MANCHESTER: Daniel Dubois bangkit daripada dua kali rebah ke kanvas sebelum menundukkan Fabio Wardley sekali gus merampas gelaran kelas heavyweight Pertubuhan Tinju Antarabangsa (WBO) dalam pertarungan sengit antara dua jaguh Britain awal pagi 10 Mei.

Pengadil Howard Foster akhirnya menghentikan pertarungan pada awal pusingan ke-11 selepas Wardley mengalami pendarahan teruk pada batang hidung dan hampir tidak dapat melihat dengan mata kanannya.

Dubois bangkit dua kali daripada kanvas, termasuk selepas dijatuhkan menerusi tumbukan kanan selepas 10 saat pertama pertarungan, sebelum menguasai gelanggang untuk muncul sebagai juara dunia heavyweight buat kali kedua dalam kerjayanya.

“Ia bak satu peperangan. Kami harungi detik sukar. Terima kasih Fabio untuk itu,” kata Dubois, yang sebelum ini pernah memegang gelaran Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) pada 2024, sebelum dirampas oleh petinju Ukraine, Oleksandr Usyk, pada 2025.

Kemenangan itu adalah yang ke-23 daripada 26 pertarungan profesional Dubois, manakala Wardley meraih 20 kemenangan, satu kekalahan dan satu seri.

Promoter veteran, Frank Warren, menyifatkan pertarungan heavyweight tersebut sebagai yang terbaik pernah dianjurkannya.

Bagaimanapun, aksi itu turut dianggap sesetengah pihak sebagai sukar ditonton kerana sepatutnya dihentikan lebih awal.

Wardley, 31 tahun, yang diangkat sebagai juara WBO pada November lalu (2025) selepas Usyk melepaskan tali pinggang itu, tampil untuk mempertahankan gelarannya buat kali pertama dan mempamerkan semangat juang tinggi walaupun menerima tekanan hebat.

Beliau terlebih dahulu menjatuhkan Dubois pada awal pertarungan, yang kemudian disifatkan Dubois sebagai “knockdown sementara”.

Dubois turut terjatuh ke satu sudut pada pusingan ketiga, namun kembali mengancam pada pusingan keenam apabila Wardley mula berlumuran darah dan terhuyung-hayang di tali gelanggang. - Reuters