Topik diikuti
Pergi ke BHkuCoventry layak ke Liga Perdana England selepas 25 tahun tersingkir
Coventry layak ke Liga Perdana England selepas 25 tahun tersingkir
Seri 1-1 dalam perlawanan dengan Blackburn; kini sasar menangi Liga Kejohanan
Coventry layak ke Liga Perdana England selepas 25 tahun tersingkir
LONDON: Coventry berjaya melangkah naik ke Liga Perdana England (EPL) pada 17 April ketika pendahulu Liga Kejohanan itu seri 1-1 menentang Blackburn.
Ia sekali gus menamatkan pengasingan daripada liga utama itu selama 25 tahun.
Pasukan bimbingan Frank Lampard itu memerlukan satu mata semasa lawatan mereka ke Ewood Park untuk memastikan kelayakan mereka ke Liga Perdana secara automatik.
Namun, Coventry terpaksa berhempas pulas, ketinggalan jaringan lawan hasil percubaan Ryoya Morishita pada minit ke-54 sebelum Bobby Thomas menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-84.
Setelah menerajui Liga Kejohanan untuk sebahagian besar musim ini, Coventry, yang juga bergelar Sky Blues, berjaya meraikan kelayakan mereka ke liga elit bola sepak Inggeris dengan baki tiga perlawanan.
“Ia adalah detik yang luar biasa. Inilah yang penting,” kata Lampard yang sebak dalam wawancara selepas perlawanan yang penuh emosi.
“Datang ke mari dan mendapatkan mata pada peringkat ini bukan mudah. Kami perlu berhempas pulas dan kami tidak tahu sama ada untuk menyerang lagi.
“Berjaya meraihnya (kelayakan ke EPL) selepas 25 tahun? Sememangnya ‘wow’!” tambah Lampard.
Disokong sekitar 7,500 peminat yang riuh memberikan dorongan di Darwen End, Coventry berada di bawah prestasi terbaik mereka bagi sebahagian besar perlawanan itu.
Tetapi prestasi mereka yang sedemikian akan segera dilupakan, diganti dengan kenangan manis kelayakan ke Liga Perdana menyusuli tandukan kemas Thomas yang masuk ke gawang lawan, hasil sepakan percuma rakan sepasukannya, Victor Torp.
Penyokong menangis kegembiraan sejurus wisel penamat ditiup, menandakan kelayakan mereka ke Liga Perdana.
“Menakjubkan, menakjubkan. Saya tidak percaya apabila ia masuk gol.
“Ia adalah musim yang hebat. Saya rasa kami layak mendapatnya,” kata Thomas.
Kini, para pemain didikan Lampard boleh meletakkan sasaran mereka untuk memenangi gelaran Liga Kejohanan, dengan Ipswich di tempat kedua ketinggalan 11 mata dengan baki lima perlawanan.
“Ini merupakan kelab bola sepak yang amat serius. Saya membesar dengan mereka sebagai kelab teratas tetapi saya tidak sedar,” kata Lampard.
“Untuk layak naik ke Liga Perdana secara automatik sebagai pasukan bukan pilihan dengan tiga perlawanan lagi.
“Para pemain kami telah berjaya mencapai sesuatu yang istimewa dan unik.”
Kelayakan Coventry ke Liga Perdana sebelum ini pada 1967 juga dimeterai di Blackburn apabila Rovers seri dengan Bolton.
Itu adalah permulaan tempoh 34 tahun di peringkat teratas sebelum tersingkir daripada Liga Perdana pada 2001 – langsung menyebabkan kemerosotan yang mendadak.
Coventry menjunam ke peringkat keempat liga di England buat satu musim pada 2017-18.
Malah kelab itu terpaksa bermain di tempat sendiri di Northampton dan Birmingham selama tiga musim kerana pertikaian undang-undang yang sengit antara kelab dengan pemilik stadium mereka.
Kebangkitan semula pemenang Piala FA pada 1987 itu pada mulanya didorong oleh Mark Robins, yang menguruskan kelab itu buat kali kedua sehingga membawa kelab itu layak naik daripada Liga Dua dan Liga Satu di England.
Kekalahan pada perlawanan penentuan akhir (play-off) dalam Liga Kejohanan 2023 semasa menentang Luton menghalang momentum Coventry dan akhirnya menyebabkan Robins dipecat pada 2024.
Kelab itu kemudian mendapatkan khidmat bekas bintang England, Lampard, sebagai pengganti Robins dan ternyata ia membuktikan langkah yang memberi inspirasi apabila beliau berjaya menghidupkan semula kerjayanya selepas dipecat oleh Chelsea dan Everton.
Lampard membawa Coventry keluar dari zon penyingkiran pada musim pertamanya sebelum tewas kepada Sunderland pada separuh akhir play-off.
Didorong oleh kehampaan itu, Coventry memulakan persaingan hebat tanpa henti untuk mencapai hasrat kelayakan itu.
Kemenangan besar 7-1 ke atas Queens Park Rangers dan kemenangan 5-3 ke atas Derby County pada Ogos menjadikan Coventry sebagai pasukan utama dalam Liga Kejohanan.
Kehadiran Jack Rudoni di bahagian tengah, dilengkapkan dengan jaringan gol oleh Haji Wright, Ellis Simms dan Brandon Thomas-Asante, mengekalkan Coventry di kedudukan teratas apabila impian kelayakan semakin jelas.
Kejayaan Sky Blues juga telah mencergaskan semula bandar di England itu, menurut Lord Mayor Coventry Rachel Lancaster.
“Ia besar bagi kelab bola sepak Coventry dan peminatnya, tetapi untuk Coventry sendiri sebagai sebuah bandar, ini sangat besar,” katanya. – AFP.
“
“Ia adalah detik yang luar biasa. Inilah yang penting. Berjaya meraihnya (kelayakan ke Liga Perdana England) selepas 25 tahun? Sememangnya ‘wow’! Ini merupakan kelab bola sepak yang amat serius. Saya membesar dengan mereka sebagai kelab teratas tetapi saya tidak sedar.”