Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iga Swiatek digantung sebulan lepas positif guna bahan terlarang

Nov 29, 2024 | 2:10 PM
Pemain tenis wanita Poland, Iga Swiatek, didapati positif menggunakan bahan terlarang selepas mengambil ubat bagi masalah lamban jet (jet lag) dan tidur.
Pemain tenis wanita Poland, Iga Swiatek, didapati positif menggunakan bahan terlarang selepas mengambil ubat bagi masalah lamban jet (jet lag) dan tidur. - Foto AFP

LONDON: Pemain tenis wanita nombor dua dunia dan pemenang lima Grand Slam, Iga Swiatek, digantung sebulan selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang trimetazidine, kata Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) pada 28 November.

Beliau diuji positif dalam sampel di luar persaingan pada Ogos, namun ITIA menerima bahawa ia disebabkan pencemaran ubat melatoninnya, yang dibuat dan dijual di Poland.

Swiatek, 23 tahun, mengambil ubat itu bagi masalah lamban jet (tidak cergas jet, atau jet lag) dan tidur.

Memandangkan tiada kesalahan atau kecuaian ketara, ITIA menawarkan juara Terbuka Perancis itu penggantungan selama sebulan, dan beliau menerimanya.

Kenyataan ITIA menyatakan: “Pemain tersebut digantung sementara dari 22 September hingga 4 Oktober, terlepas tiga kejohanan, yang diambil kira dalam hukuman, dengan baki lapan hari penggantungan.

“Selain itu, pemain tersebut juga kehilangan hadiah wang daripada Terbuka Cincinnati, kejohanan yang berlangsung sejurus selepas ujian dilakukan.”

Swiatek, yang menarik diri daripada kejohanan di Asia pada September kerana masalah peribadi dan keletihan, menyifatkan ujian positif itu sebagai “pengalaman terburuk dalam hidup saya”.

Beliau adalah pemain nombor satu dunia ketika gagal dalam ujian tersebut.

Setelah Swiatek terlepas peluang beraksi di Asia, Aryna Sabalenka, mengambil alih kedudukannya dalam ranking dunia dan menamatkan 2024 sebagai pemain nombor satu.

“Dalam tempoh dua setengah bulan lalu, saya melalui proses ketat oleh ITIA, yang mengesahkan saya tidak bersalah,” kata Swiatek di Instagram.

“Satu-satunya ujian doping positif dalam kerjaya saya, yang menunjukkan tahap amat rendah bagi bahan terlarang yang saya tidak pernah dengar sebelum ini, menyebabkan segala usaha keras saya sepanjang hidup dipersoal.

“Saya dan pasukan saya terpaksa menghadapi tekanan serta kebimbangan amat besar,” tambahnya.

Swiatek bukan pemain nombor satu dunia pertama yang gagal dalam ujian doping pada 2024.

Pemain Italy, Jannik Sinner, pemain ranking teratas lelaki, diuji positif menggunakan ejen anabolik clostebol.

Namun, beliau dibebaskan daripada sebarang kesalahan oleh sebuah tribunal bebas sebelum Terbuka Amerika Syarikat, yang dimenanginya.

Swiatek beraksi di Cincinnati sebagai pilihan utama dan mara ke peringkat separuh akhir.

WTA menyatakan beliau memenangi hadiah wang tunai hampir AS$159,000 ($214,000) di kejohanan yang dimenangi oleh Sabalenka itu.

Beliau kemudian mengambil bahagian dalam Terbuka AS tetapi tewas pada peringkat suku akhir, sebelum menyertai WTA Finals di Riyadh dan gagal mara dari peringkat kumpulan.

Swiatek juga mewakili Poland dalam Kejuaraan Billie Jean King, namun pasukannya tewas pada separuh akhir kepada Italy, yang akhirnya menjadi juara. – Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg