Topic followed successfully
Go to BHkuLeeds tamat penantian sejak 1981 untuk benam Man U di Old Trafford
Leeds tamat penantian sejak 1981 untuk benam Man U di Old Trafford
Kemenangan bantu Leeds jauhi zon penyingkiran EPL dengan baki enam perlawanan
Leeds tamat penantian sejak 1981 untuk benam Man U di Old Trafford
MANCHESTER: Kemenangan bersejarah ke atas Manchester United di Old Trafford telah memberikan suntikan semangat bermakna buat Leeds United dalam misi mereka untuk kekal dalam Liga Perdana England (EPL).
Menerusi kemenangan 2-1 pada malam 13 April, mereka kini telah mengumpul 36 mata, sekali gus mewujudkan jurang enam mata daripada zon penyingkiran dengan baki hanya enam perlawanan.
Kemenangan liga pertama menentang United sejak 2002, dan yang pertama di Old Trafford sejak 1981 itu mencetuskan sambutan luar biasa sejurus wisel penamat ditiupkan.
Ini tatkala pengurus Leeds, Daniel Farke, dan pemain meraikan kejayaan itu bersama penyokong mereka.
“Kita kini berada di fasa kritikal musim ini dan penting untuk kita kekal tenang serta mengikut perancangan (yang ditetapkan).
“Ini merupakan kemenangan pertama dalam sejarah Liga Perdana di sini (Old Trafford) dalam tempoh 40 tahun. Ia sesuatu yang hebat, dan sudah tentu satu langkah besar ke depan,” kata Farke selepas kemenangan tersebut.
Bagi sebuah kelab yang berdepan ancaman penyingkiran hampir sepanjang musim, kejayaan mengatasi skuad kendalian Michael Carrick ini membawa makna jauh lebih besar daripada sekadar kutipan tiga mata.
Meskipun status mereka di liga utama masih belum terjamin sepenuhnya, kemenangan ini membolehkan Leeds menarik nafas lega sambil memberi tekanan kepada pasukan lain yang turut bergelut seperti Tottenham Hotspur, West Ham, dan Nottingham Forest.
“Ini adalah malam cukup bersejarah buat Leeds United,” kata bekas pemain pertahanan United, Gary Neville.
“Farke pasti sebelum ini berasa risau memandangkan Leeds berada sangat hampir dengan zon penyingkiran. Kemenangan ini sangat membantu dalam menjamin kedudukan mereka di Liga Perdana.”
Pemain sayap Leeds, Noah Okafor, muncul wira dengan jaringan dua gol pada separuh masa pertama untuk memastikan kemenangan yang sangat didambakan itu.
Manakala gol Casemiro pada minit ke-69 sekadar menjadi saguhati buat United yang beraksi dengan 10 pemain pada sebahagian besar babak kedua, apabila Lisandro Martinez dilayangkan kad merah.
“Mereka layak menang dalam aksi sepanjang 90 minit ini. Mereka merupakan pasukan lebih baik,” kata Neville.
Leeds memasuki perlawanan ini tanpa sebarang jaringan gol dalam empat perlawanan terakhir liga, meskipun telah melakukan keseluruhan 64 percubaan gol sebelum ini.
Namun di Old Trafford, pemain asal Switzerland, Okafor, hanya memerlukan lima minit untuk menjaringkan gol pembukaan melalui penyudah hantaran pertama yang bijak.
Gol tersebut merupakan yang pertama bagi Leeds dalam tempoh 51 hari.
Okafor kemudian menjaringkan gol kedua pada minit ke-29 apabila rembatannya terkena Leny Yoro, sebelum menewaskan penjaga gol United, Senne Lammens.
“Ia penghargaan besar buat setiap pemain dan kakitangan yang bersama kami kerana kami berjuang sehingga ke penghujung dan selayaknya mendapat tiga mata ini,” kata Okafor.
Leeds berharap kemenangan ini akan menjadi pemangkin semangat untuk mereka terus menambah kutipan mata apabila bertembung dengan pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers di Elland Road pada 18 April.
Dengan hanya baki enam perlawanan, persaingan untuk mengelak penyingkiran kini berada di fasa yang amat genting.
“Kami perlu kekal merendah hati. Kami belum sempurna,” kata Farke.
“Kami sedang berada di landasan yang betul untuk mencapai sesuatu yang benar-benar positif musim ini.”
Selepas aksi separuh akhir Piala FA menentang Chelsea pada 26 April, Leeds akan berdepan rakan pesaing yang berada di zon penyingkiran – Burnley, Tottenham, dan West Ham – dalam empat perlawanan terakhir musim ini.
Meraih 36 mata setakat ini sepatutnya memberikan lonjakan semangat yang besar buat Leeds.
Berdasarkan rekod sembilan musim terakhir Liga Perdana, mana-mana pasukan yang menamatkan saingan dengan 36 mata atau lebih, berjaya mengelak daripada penyingkiran.
Namun, ini tidak bermakna Leeds sudah menjamin kedudukannya dalam saingan liga musim ini.
Ini kerana musim ini mungkin menjadi musim paling sukar untuk bertahan, dalam tempoh sedekad.
Menurut syarikat analitik sukan, Opta, Spurs kini menjadi pilihan utama penyingkiran dengan kebarangkalian 48.7 peratus.
Namun Spurs yang menduduki tangga ke-18 dan telah mengumpul 30 mata, diramal akan menamatkan saingan dengan 37 mata.
Ini bermakna 38 mata diperlukan untuk menjamin kedudukan yang selamat.
West Ham yang kini di tangga ke-17, memegang rekod selaku pasukan yang mengumpul mata tertinggi tetapi tetap tersingkir selepas jatuh liga dengan 42 mata pada musim 2002-03. – Agensi berita.

