Topic followed successfully
Go to BHkuMantan pengurus Romania meninggal dunia 5 hari selepas letak jawatan
Mantan pengurus Romania meninggal dunia 5 hari selepas letak jawatan
Mantan pengurus Romania meninggal dunia 5 hari selepas letak jawatan
LONDON: Pengurus legenda Mircea Lucescu telah meninggal dunia pada usia 80 tahun, lima hari selepas meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Romania.
Lucescu meletak jawatan pada 2 April selepas jatuh sakit sebelum memulakan sesi latihan.
Beliau menerima rawatan di hospital selepas dilaporkan mengalami serangan jantung pada 3 April.
“Persekutuan Bola Sepak Romania meluahkan rasa sedih yang tidak terhingga berikutan pemergian orang yang pernah, sedang dan akan kekal sebagai legenda mutlak,” kata persekutuan negara itu dalam satu kenyataan.
“Bola sepak kita bukan sahaja kehilangan seorang pakar taktik cemerlang, tetapi juga seorang mentor, seorang yang berwawasan, dan simbol kebangsaan yang membawa negara ini ke puncak kejayaan global tertinggi,” tambah kenyataan itu.
Beliau mengendalikan pasukan Romania antara 1981 dengan 1986 sebelum kembali berkhidmat untuk penggal kedua pada 2024.
Perlawanan terakhir beliau mengendalikan pasukan ialah kekalahan 0-1 dalam perlawanan kalah mati kepada Turkey pada 26 Mac.
Kekalahan itu bermakna Romania terlepas kelayakan untuk bertanding dalam Piala Dunia 2026.
Lucescu juga pernah mengurus Inter Milan, Galatasaray, Besiktas, Shakhtar Donetsk, Zenit St Petersburg, Dynamo Kyiv dan Turkey dalam kerjaya pengurusan yang panjang dan pelbagai yang bermula 47 tahun lalu di Corvinul Hunedoara.
“Kami amat sedih mendengar pemergian Mircea Lucescu, pengurus pemenang Piala Super Uefa kami dan gelaran liga Turkey ke-15. Semoga tenang di sana Luce, kami tidak akan melupakan anda,” ujar Galatasaray di X.
Inter Milan berkata: “Seluruh keluarga Inter meratapi pemergian Mircea Lucescu dan mengucapkan takziah kepada orang tersayang.”
Sebagai pemain, Lucescu membuat 64 penampilan untuk Romania dan menjadi kapten negaranya di Piala Dunia 1970.
“Ia adalah hari yang suram untuk Romania dan untuk bola sepak dunia. Seorang lelaki yang mengharungi dunia bola sepak dalam setiap saat kewujudannya telah meninggalkan kami,” kata presiden Persekutuan Bola Sepak Romania, Razvan Burleanu.
“Mircea Lucescu bukan sekadar seorang jurulatih, tetapi seorang guru kehidupan untuk seluruh generasi pemain.
“Beliau seorang lelaki yang mencintai sukan ini lebih daripada apa sahaja dalam hidupnya, dan kesannya terhadap bola sepak sukar diukur,” tambahnya. – Agensi berita

