SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ethan Brown pelumba pertama S’pura tanding dalam ADAC GT Masters

Ethan Brown pelumba pertama S’pura tanding dalam ADAC GT Masters

Mar 24, 2026 | 3:25 PM

Ethan Brown pelumba pertama S’pura tanding dalam ADAC GT Masters

Ethan Brown, ADAC GT Masters
Ethan Brown akan menjadi pemandu Singapura pertama yang bertanding di ADAC GT Masters, selepas pemandu berusia 21 tahun itu menyertai Engstler Motorsport yang berpangkalan di Jerman untuk musim 2026. - Foto ihsan ETHAN BROWN

Selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam kelas pro siri Lamborghini Super Trofeo Asia pada 2025, pelumba Singapura, Ethan Brown, bertapak ke langkah seterusnya.

Pelumba berusia 21 tahun itu akan menjadi pemandu Singapura pertama yang bertanding dalam ADAC GT Masters, salah satu kejohanan GT3 utama Eropah, selepas menyertai Engstler Motorsport yang berpangkalan di Jerman bagi musim 2026.

Siri GT3, yang menyaksikan dua pelumba berkongsi kereta, merupakan kategori sokongan utama kepada kejohanan Deutsche Tourenwagen Masters (DTM), menempatkan Brown di salah satu pentas terbesar dalam perlumbaan motor Eropah.

Beliau akan memandu Lamborghini Huracan GT3 Evo2 bersama pemandu Austria, Tim Huetter.

Mereka akan bertanding dalam enam pusingan di beberapa litar ikonik Eropah yang pernah menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1), seperti Red Bull Ring (Austria), Zandvoort (Belanda) dan Nurburgring (Jerman).

“Saya sangat teruja untuk menyertai ADAC GT Masters bersama Engstler Motorsport,” kata Brown.

“Bertanding di gelanggang DTM, dikelilingi oleh beberapa pasukan, pemandu dan pengurusan terbaik di dunia, memberi saya pengalaman berharga dan persekitaran pembelajaran menakjubkan.

“Ini merupakan langkah besar dalam kerjaya saya, yang memerlukan usaha luar biasa di belakang tabir untuk mencapainya.”

Brown akan memulakan aksinya dengan ujian pramusim di Red Bull Ring pada 15 April, sebelum Pusingan 1 berlangsung di tempat sama dari 24 hingga 26 April.

Pemandu kemudiannya akan menuju ke litar Zandvoort dari 22 hingga 24 Mei, sebelum pusingan ketiga dan keempat di Jerman – Lausitzring dari 19 hingga 21 Jun dan Nurburgring dari 10 hingga 12 Julai.

Selepas berehat pada Ogos, mereka akan kembali untuk pusingan kelima di Salzburgring di Austria dari 4 hingga 6 September.

Siri itu akan berakhir di Hockenheimring, Jerman, dari 9 hingga 11 Oktober.

Pengurus pasukan Engstler Motorsport, Laura Weigmann, mengalu-alukan warga Singapura itu ke dalam pasukan, sambil menambah:

“Kami gembira kerana Ethan menyertai pasukan untuk musim ADAC GT Masters 2026.

“Kemajuannya sangat mengagumkan, terutamanya menduduki tempat kedua dalam Super Trofeo Asia dan dipilih untuk Program Pemandu Muda Lamborghini.

“Kami percaya kejohanan ini akan menjadi langkah penting dalam perkembangan berterusannya.”

Brown telah dipilih sebagai salah seorang daripada dua pemandu Asia, bersama Charles Leong dari Macau, untuk Program Pemandu Muda Lamborghini pada Julai 2025.

Program itu direka untuk memupuk bakat sukan permotoran generasi akan datang dengan menyediakan latihan intensif dan peluang kompetitif serta bertindak sebagai saluran langsung kepada peluang perlumbaan GT3 dan kilang Lamborghini.

Sandy Mitchell dari Scotland, pemenang Kejohanan GT British 2020, dan pemandu Italy, Leonardo Pulcini, merupakan graduan program yang telah menjadi pemandu untuk pihak pengeluar.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg