RIO DE JANEIRO: Jurulatih baru skuad kebangsaan Brazil, Carlo Ancelotti, bakal mengumumkan skuad Brazil Isnin ini dengan satu persoalan besar menjadi perhatian – bintang Brazil, Neymar de Silva Santos Junior, akan dipilih atau tidak?

Penyerang berusia 34 tahun itu ialah pemain yang mencatat jaringan terbanyak sepanjang masa Brazil, namun tempatnya ke Piala Dunia 2026 kini menjadi tanda tanya selepas beberapa tahun dibelenggu kecederaan dan aksi kurang meyakinkan bersama kelab Brazil, Santos.

Keadaan itu memaksa Ancelotti menimbang antara nilai sentimental dengan tahap kecergasan ketika beliau merangka pelan permainan bertahap tinggi untuk juara dunia lima kali itu.

“Apabila perlu membuat pilihan, banyak perkara perlu dipertimbangkan,” kata Ancelotti kepada Reuters pada 12 Mei.

“Neymar ialah pemain penting kerana bakat yang dimilikinya. Tetapi dia menghadapi masalah kecederaan dan sedang bekerja keras untuk pulih. Prestasinya semakin meningkat dan dia kembali bermain secara konsisten. Ini bukan keputusan mudah. Kami perlu menimbang baik dan buruknya dengan teliti.”

Ancelotti bercakap di ibu pejabat Gabungan Bola Sepak Brazil (BFC) di Rio dengan tenang, selari dengan kerjayanya yang gemilang sebagai jurulatih.

Jurulatih dari Italy itu satu-satunya individu yang memenangi gelaran liga di lima liga utama Eropah serta rekod lima trofi Liga Juara-Juara sebagai pengurus, selain dua lagi sebagai pemain.

Namun, keputusan mengenai Neymar dijangka menjadi tumpuan besar. Rakan sepasukan Brazil secara terbuka menyokongnya, manakala penyokong berbelah bagi antara mereka yang menyayanginya dengan mereka yang bimbang akan tahap kecergasannya.

“Saya tahu Neymar sangat disayangi, bukan sahaja oleh penyokong tetapi juga pemain,” tambah Ancelotti.

“Itu juga faktor penting kerana kami perlu menimbangkan suasana apabila Neymar dipanggil. Dia sangat disenangi dalam pasukan.

“Saya fikir adalah kebiasaan untuk pemain memberikan pandangan mereka. Saya menghargai semua nasihat, tetapi akhirnya saya yang paling layak membuat keputusan ini.”

Menurut Ancelotti, sokongan pemain hanya membuktikan Neymar tidak akan menjejaskan keharmonian pasukan.

“Suasana dalam pasukan sangat positif dan akan kekal begitu tidak kira siapa yang dipilih,” katanya.

“Tetapi saya tidak boleh mengawal suasana luar dan apa yang diperkatakan media.”

Persoalan lebih besar ialah sama ada Neymar masih sesuai dengan corak permainan skuad Brazil kerana Ancelotti mahukan empat penyerang yang mampu berlari, meningkatkan tekanan dan membantu pertahanan, sesuatu yang mencabar buat pemain yang bergelut mengekalkan kecergasan.

Namun begitu, Ancelotti berkata Neymar telah menunjukkan tanda kemajuan.

“Dia banyak meningkatkan kecergasannya dalam perlawanan kebelakangan ini,” katanya.

“Dia beraksi baik dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini. Dia mampu mengekalkan tahap tinggi. Saya tidak ditekan oleh sesiapa untuk memanggil Neymar. Saya mempunyai kuasa penuh dan keputusan ini akan dibuat secara profesional.” – Agensi berita.