Topik diikuti
Pergi ke BHkuFC Jurong bakal uji formula muda, pengalaman Young Lions
FC Jurong bakal uji formula muda, pengalaman Young Lions
Bagi Young Lions, membangunkan pemain muda untuk pasukan kebangsaan kekal sebagai tanggungjawab utama mereka.
Namun, selepas menamatkan saingan dalam kelompok dua terbawah Liga Perdana Singapura (SPL) selama tiga musim berturut-turut, jurulatih Firdaus Kassim sedar bahawa pembangunan pemain tidak lagi boleh dipisahkan daripada keperluan untuk menjadi lebih kompetitif dan meraih keputusan yang lebih baik.
Menjelang perlawanan pembukaan menentang FC Jurong di Stadium Jalan Besar pada 13 September, Young Lions mengambil pendekatan yang sedikit berbeza - menggabungkan pemain muda dengan beberapa pemain yang lebih berpengalaman.
Kembalinya penjaga gol berusia 36 tahun, Izwan Mahbud, merupakan antara contoh paling jelas usaha tersebut.
Selepas tempoh bersama Lion City Sailors dan beraksi bersama Young Lions pada awal 2026, penjaga gol berpengalaman itu kini kembali ke skuad pembangunan negara itu untuk musim baharu.
Dalam skuad yang dipenuhi pemain muda, pengalaman Izwan di peringkat kelab dan antarabangsa diharapkan dapat menyuntik dimensi berbeza, bukan sahaja di atas padang tetapi juga dalam latihan dan bilik persalinan.
Firdaus melihat nilai Izwan bukan semata-mata berdasarkan pengalamannya, tetapi sikap dan standard yang dibawanya setiap hari.
“Beliau merupakan pemain yang terbukti sebagai seorang pemenang dan telah mencapai banyak kejayaan dalam dunia bola sepak, tetapi apa yang paling menyerlah ialah standard tinggi yang ditetapkannya terhadap dirinya sendiri setiap hari.
“Pengalamannya di peringkat kelab dan antarabangsa akan meningkatkan kualiti kumpulan ini dan, pada masa yang sama, memberi peluang kepada pemain-pemain muda kami untuk belajar daripada seseorang yang memahami apa yang diperlukan untuk beraksi di tahap tertinggi,” kata Firdaus.
Bagi Firdaus, kehadiran pemain seperti Izwan juga sebahagian daripada usaha membentuk persekitaran yang lebih kompetitif setiap hari.
“Kami menjangkakan Izwan akan bersaing, memberi sumbangan dan menjadi contoh kepada rakan sepasukan.
Pada akhirnya, semakin kukuh persekitaran yang kami wujudkan di sekeliling pasukan, semakin banyak kami dapat mendorong setiap pemain untuk meningkatkan prestasi dan menaikkan standard pasukan secara keseluruhan,” tambahnya.
Pendekatan itu selari dengan perubahan yang dilakukan Young Lions menjelang musim baharu, dengan beberapa pemain berpengalaman serta muka baharu dari luar negara dibawa masuk untuk melengkapi kelompok pemain muda.
Antara pemain berpengalaman adalah Shuya Yamashita, pemain pertahanan berusia 28 tahun, pemain tengah, Joel Chew, 26 tahun yang tiba daripada Tampines Rovers, dan juga bek kanan berusia 38 tahun, Hafiz Noh daripada Lion City Sailors.
Pengalaman seperti itu mungkin menjadi amat berharga buat Young Lions, terutama ketika mereka berdepan FC Jurong yang hadir dengan bekas pemain kebangsaan Jepun, Keisuke Honda.
Honda, berusia 40 tahun, dijangka membuat penampilan kompetitif pertamanya untuk FC Jurong.
FC Jurong pula meletakkan sasaran untuk mencabar kejuaraan liga selepas menamatkan musim lalu di tempat ketiga.
Bagi Young Lions, perlawanan itu bukan sekadar permulaan musim, tetapi ujian awal sama ada gabungan pengalaman dan tenaga muda yang dibentuk Firdaus mampu menghasilkan pasukan yang lebih kompetitif.
