Topik diikuti
Pergi ke BHkuDulu berat lebih 150kg, kini 'berat’ tanggung misi wakili S’pura
Dulu berat lebih 150kg, kini 'berat’ tanggung misi wakili S’pura
Zamri Ismail antara 12 pemain wakili negara dalam Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Berjalan Antarabangsa 2026 di Brisbane
Dulu berat lebih 150kg, kini 'berat’ tanggung misi wakili S’pura
Zamri Ismail tidak pernah membayangkan beliau akan dapat kembali aktif dalam sukan, apatah lagi menyarung jersi negara di pentas dunia.
Individu yang pernah mengalami masalah berat badan sehingga mencecah lebih 150 kilogram itu turut berdepan pelbagai cabaran kesihatan termasuk pembesaran jantung, hernia, tekanan darah tinggi, serta kecederaan pada buku lali dan lututnya.
Namun kini, pada usia 53 tahun, penolong pengurus pencahayaan di Marina Bay Sands itu bukan sahaja berjaya menurunkan berat badannya sekitar 50 kilogram, malah sedang membuat persiapan sekali lagi untuk mewakili Singapura di Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Berjalan Antarabangsa (IWFF) 2026 di Brisbane, Australia, dari 28 hingga 31 Mei.
Bola sepak berjalan merupakan versi permainan bola sepak yang diubah agar ia sesuai untuk semua tahap keupayaan, kecergasan dan usia.
Selepas menyertai Piala Negara-Negara Bola Sepak Berjalan Dunia 2023, beliau disifatkan oleh lawan dan rakan sepasukannya sebagai ‘tank’, atau kereta kebal, atas keberanian beliau sebagai penjaga gawang.
“Walaupun berjalan, rembatan tetap kuat. Saya penjaga gawang jenis ‘gung-ho’ (terlalu ghairah atau bersemangat), jadi memang kena banyak terjah bola. Lepas perlawanan memang badan semua merah,” katanya sambil ketawa.
Lebih bermakna, bola sepak berjalan turut merapatkan hubungan keluarganya.
Kini, Zamri menjalani latihan bersama isterinya, Cik Kasmawarni Yayit, 57 tahun; tiga anaknya – dua lelaki dan seorang perempuan – yang berusia antara 17 dengan 22 tahun, serta adik-beradik dan abang iparnya, dengan sukan itu menjadi kegiatan yang menyatukan keluarganya melalui gaya hidup sihat.
“Dulu anak-anak masih kecil, tak ada orang jaga, jadi kami bawa semua sekali ke latihan. Lama-lama semua sertai main bola,” katanya.
“Memang bola sepak jalan ini sesuai untuk semua, tidak kira usia.”
Seramai 12 pemain Singapura berusia antara lingkungan 40-an dengan 70-an tahun akan mewakili negara di kejohanan itu.
Penyertaan mereka mencerminkan sifat inklusif bola sepak berjalan yang meraikan kepelbagaian latar belakang dan tahap kecergasan.
Pasukan itu menjalani latihan setiap Rabu di Bishan Clubhouse Futsal Pitch, serta setiap Ahad di Sekolah Menengah Bedok Green.
Menjelang aksi Piala Dunia akan datang, sesi tambahan diadakan sebagai persiapan menghadapi kejohanan.
Menurut pakar fisiologi senaman Singapura, Dee Dee Ayra Salle, atau lebih dikenali sebagai Dee Dee Mahmood, bola sepak berjalan merupakan wadah baik untuk menghidupkan semula semangat persaingan.
Katanya, sebahagian peserta terdiri daripada bekas pemain bola sepak yang terpaksa meninggalkan sukan itu akibat kecederaan, manakala ada juga yang tidak pernah aktif dalam sukan sebelum ini.
Beliau berkata matlamat sedemikian bukan sahaja membantu peserta kekal bermotivasi, malah menjadikan proses latihan lebih menarik dan bermakna.
Dee Dee berkata perubahan yang dilihat dalam kalangan peserta melangkaui aspek kecergasan semata.
“Bukan sahaja (perubahan dari segi) kesihatan fizikal, malah kesihatan mental dan sosial.
“Apabila semua aspek ini bertambah baik, mutu hidup mereka juga meningkat,” katanya.
Beliau turut berkongsi kisah peserta yang pada awalnya berdepan masalah kestabilan, koordinasi dan mobiliti, namun menunjukkan perubahan ketara selepas menjalani latihan secara konsisten.
Bagi beliau, perkembangan seperti itu menjadi antara sebab utama beliau terus komited dalam bidang berkenaan.
“Perkembangan mereka sesuatu yang tidak boleh dibeli,” katanya.
