Topik diikuti
Pergi ke BHkuIkon sejarah stadium Estadio Azteca kembali warnai pembukaan Piala Dunia 2026
Ikon sejarah stadium Estadio Azteca kembali warnai pembukaan Piala Dunia 2026
Kejohanan buka tirai di Mexico, saksi kepada kehebatan Pele dan Maradona
Ikon sejarah stadium Estadio Azteca kembali warnai pembukaan Piala Dunia 2026
MEXICO CITY: Piala Dunia 2026 akan melabuhkan tirainya dengan perlawanan akhir di Stadium New York New Jersey di Amerika Syarikat, namun kejohanan itu akan membuka tirai di sebuah padang ikonik bola sepak dunia, yang menyaksikan dua pemain terhebat sepanjang zaman pernah mengecap detik kemuncak kegemilangan mereka.
Pele yang mewakili Brazil, dan Diego Maradona yang mewakili Argentina, pernah menjulang piala Piala Dunia di stadium Estadio Atzeca di Mexico City, yang kini telah dinaik taraf menjelang aksi pembukaan pada 11 Jun, di mana Mexico akan berdepan Afrika Selatan.
Estadio Azteca juga dikenali sebagai Estadio Banorte, bagi tujuan penajaan.
Hanya 13 daripada 104 perlawanan bagi kejohanan musim panas itu akan berlangsung di Mexico.
Meskipun Mexico dan Canada sekadar memegang peranan ‘pembantu’ kepada Amerika sebagai tuan rumah utama, Mexico tetap melakar sejarah sebagai negara pertama yang menganjurkan perlawanan untuk tiga edisi Piala Dunia.
Dua edisi Piala Dunia yang pernah dianjurkan di Mexico sebelum ini dianggap antara yang terbaik dalam sejarah, terutamanya kejohanan pada 1970 yang dimenangi skuad Brazil bersama bintang ikonik mereka, Pele.
“Edisi itu membawa Piala Dunia ke era moden, ketika bola sepak perlahan-lahan melangkah ke era baru,” kata Andrew Downie dalam bukunya, The Greatest Show on Earth, mengenai Piala Dunia 1970.
“Ia merupakan Piala Dunia pertama yang diadakan di luar Eropah atau Amerika Selatan, pertama yang memperkenalkan pertukaran pemain.
“Selain itu, Piala Dunia tersebut turut mencatat sejarah sebagai edisi pertama yang memperkenalkan penggunaan kad kuning dan merah, selain menampilkan bola rasmi sendiri, Adidas Telstar, dengan rekaan panel hitam putih.
Beliau menambah: “Bagi peminat bola sepak di seluruh dunia, antara perkara paling mengujakan ialah edisi itu menjadi Piala Dunia pertama yang disiarkan secara langsung dan berwarna.
“Adakah kejohanan lain yang lebih diingati daripada edisi tersebut?”
Stadium Azteca kini telah diubah suai, dengan jumlah tempat duduknya dikurangkan daripada lebih 100,000 kepada 83,000.
Stadium itu hanya dibuka semula pada penghujung Mac, selepas ditutup selama hampir dua tahun.
“Ia sangat cantik. Keadaan padangnya juga sangat cantik,” kata jurulatih Mexico, Javier Aguirre, yang menyaksikan skuad bimbingannya mencatat keputusan seri 0-0 menentang Portugal, dalam aksi persahabatan bagi menandakan pembukaan semula padang tersebut.
Mexico akan beraksi dalam dua perlawanan peringkat kumpulan di Azteca, dengan Republik Czech bakal menjadi lawan mereka selepas aksi pembukaan menentang Afrika Selatan.
Antara kedua-dua perlawanan itu, mereka akan terbang ke bandar Guadalajara di barat Mexico, untuk bertemu Korea Selatan.
Secara keseluruhannya, Mexico City akan menganjurkan lima perlawanan, manakala Guadalajara dan Monterrey masing-masing akan mengendalikan empat perlawanan.
Di sebalik keterujaan itu, timbul kebimbangan mengenai keganasan kumpulan samseng, yang mendorong pemerintah negara itu mengumumkan pengerahan 100,000 anggota keselamatan sepanjang kejohanan tersebut.
Namun, berbeza dengan penganjur lain, Mexico negara yang dikenali sebagai ‘gila bola’.
Oleh itu, pasukan kebangsaan Mexico yang digelar ‘El Tri’ berharap dapat memanfaatkan kehangatan sokongan peminat di negara sendiri untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan kali ini.
Pencapaian terbaik mereka dalam sejarah Piala Dunia setakat ini direkodkan sewaktu dua kali menjadi tuan rumah, dengan kejayaan mara ke peringkat suku akhir pada edisi 1970 dan 1986. – AFP.
