SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Jadual kejohanan berturut-turut bakal jadi ujian besar skuad Singa

Jadual kejohanan berturut-turut bakal jadi ujian besar skuad Singa

Piala Hyundai bakal berlangsung Jul-Ogos, Piala Asean Fifa pada Sep-Okt
Mar 24, 2026 | 4:03 PM

Jadual kejohanan berturut-turut bakal jadi ujian besar skuad Singa

FAS, piala hyundai, piala asean fifa, skuad singa
Pasukan Singa, bakal hadapi satu lagi ujian dalam persiapan mereka untuk Piala Asia yang akan berlangsung awal 2027. Dengan pengumuman adanya kejohanan Piala Asean Fifa yang bakal berlangsung dari September hingga Oktober, jadual mereka menjadi lebih padat. - Foto FAS

Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) telah mengumumkan secara rasmi tempoh bagi Piala Asean Fifa, satu kejohanan baru yang melibatkan 11 negara Asia Tenggara, akan dijadualkan berlangsung dari September hingga Oktober.

Edisi sulung kejohanan tersebut akan diadakan tidak lama selepas satu kejohanan utama rantau ini, Piala Hyundai, yang akan berlangsung dari Julai hingga Ogos.

Dengan kalendar bola sepak Asia Tenggara yang sudah padat, penambahan satu lagi kejohanan berprofil tinggi ini menimbulkan kebimbangan terhadap pengurusan pemain serta kestabilan prestasi pasukan.

Persoalannya kini, apakah jadual yang begitu padat ini akan memaksa pasukan Singa menurunkan skuad yang ‘tidak sepenuhnya kuat’, sekali gus menjejaskan daya saing mereka di peringkat serantau?

Selain itu, kejohanan baru itu juga berpotensi mengganggu persiapan Singa menjelang Piala Asia, lebih-lebih lagi apabila kapten, Hariss Harun dan ketua jurulatih, Gavin Lee sebelum ini menggambarkan tempoh persediaan ke arah Piala Asia sebagai agak singkat.

Apabila ditanya Berita Harian (BH), jurucakap Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) memaklumkan bahawa mereka belum menerima butiran rasmi mengenai kejohanan Piala Asean Fifa, tetapi mereka “menyambut baik sebarang usaha yang dapat memperkukuh landskap bola sepak di rantau ini”.

BH juga telah menghubungi pihak Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), iaitu penganjur Piala Hyundai, untuk mendapatkan komen tentang kejohanan tersebut.

Singapura berhasrat membuat persiapan rapi menuju Piala Asia 2027 di Arab Saudi dari 7 Januari 2027 hingga 5 Februari 2027.

Kejayaan melayakkan diri buat kali pertama selepas menewaskan Hong Kong 2-1 pada November 2025 lalu, meletakkan harapan tinggi terhadap skuad negara.

Namun, untuk bersaing di peringkat Asia, persiapan rapi dan perlawanan bermutu tinggi adalah penting.

Perkara tersebut dapat dilihat apabila FAS cuba mengatur aksi persahabatan menentang lawan dari Eropah, seperti Kepulauan Faroe, meskipun perlawanan tersebut akhirnya dibatalkan.

Kekurangan kekuatan skuad

Apa yang membimbangkan ialah tempoh kejohanan yang terlalu rapat, yang mampu memberi kesan langsung kepada persiapan Piala Asia 2027.

Dalam keadaan ini, jurulatih mungkin terpaksa membuat pilihan sukar, sama ada menurunkan barisan terbaik yang sama, atau kerap menggantikan pemain untuk mengelakkan keletihan dan kecederaan.

Sejarah membuktikan isu menurunkan skuad yang tidak lengkap, bukanlah sesuatu yang asing.

Dalam edisi 2024 Kejohanan Asean, beberapa pasukan utama terpaksa beraksi tanpa pemain terbaik, kerana kejohanan itu tidak berada dalam kalendar rasmi Fifa, menyebabkan kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain.

Sebaliknya, Piala Asean Fifa mempunyai status rasmi, menjamin kehadiran pemain utama, tetapi beban fizikal yang lebih tinggi menjadi cabaran tersendiri.

Pemain utama mungkin terpaksa menempuh beban tambahan, meningkatkan risiko keletihan dan kecederaan.

Namun, jika FAS memilih untuk menurunkan dua skuad berbeza untuk mengelakkan kecederaan, keserasian skuad dengan gaya permainan yang diinginkan pula yang mungkin terjejas.

Ketiadaan konsistensi dalam corak permainan juga boleh menjejas pemahaman taktikal dan keserasian pasukan, faktor kritikal untuk menghadapi pasukan bermutu tinggi.

Lawan pasukan ranking lebih rendah

Sejak mengesahkan kelayakan Singapura ke Piala Asia, Lee menekankan keperluan pasukan beliau untuk menghadapi lawan yang lebih mencabar, sebagai persiapan menghadapi kejohanan tersebut.

Perlawanan menentang Kepulauan Faroe yang berada di ranking ke-125 Fifa itu – 23 kedudukan lebih baik daripada pasukan Singa – yang dibatalkan akibat konflik di Timur Tengah dilihat sebagai peluang yang terlepas.

Konflik tersebut juga bermakna pasukan Singa tidak dapat menjalani kem latihan di Dubai.

Disebabkan kededua perlawanan dan kem latihan dibatalkan, tempoh pertandingan Fifa yang ada sebelum Piala Asia menjadi lebih berharga.

Dengan adanya kejohanan Piala Asean Fifa pada September hingga Oktober, ini bermakna pasukan Singa tidak dapat menjadualkan perlawanan persahabatan dan kem latihan lain pada masa itu.

Ini mungkin menjejas perancangan pasukan Singa, yang mungkin mahu berdepan dengan pasukan ranking lebih tinggi, ataupun ingin menyesuaikan diri dengan persekitaran di Timur Tengah sebelum Piala Asia.

Dalam kejohanan Asean, pasukan ranking tertinggi adalah Thailand yang menduduki tangga ke-96.

Namun, di Piala Asia, pasukan peserta bakal berdepan dengan pasukan seperti Jepun (tangga ke-19), Iraq (tangga ke-58) dan negara lain yang menduduki ranking ke-100 teratas dunia.

Perkara ini meletakkan tekanan kepada negara Asean, bukan sahaja Singapura, untuk memilih keutamaan mereka, terutamanya dalam tempoh penting menjelang Piala Asia 2027.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg