Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Haaland Hanoi’ azam tambah derita skuad Singa dalam Kejohanan Asean
‘Haaland Hanoi’ azam tambah derita skuad Singa dalam Kejohanan Asean
‘Haaland Hanoi’ azam tambah derita skuad Singa dalam Kejohanan Asean
HANOI: Skuad Singa mungkin masih dibayangi mimpi ngeri berdepan seorang penyerang tengah setinggi 1.85 meter yang tegap. Beliau memusnahkan harapan mereka untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Asean 2024 apabila menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan ketika Vietnam menewaskan Singapura 5-1 secara agregat pada separuh akhir.
Dalam kempen sulung yang cukup cemerlang, Rafaelson yang berasal dari Brazil membantu ‘Golden Star Warriors’ merangkul gelaran Asean ketiga mereka. Beliau turut memenangi anugerah Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak selepas menjaringkan tujuh gol.
Pada 2026, pemain berusia 29 tahun itu sekali lagi berpotensi menggagalkan impian skuad Singa untuk mara lebih jauh dalam kejohanan. Beliau mengetuai Vietnam yang akan menjadi tuan rumah kepada Singapura, pasukan ranking ke-148 dunia, dalam aksi Kumpulan A di Stadium Nasional My Dinh pada 31 Julai.
Skuad Singa kini mendahului kumpulan dengan rekod sempurna dua kemenangan daripada dua perlawanan. Bagaimanapun, Vietnam yang berada di ranking ke-99 dunia dan Indonesia di tangga ke-118 berada di belakang kerana masing-masing baru bermain dan memenangi satu perlawanan.
Selepas menjaringkan satu gol dalam kemenangan besar 7-0 ke atas Timor-Leste pada 24 Julai, Rafaelson kini telah mengumpul 12 gol dalam 10 penampilan di peringkat antarabangsa.
Dengan kekuatan fizikal yang luar biasa, tidak keterlaluan jika beliau digelar “Haaland Hanoi”, malah kadar jaringannya juga lebih baik daripada penyerang Norway, Erling Haaland.
Selepas perlawanan itu, Rafaelson, yang menggunakan nama Vietnam Nguyen Xuan Son, berkata: “Saya gembira dapat menjaringkan gol. Menjaringkan gol sememangnya tugas seorang penyerang. Ada perlawanan di mana saya tidak dapat menjaringkan sebanyak gol yang saya inginkan, namun saya sentiasa berusaha dan bekerja keras.
“Dalam perlawanan menentang Singapura, saya akan berusaha dengan lebih gigih lagi. Itulah tanggungjawab saya.”
Dilahirkan di bandar Pirapemas di timur laut Brazil, beliau pernah beraksi bersama pasukan remaja Bahia dan Vitoria sebelum menyertai kelab Jepun, Vegalta Sendai, secara pinjaman pada 2018. Setahun kemudian, beliau berhijrah ke kelab Denmark, Naestved.
Beliau menyertai Nam Dinh dari Vietnam pada 2020 sebelum beraksi bersama Da Nang dan Binh Dinh pada tahun-tahun berikutnya, dengan rekod 37 gol dan lapan bantuan jaringan dalam 75 perlawanan.
Namun, hanya selepas kembali ke Nam Dinh pada 2023 barulah beliau benar-benar mencapai prestasi terbaik. Sepanjang tiga musim, beliau menjaringkan 61 gol dan mencatat 10 ‘assist’ (bantu jaringan gol) dalam 61 perlawanan, sekali gus membantu kelab itu menjulang kejuaraan Liga-V kedua mereka pada 2024.
Pada 2023, beliau memperoleh kerakyatan Vietnam.
Walaupun beliau baru memenuhi syarat penginapan lima tahun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk mewakili negara angkatnya pada 20 Disember 2024, beliau tetap dipanggil menyertai skuad kebangsaan, walaupun tidak layak beraksi dalam tiga perlawanan pertama peringkat kumpulan.
Kepercayaan itu dibalas dengan jaringan gol yang mengagumkan.
Dalam 10 penampilan antarabangsa, Rafaelson gagal menjaringkan gol hanya dalam dua perlawanan – aksi kedua final Kejohanan Asean menentang Thailand, apabila beliau patah kaki selepas 34 minit permainan, serta kemenangan persahabatan 3-0 ke atas Bangladesh pada Mac 2026.
Menurut laporan media tempatan, beliau merupakan pemain pertama yang tidak mempunyai darah keturunan Vietnam untuk mewakili negara itu dalam kejohanan rasmi.