LONDON: Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sekali lagi menyuarakan keprihatinan terhadap risiko cuaca panas melampau ketika Piala Dunia 2026 berlangsung kelak.

Ini selepas saintis memberi amaran bahawa kemungkinan suhu berbahaya meningkat dengan mendadak.

Satu analisis kumpulan penyelidikan iklim World Weather Attribution mendapati kira-kira seperempat daripada 104 perlawanan Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada berkemungkinan akan berlangsung dalam cuaca melebihi had selamat, yang disyorkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Profesional Antarabangsa (Fifpro).

Risiko haba melampau pada Piala Dunia 2026 dijangka meningkat dengan ketara, hampir dua kali ganda berbanding kejohanan 1994 yang turut berlangsung di Amerika Syarikat.

Penyelidik berkata kira-kira lima perlawanan mungkin berlangsung dalam keadaan haba yang dianggap tidak selamat, sehingga penangguhan wajar dipertimbangkan.

Para saintis menilai risiko dengan menggunakan masa sepak bermula dan indeks Suhu Global Mentol Basah (WBGT), yang mengukur sejauh mana badan boleh menyejukkan dirinya sendiri.

“Pengiraan untuk menganggarkan kemungkinan perlawanan Piala Dunia berlangsung dalam keadaan WBGT yang tinggi adalah selaras dengan pengiraan Fifpro yang diterbitkan pada 2023,” kata Pengarah Perubatan Fifpro, Encik Vincent Gouttebarge.

“Anggaran ini mewajarkan keperluan untuk pelaksanaan strategi mitigasi dengan tujuan melindungi kesihatan dan prestasi pemain dengan lebih baik, apabila mereka terdedah kepada keadaan panas,” jelas beliau.

Fifpro mengesyorkan langkah penyejukan apabila WBGT meningkat melebihi 26 darjah Celsius dan menyarankan agar perlawanan harus ditangguhkan jika melebihi 28 darjah Celsius, yang bersamaan dengan kira-kira 38 darjah Celsius dalam haba kering, atau 30 darjah Celsius dalam kelembapan tinggi.

Fifa berkata ia telah menjalankan perancangan risiko haba, dengan langkah termasuk rehat untuk menyejukkan tubuh selama tiga minit dalam setiap separuh perlawanan, prasarana penyejukan untuk peminat dan pemain, kitaran rehat yang disesuaikan, dan kesediaan perubatan yang dipertingkat mengikut cuaca.

“Fifa komited untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pemain, pengadil, peminat, sukarelawan dan kakitangan,” kata Fifa dalam satu kenyataan.

Pakar Perunding Anestetik di Imperial College Healthcare NHS Trust, Dr Chris Mullington, berkata haba melampau lebih berkemungkinan mempengaruhi corak permainan berbanding mencetuskan kecemasan perubatan yang meluas dalam kalangan pemain.

Kata Dr Mullington: “Ia merupakan isu prestasi berbanding isu kesihatan.

“Para pemain adalah atlet elit dan telah menyesuaikan diri. Anda akan melihat pemain mengawal rentak dengan sendiri.

“Jadi anda mungkin berakhir dengan bola sepak yang lebih konservatif,” tambahnya.

Sistem penyejukan dijangka dapat mengurangkan risiko di tiga daripada 16 tempat tuan rumah, tambah kajian tersebut.

Bagaimanapun, lebih sepertiga perlawanan yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 peratus kemungkinan melebihi 26 darjah Celsius WBGT dijadual berlangsung di stadium tanpa pendingin hawa, termasuk di Miami, Kansas City, New York dan Philadelphia. – Reuters.