Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isak cedera parah, tambah kebingungan Liverpool

Dec 23, 2025 | 2:35 PM
EPL, Alexander Isak, Liverpool
Penyerang Liverpool, Alexander Isak, (tengah) terpaksa dibantu keluar padang dalam kemenangan 2-1 semasa perlawanan Liga Perdana England (EPL) ke atas Tottenham pada 21 Disember. - Foto AFP

LONDON: Alexander Isak patah tulang kaki kirinya dan telah menjalani pembedahan, menurut kelab Liverpool.

Kelab itu masih belum menetapkan jangka masa pemulihan penyerang asal Sweden tersebut, namun pemain berusia 26 tahun itu dijangka terpaksa berehat sekurang-kurangnya untuk beberapa bulan.

Liverpool memaklumkan Isak telah “berjaya menjalani pembedahan” akibat kecederaan buku lali yang turut melibatkan patah tulang fibulanya.

Isak dimasukkan sebagai pemain gantian dan berjaya menjaringkan gol ketika menentang Tottenham pada 21 Disember, namun beliau cedera selepas menerima asakan daripada Micky van de Ven sejurus selepas melakukan rembatan tersebut.

Isak tidak mampu meneruskan perlawanan, jelas menahan kesakitan dan terpaksa dibantu keluar padang oleh dua pegawai perubatan Liverpool.

Penyerang yang menyertai Liverpool dengan nilai perpindahan rekod Liga Perdana England (EPL) £125 juta ($217 juta) pada musim panas lalu telah menjaringkan tiga gol dalam 16 penampilan sejak berpindah dari Newcastle pada September.

Kecederaan tersebut merupakan satu lagi tamparan dalam tempoh sukar buat Isak.

Pada musim lalu, beliau diketepikan daripada skuad jelajah pramusim Newcastle ke Asia atas alasan kecederaan paha ringan, walaupun ketika itu difahamkan beliau mahu mencari peluang berpindah.

Isak kemudiannya menjalani latihan secara bersendirian di bekas kelabnya, Real Sociedad, sebelum akhirnya menyertai Liverpool pada hari terakhir tempoh pemindahan.

Beliau membuat penampilan sulung bersama Liverpool dalam kemenangan Liga Juara-Juara ke atas Atletico Madrid pada 17 September dan menjaringkan gol pertamanya untuk kelab itu dalam kemenangan 2-1 ke atas Southampton.

Namun, prestasi dan tahap kecergasannya sejak itu tidak konsisten. Gol liga pertamanya tiba ketika menentang West Ham pada 30 November, diikuti jaringan ke atas Tottenham.

Walaupun mendapatinya sukar menyesuaikan diri sejak berpindah dari Newcastle, gol Isak menentang Tottenham sepatutnya menjadi titik kebangkitan musimnya.

Sebaliknya, kecederaan itu dianggap satu kehilangan besar yang berpotensi memberi kesan terhadap perancangan Liverpool menjelang tempoh pemindahan Januari, terutama dengan kekurangan pilihan di bahagian serangan.

Mohamed Salah kini bersama pasukan kebangsaan Mesir di Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) 2025.

Cody Gakpo, yang prestasinya tidak menentu musim ini, sedang mengalami kecederaan tetapi dijangka kembali beraksi pada Januari.

Federico Chiesa dan Rio Ngumoha pula jarang diturunkan oleh Arne Slot pada musim ini.

Dalam ketiadaan Isak, Hugo Ekitike dijangka terus memikul tanggungjawab sebagai penyerang utama. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg