Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

City kekal tempat teratas hasil jaringan Stones

Arsenal tidak berjaya raih kemenangan pertama di Stadium Etihad sejak 2015
Sep 23, 2024 | 3:25 PM
Pemain pertahanan Manchester City, John Stones menjaringkan gol lewat untuk mendapatkan satu mata dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) mereka menentang Arsenal. Keputusan ini mengekalkan kedudukan tempat pertama City di EPL.
Pemain pertahanan Manchester City, John Stones menjaringkan gol lewat untuk mendapatkan satu mata dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) mereka menentang Arsenal. Keputusan ini mengekalkan kedudukan tempat pertama City di EPL. - Foto AFP

MANCHESTER: John Stones menghasilkan jaringan lewat untuk membantu Manchester City seri 2-2 dengan Arsenal pada 22 September.

Ini membantu City untuk kekal menduduki tempat teratas Liga Perdana England (EPL) buat masa ini.

Arsenal kelihatan seolah-olah akan meraih kemenangan pertama mereka di Stadium Etihad sejak 2015 walaupun hanya bermain dengan 10 pemain, selepas Leandro Trossard dilayangkan kad merah pada masa tambahan separuh masa pertama.

Namun Stones berjaya menjaringkan gol jarak dekat pada minit ke-98 – percubaan ke-28 City dalam separuh masa kedua, jumlah percubaan tertinggi oleh sebuah pasukan dalam satu babak perlawanan di EPL.

Keputusan ini meletakkan City di tangga teratas EPL dengan 13 mata, manakala Arsenal menduduki tempat keempat dengan 11 mata.

“Saya cuba bergerak untuk ke kotak penalti, ke tempat yang sesuai dan nasib bola jatuh ke kaki saya. Saya sungguh gembira untuk menjaringkan gol seperti itu,” kata Stones selepas perlawanan itu.

Erling Haaland meletakkan City di hadapan pada minit kesembilan apabila Savinho membuat hantaran bola yang hebat dan percubaan Haaland menewaskan penjaga gawang Arsenal, David Raya.

Itu merupakan jaringan liga ke-10 Haaland untuk musim ini dan jaringan ke-100nya merentasi kesemua pertandingan.

Namun Ricardo Calafiori berjaya menyamakan kedudukan perlawanan dengan jaringan pertamanya untuk Arsenal, menerusi jaringan hebat dari jarak 20 meter pada minit ke-22.

Gabriel pula meletakkan Arsenal di hadapan pada masa tambahan separuh masa pertama apabila beliau menanduk masuk bola ke gawang lawan hasil tendangan sudut Bukayo Saka.

Trossard dilayangkan kad kuning kedua sebelum separuh masa pertama berakhir kerana menghalang City daripada memulakan semula perlawanan dengan cepat.

Declan Rice juga dikenakan kad merah akibat sebab yang sama tiga minggu lalu, dan ini terbukti telah menjejas prestasi Arsenal yang hanya seri 1-1 bersama Brighton.

Arsenal memulakan separuh masa kedua dengan tumpuan untuk mempertahankan kedudukan mereka, dan ini membolehkan City untuk mengasak gawang mereka secara berterusan.

Taktik ini terbukti berkesan hingga minit ke-98.

Raya menyelamatkan beberapa percubaan hebat pihak lawan, beberapa minit sebelum perlawanan berakhir, menghalang percubaan Josko Gvardiol.

Namun, satu kerugian besar yang dialami City semasa perlawanan ini adalah kecederaan Rodri pada separuh masa pertama.

Selain kapten mereka, Kevin De Bruyne yang tidak bermain akibat kecederaan, City juga mengalami satu lagi tamparan apabila Rodri pula kelihatan seolah-olah telah mengalami kecederaan lutut kanannya dan terpaksa dikeluarkan padang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg