Topik diikuti
Pergi ke BHkuJurulatih S’pura Aidil Sharin bawa Kuching City ke final Piala Malaysia
Jurulatih S’pura Aidil Sharin bawa Kuching City ke final Piala Malaysia
Turut bantu kelab ke ACL2 buat kali pertama
Jurulatih S’pura Aidil Sharin bawa Kuching City ke final Piala Malaysia
Lapan tahun selepas meninggalkan Singapura untuk melatih di luar negara, Aidil Sharin terus mengukuhkan pengalamannya dengan pelbagai pencapaian.
Pada 23 Mei, warga Singapura itu akan memimpin Kuching City menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala Malaysia pertama pasukan Sarawak itu, selepas turut membantu mereka layak ke pertandingan benua buat kali pertama.
Mereka akan beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim depan, selepas menamatkan saingan di belakang JDT dalam Liga Super Malaysia (MSL) yang disertai 13 pasukan.
Aidil, yang dinamakan Jurulatih Terbaik pada anugerah bola sepak Malaysia musim lalu selepas membawa Kuching ke tangga keempat MSL 2024-2025, berkata beliau mahu terus menambah pencapaian dalam kerjayanya.
Jurulatih berusia 48 tahun itu berkata:
“Saya tidak terkejut dengan pencapaian saya di luar negara kerana sepanjang perjalanan ini, saya banyak belajar dan bekerja keras untuk mencapainya.
“Perkara paling penting ialah keyakinan diri bahawa saya mampu bekerja di mana sahaja, dan keputusan yang diraih membuktikannya.”
“Saya bangga dengan cara saya bekerja bersama pemain dan saya masih mahu terus belajar dan berkembang.”
Ini akan menjadi final Piala Malaysia kedua Aidil sebagai jurulatih selepas turut membawa Kedah ke final dan menjuarai Piala FA Malaysia pada 2019.
Selepas membantu Kedah muncul naib juara MSL pada 2020 dan 2021, Aidil meninggalkan kelab itu pada 2022 sebelum mengendalikan Persikabo 1973 di liga utama Indonesia selama enam bulan pada 2023, dengan enam kemenangan daripada 21 perlawanan sebelum digantikan.
Aidil mengakui pengalaman sukar itu menjadikannya “lebih kuat sebagai jurulatih dan insan”.
Beliau kemudian menyertai Kuching pada Ogos 2023 dan membantu mereka mengelakkan penyingkiran sebelum membina semula skuad.
Menurut New Straits Times, kemampuan taktikal Aidil, terutama dalam penggiliran pemain dan perubahan strategi ketika perlawanan, menjadi faktor utama kejayaan terbaik Kuching setakat ini.
Namun, Aidil sedar cabaran besar menanti menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil, selepas juara itu menamatkan kempen liga dengan kemenangan 14-1 ke atas Kelantan The Real Warriors dan menyamai rekod dunia 108 perlawanan liga tanpa kalah milik ASEC Mimosas.
JDT, yang memburu kejuaraan Piala Malaysia keempat berturut-turut, juga tidak pernah kalah dalam liga sejak April 2021.
Dalam empat pertemuan musim ini dalam MSL dan Piala FA Malaysia, Kuching tewas semua perlawanan tetapi tetap memberi saingan sengit, dengan hanya satu kekalahan melebihi satu gol.
Aidil berkata:
“Ia pasti perlawanan yang sukar. Saya hanya boleh janji pasukan saya akan bermain habis-habisan. Kami mahu penyokong bangga dengan persembahan kami.”
Kontrak Aidil akan tamat pada penghujung musim 2025-26, namun beliau berkata perbincangan mengenai perancangan musim depan dan lanjutan kontrak sedang berlangsung bersama kelab.
Walaupun menerima tawaran kembali ke Liga Perdana Singapura (SPL), bekas jurulatih Home United itu, yang menyasarkan untuk suatu hari mengendalikan pasukan kebangsaan Singapura, tidak tergesa-gesa untuk pulang.
Katanya:
“Untuk menjadi jurulatih pasukan kebangsaan, anda perlukan banyak pengalaman. Bagi saya, satu penghormatan dapat membawa nama Singapura ke peringkat antarabangsa.”
Aidil turut menyifatkan peluang membawa nama Singapura ke pentas bola sepak antarabangsa sebagai satu penghormatan besar, sambil mengakui sokongan berterusan rakyat Singapura menjadi pendorong buatnya.
