apabila beliau juga menceburi sukan.

Marissa turut terdedah kepada gimnastik sejak kecil dan pernah menceburi kedua-dua sukan itu serentak.

Menurutnya, pengalaman dalam gimnastik banyak membantu, khususnya dalam membina keseimbangan dan kawalan tubuh ketika beraksi dalam karate.

Marissa, yang gemar melakukan serangan menggunakan kaki, menambah:

“Saya mula menceburi gimnastik pada usia yang sangat muda, jadi ketika itu tubuh saya lebih fleksibel.”

Walaupun telah lama menetap di Paris, Marissa dan Nelisa, menarik perhatian Sensei Wong Tuang Seng ketika pulang ke Singapura untuk menziarahi keluarga pada 2022.

Ketika itu, mereka berdua sedang bercuti dan mencari pusat latihan untuk terus berlatih karate di sini, sebelum menemui Persatuan Karate Shitoryu.

Sensei Wong yang berada di situ menggalakkan mereka mencuba pertandingan pemilihan untuk mewakili Singapura, sekali gus membuka laluan kepada Marissa untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

Peluang itu diberikan berdasarkan keupayaan teknikal Marissa yang baik, disiplin tinggi serta potensi kompetitif yang ditunjukkan sepanjang latihan tempatan dan luar negara, termasuk penyertaan dalam kejohanan antarabangsa di Perancis dan Eropah.

Sejak bergiat dalam karate secara kompetitif, Marissa sudah memenangi pingat emas di Terbuka Thailand, Piala French, dan Piala KUS, selain perak dan gangsa di Liga Belia, Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara, dan Lion Cup Luxembourg.

Namun, setiap kejayaan yang diraihnya, Marissa sentiasa mengaitkannya kembali dengan jurulatih-jurulatihnya di Paris, khususnya di kelab, Evry Courcourrones Karate, yang telah membentuk dirinya sebagai seorang atlet.

Marissa Hafezan (tengah) bersama jurulatihnya dari Paris pakar pemakanan, Yann Retory (kiri); dan jurulatih, Morgan Bride.
Marissa Hafezan (tengah) bersama jurulatihnya dari Paris pakar pemakanan, Yann Retory (kiri); dan jurulatih, Morgan Bride. - Foto ihsan MARISSA HAFEZAN

“Saya menjalani persiapan yang sangat baik bersama kelab saya di Paris dan dikelilingi pasukan sokongan yang kukuh, termasuk ahli fisioterapi, jurulatih yang juga jurulatih mental, dan pakar pemakanan.

“Dengan sokongan menyeluruh ini, saya rasa sangat terjaga sebagai seorang atlet.

“Saya telah menemui persekitaran yang akan amat membantu perkembangan saya... kerana di sinilah saya mencatatkan pencapaian terbaik dalam kerjaya saya,” ujar beliau.

Mempunyai tiga jurulatih yang berbeza – Ketua Jurulatih dan jurulatih mental, Adrien Gautier; pakar pemakanan, Yann Retory; dan jurulatih, Morgan Bride – ketiga-tiganya memainkan peranan penting dalam kejayaannya.

Terutama sekali Gautier, beliau secara tidak langsung memainkan peranan penting dalam persiapan Marissa untuk menghadapi final Sukan SEA. Ini kerana Marissa sering gementar dan terburu-buru di saat-saat akhir mengakibatkan beliau melakukan kesilapan.

Antaranya di peringkat final Liga Belia Dunia (World Youth League) dengan beliau mendahului 2-1 namun akhirnya tewas.

Marissa tidak ingin melakukan kesilapan sama, dan ketika menentang Nguyen Thi Dieu Ly dari Vietnam, beliau belajar daripada kesilapan.

“Gautier sering berkongsi artikel serta video untuk kami tonton dan berbincang mengenainya agar dapat memperkukuh mental kami dalam perlawanan.

“Ia menitikberatkan untuk tidak terlalu tumpukan pada perkara lain melainkan kemenangan di saat-saat getir.

“Di final Sukan SEA tempoh hari, saya mengingatkan diri saya mengenai perkara itu dan pengalaman saya, maka ia banyak membantu untuk saya kekalkan tumpuan,” ujar beliau.

Ketua Jurulatih dan jurulatih mental, Adrien Gautier.
Ketua Jurulatih dan jurulatih mental, Adrien Gautier. - Foto MARISSA HAFEZAN

Selepas menjadi yang terbaik di Asean, Marissa kini menyasarkan untuk menjadi juara dunia.

“Sejujurnya, saya rasa saya tidak begitu jauh daripada sasaran itu. Saya sudah bekerja keras, dan saya rasa persiapan kali ini ialah yang terbaik pernah saya lalui.

“Jika saya terus berada di landasan ini, saya yakin kejayaan itu akan tiba tidak lama lagi,” katanya dengan penuh keyakinan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg