Topic followed successfully
Go to BHkuJatuh bangun bersama, dua beradik kian sertai pasukan bola jaring S’pura
Jatuh bangun bersama, dua beradik kian sertai pasukan bola jaring S’pura
Uzma dan Zulfa Rashad buktikan perjalanan sukan penuh liku dapat ditakluk dengan sabar, disiplin dan dorongan keluarga
Jatuh bangun bersama, dua beradik kian sertai pasukan bola jaring S’pura
Sebaik sahaja mendapat khabar bahawa mereka terpilih menyertai skuad bola jaring nasional Singapura, perkara pertama dilakukan dua beradik, Uzma Rashad dan Zulfa Rashad, ialah menghubungi insan paling penting dalam perjalanan bola jaring mereka, iaitu ayah mereka.
Bagi si ayah, Encik Rayhan Mohd Rashad Mohammed, perasaan bangga itu memang tidak dapat disembunyikan.
Namun di sebalik kegembiraan tersebut, fikirannya sudah tertumpu pada matlamat seterusnya bagi dua anak perempuannya itu.
Dengan penuh rasa bangga, beliau menggelarkan dirinya sebagai ‘pengarah teknikal’ yang sering mendorong mereka, atas kepercayaan teguhnya bahawa perjalanan kededua anaknya masih jauh dan potensi yang dimiliki mereka jauh lebih besar.
“Saya beritahu mereka, bahagian seterusnya akan menjadi perjalanan yang lebih mencabar,” katanya.
Sejak awal, perjalanan dua beradik itu tidak sama, namun tetap saling melengkapi.
Uzma mengimbas bagaimana beliau mencuba beberapa kegiatan kokurikulum (CCA) di Sekolah Rendah Temasek, tetapi akhirnya menyertai bola jaring.
“Saya cuba banyak CCA sebelum ini seperti badminton dan atletik, tapi semua itu bukan sesuatu yang saya betul-betul inginkan.
“Apabila cuba bola jaring, saya terus rasa saya nak teruskan,” kata Uzma yang berusia 22 tahun.
Daripada sekadar mencuba, minat itu berkembang menjadi komitmen serius.
Beliau kemudian ke Sekolah Menengah St Anthony’s Canossian (SACSS) di mana beliau menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan di bawah bimbingan jurulatih, Bee Ling.
Dengan bimbingan jurulatih dan peluang menyertai pelbagai pertandingan, keyakinannya mula terbina sedikit demi sedikit.
“Saya rasa jurulatih banyak beri keyakinan kepada saya, dan daripada situ saya jadi lebih konsisten untuk terus bermain dan berkembang,” katanya.
Perjalanan Zulfa, 21 tahun, pula bermula dengan langkah hampir sama, namun beliau akui didorong oleh pilihan kakaknya juga.
“Saya mula menceburi sukan ini selepas melihat Uzma bermain.
“Sebelum itu, saya cuba banyak CCA lain seperti taekwondo dan tarian, tapi tak menjadi.
“Apabila cuba bola jaring, saya mula seronok,” katanya.
Walaupun mula menikmati sukan tersebut, Zulfa mengakui beliau tidak pernah membayangkan akan melangkah sejauh ini.
“Saya tidak menyangka akan menyertai bola jaring secara kompetitif sehingga saya diterima ke Sekolah Sukan Singapura.
“Dari situ, barulah saya sedar ini adalah sesuatu yang ingin saya kejar,” katanya.
Kededuanya kemudian melanjutkan pengajian di Politeknik Nanyang, sebelum menyertai skuad pembangunan nasional pada 2022.
Namun, keadaan tidak menjadi lebih mudah buat mereka.
Antara detik paling mencabar adalah apabila mereka melihat rakan sepasukan yang berlatih bersama mereka melangkah lebih pantas ke peringkat seterusnya.
“Saya lihat rakan-rakan yang berlatih sama dengan saya naik ke skuad kebangsaan, tapi saya dan Uzma masih di peringkat pembangunan. Saya mula persoalkan diri sendiri,” kata Zulfa.
Perasaan itu turut dikongsi oleh Uzma, yang berdepan tekanan sama ketika cuba menembusi skuad utama.
“Tahun lepas (2025) saya jangka saya ada peluang lebih tinggi untuk dipilih, kerana telah menghasilkan prestasi baik untuk kelab musim lepas, namun saya tetap tidak berjaya, dan ia memang memberi kesan besar pada saya,” katanya.
Namun, kedua-duanya tidak memilih untuk mengalah.
Sebaliknya, mereka menjadikan kekecewaan itu sebagai pemangkin untuk memperbaiki diri.
“Saya memberi diri saya masa untuk menerima keadaan itu, kemudian saya fokus untuk pertingkat kekuatan fizikal dan kemahiran saya,” ujar Uzma.
Perkembangan mereka turut terserlah di peringkat kelab, dengan Uzma menyertai pasukan Sneakers pada 2025 dan Zulfa pula menyertai pasukan Orcas bagi edisi Liga Super Bola Jaring Deloitte (NSL) 2026.
Dalam tempoh sukar, peranan keluarga menjadi semakin penting.
Bapa mereka bukan sahaja memberi sokongan moral, malah terlibat secara langsung dalam perkembangan mereka sebagai atlet.
“Saya memberitahu mereka, jangan anggap ia sebagai tanda tidak cukup baik. Anggap ia sebagai langkah untuk jadi lebih baik,” katanya.
Sebagai seorang bapa, beliau mengakui pendekatannya tidak selalu lembut, tetapi sentiasa berteraskan keinginan melihat anaknya berkembang.
“Saya mungkin pengkritik paling kuat mereka, tapi itu kerana saya mahu mereka sentiasa perbaiki diri dan tidak cepat berpuas hati,” ujar Encik Rayhan.
Selain itu, sokongan keluarga turut melibatkan pengorbanan dari pelbagai sudut – daripada logistik harian hingga aspek pemulihan dan pemakanan.
“Kami semua memainkan peranan. Ada yang hantar mereka ke latihan, ada yang jaga pemakanan dan rehat mereka. Semua ini penting untuk perkembangan mereka,” tambahnya.
Bagi Encik Rayhan, kejayaan ini bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada cabaran yang lebih besar.
Beliau mengingatkan anaknya bahawa mereka masih perlu menjaga pelajaran mereka.
Uzma kini merupakan mahasiswi Tahun 2 dalam bidang Sains Sukan dan Pengurusan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), manakala Zulfa merupakan mahasiswi Tahun 1 dalam jurusan Perniagaan di Institut Pengurusan Singapura (SIM).
“Mereka perlu terus merendah hati, lebih bijak mengatur masa, bekerja lebih keras agar dapat menyumbang sesuatu yang berbeza dalam permainan mereka untuk negara,” katanya.
“
“Saya mungkin pengkritik paling kuat mereka, tapi itu kerana saya mahu mereka sentiasa perbaiki diri dan tidak cepat berpuas hati. ... Kami semua (keluarga) memainkan peranan. Ada yang hantar mereka ke latihan, ada yang jaga pemakanan dan rehat mereka. Semua ini penting untuk perkembangan mereka.”“
“Tahun lepas (2025) saya jangka saya ada peluang lebih tinggi untuk dipilih, kerana telah menghasilkan prestasi baik untuk kelab musim lepas, namun saya tetap tidak berjaya, dan ia memang memberi kesan besar pada saya. Saya memberi diri saya masa untuk menerima keadaan itu, kemudian saya fokus untuk pertingkat kekuatan fizikal dan kemahiran saya.”“
“Saya mula menceburi sukan ini selepas melihat Uzma bermain. ... Saya tidak menyangka akan menyertai bola jaring secara kompetitif sehingga saya diterima ke Sekolah Sukan Singapura. Dari situ, barulah saya sedar ini adalah sesuatu yang ingin saya kejar.”
