Lions bakal gunakan Stadium Jalan Besar, Stadium Negara diguna bagi persiapan NDP
Lions bakal gunakan Stadium Jalan Besar, Stadium Negara diguna bagi persiapan NDP
Apabila pasukan Singa beraksi dalam peringkat kumpulan Kejohanan Asean dari 24 Julai hingga 7 Ogos, perlawanan tuan rumah akan diadakan di Stadium Jalan Besar dengan kapasiti 6,000 tempat duduk, bukan di Stadium Negara yang mampu menampung 55,000 penonton.
Ini memandangkan Stadium Negara tidak dapat digunakan pada tempoh tersebut bagi memberi laluan kepada Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos, dengan raptai dijalankan beberapa minggu sebelum tarikh tersebut.
Dalam satu kenyataan, seorang jurucakap Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata:
“Semua perlawanan di padang sendiri dalam kejohanan ini dirancang diadakan di Stadium Jalan Besar, yang memenuhi syarat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menganjurkan pertandingan antarabangsa.
“Kami akan sentiasa memaklumkan peminat dan orang ramai mengenai Piala Hyundai Asean dan menantikan sokongan semua untuk pasukan Singa kita.”
Difahamkan bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk mengosongkan Stadium Negara selepas NDP sekiranya pasukan kendalian ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, berjaya mara ke peringkat kalah mati.
Peringkat separuh akhir dan final – yang setiap pusingan merangkumi dua perlawanan – masing-masing dijadual berlangsung dari 15 hingga 19 Ogos dan 22 hingga 26 Ogos.
Di laman web The Kallang, yang sebelum ini dikenali sebagai Hab Sukan Singapura, tiada acara dijadualkan di Stadium Negara sepanjang tempoh tersebut.
Menyusuli undian pada 15 Januari di Indonesia, pasukan Singa tersenarai dalam Kumpulan A dan akan memulakan kejohanan tersebut menentang Kemboja di padang lawan pada 24 Julai.
Ini diikuti dengan perlawanan di Singapura pada 27 Julai menentang Timor-Leste atau Brunei, yang akan menentukan pasukan mana yang layak ke peringkat seterusnya melalui dua perlawanan.
Pasukan Singa kemudian akan menentang Vietnam di padang lawan pada 31 Julai dan menamatkan peringkat kumpulan dengan menentang Indonesia di padang sendiri pada 7 Ogos.
Kejohanan Asean lazimnya diadakan pada penghujung tahun, namun telah ditetapkan pada tarikh yang telah diubah supaya selaras dengan kalendar bola sepak antarabangsa serta mengelak daripada bertindih dengan liga domestik – yang kebanyakannya mengikut jadual Ogos hingga Mei seperti di Eropah – serta musim monsun.
Ini bukan kali pertama pasukan bola sepak kebangsaan terpaksa berpindah dari Stadium Negara, yang dianggap sebagai padang utama Singa.
Dalam edisi terdahulu, perubahan tarikh kejohanan dan acara yang telah dijadualkan, termasuk konsert penyanyi Mandopop JJ Lin serta konsert Jay Chou, menyebabkan stadium tersebut tidak dapat digunakan bagi perlawanan bola sepak.
Oleh itu, perlawanan kumpulan atau separuh akhir diadakan di tempat lain seperti Stadium Jalan Besar.
Kapten kebangsaan, Hariss Harun, berkata:
“Bagus jika kami dapat bermain di Stadium Negara, tetapi kami juga mempunyai banyak kenangan indah di Stadium Jalan Besar.
“Kami menganggapnya sebagai rumah kami dan kami sentiasa mendapat sokongan padu di sana. Tempat duduk (di Stadium Jalan Besar) lebih dekat dengan padang, jadi walaupun kapasitinya lebih kecil, penyokong dapat mencipta suasana bertenaga dan semangat ini dirasai pasukan.
“Saya belum sempat bermain di padang semula jadi baru kerana beransur pulih daripada kecederaan, tetapi saya telah melakukan sesi memanaskan badan untuk final Piala Singapura di sana dan padang kelihatan sangat baik.
“Pada Disember, timbul sedikit kebimbangan kerana padang kelihatan agak kering, tetapi saya rasa itu sebahagian daripada proses penyesuaian padang dan ia berada dalam keadaan terbaik untuk final.
“Jika standard ini dapat dikekalkan, kita tidak akan terima banyak rungutan daripada pasukan lain.”
Mengenai pasukan Singapura, kapten berusia 35 tahun itu berkata “semua negara Asean telah meningkatkan mutu permainan mereka sama ada dari segi pembangunan pemain muda atau mengambil pemain luar negara”.
Beliau menambah: “Tiada (istilah) pasukan atau perlawanan mudah, dan kami perlu membuat persediaan sebaik mungkin serta memperbaiki mutu permainan sendiri.
“Ini akan menjadi latihan yang baik serta persediaan menjelang Piala Asia 2027.”

